mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Melayu Islam mudah ‘cair’

HATI rasa curiga, halalkah? Rugi juga jika tidak sertai, pulangannya cukup lumayan. Rakan-rakan makin ramai mendaftarkan diri. Para ustaz turut tidak ketinggalan, malah ada juga yang bertindak sebagai jurucakap. Mustahil mereka ini nak menipu kerana segala hukum-hakam dalam poket masing-masing.

“Demi maslahat ummah”, objektifnya cukup menarik. Mungkin inilah masanya untuk melakukan jihad ekonomi - jika tidak sekarang, bila lagi? Hasilnya, maka berpusu-pusulah Melayu Islam di negara ini menyertai skim yang menggunakan nama Islamik itu.

Senario seperti digambarkan itu amat lazim bagi Melayu Islam di negara ini yang sebenarnya cukup allergic dengan produk yang bernama ala-Islamik. Semuanya jadi mudah cair, lebih-lebih lagi jika didatangkan dengan duta kehormat bertaraf ustaz. Bukan semua ustaz terlibat tetapi memang wujud modus operandi sedemikian. Diulangi sekali lagi, penulis langsung tidak berniat untuk ‘memborong’ kesemuanya tetapi hakikatnya memang wujud segelintir yang cuba mengambil kesempatan.

Seorang rakan penulis yang kini mencari rezeki di Arab Saudi dalam bidang kewangan Islam pernah seketika menjadi popular, iaitu ‘duta secara kebetulan’ sebuah skim yang mampu menggelapkan mata sesiapa sahaja yang mendengarnya tanpa terlebih dahulu membuat soal selidik. Gambar beliau semasa berbincang di Mekah diambil dan menjadi viral apabila dilampirkan bersama dengan sedikit promosi mengenai produk itu.

Akibatnya, terpak­sa­lah rakan yang berasal dari Kelantan itu membuat penafian pengli­batannya dalam Facebook sebagai strategi terbaik kerana gambar itu disebarkan secara meluas dalam media sosial dan blog. Beliau mengakui terdapat rakan sekolahnya membuat keputusan memasuki skim itu apabila menganggap ia telah dinilai olehnya sebagai satu skim patuh syariah.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-107 yang bersidang pada 10 dan 11 Februari lalu memutuskan bahawa skim yang diperkenalkan syarikat itu tidak patuh syariat. Boleh rujuk laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di bawah kategori e-fatwa untuk maklumat lanjut.

Terdapat satu gurauan mengenai pelaburan yang boleh diambil iktibar oleh sesiapa sahaja yang berminat, “Jika takut, jangan berani-berani, jika berani jangan takut-takut”. Perasaan takut dan berani tidak salah tetapi perlu disusuli dengan pencerahan ilmu pengetahuan.

Dalam pada itu, tidak ketinggalan juga pengendali syarikat yang berasakan ‘tidak lut dibakar api neraka’ kerana sanggup menipu pakej umrah. Mereka yang sanggup me­nipu orang hendak ke Mekah ini semestinya beragama Islam kerana syarat wajib pengendali agensi pelancongan yang menawarkan pakej umrah ialah 100 peratus dimiliki oleh Bumiputera beragama Islam. Eloklah sangat, Islam ‘makan’ Islam!

Sejak 2012 hingga Mac lalu, sebanyak 50 syarikat tidak berlesen dikenakan kompaun berjumlah RM207,000 oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan melalui Akta Industri Pelancongan (AIP) 1992 kerana didapati melakukan kesalahan penipuan pakej umrah.

Semakan dan pindaan terhadap AIP ini terutamanya kadar denda dan kompaun perlu disegerakan. Mungkin kompaun maksimum RM50,000 perlu dinaikkan yang disusuli dengan penjara mandatori - bagi menggerunkan pesalah dan menjaga kepentingan masyarakat umum.

Diingatkan kepada pengendali tidak bertanggungjawab ini, mungkin undang-undang semasa di dunia masih boleh dielak dengan segala strategi licik, tetapi di akhirat kelak, ke mana mereka hendak menyorok? - Tarmizi Abdul Rahim Utusan Malaysia Rencana 17 September 2015 1:24 AM

Tags: islam, melayu
Subscribe

Posts from This Journal “islam” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments