mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : “Bersatu Teguh, Bercerai Roboh”

Sedutan Petikan Khutbah 18 September 2015 JAIS

“Bersatu Teguh, Bercerai Roboh”

Sejarah manusia bermula dengan kesatuan. Untuk menangani perpecahan dikalangan manusia, para rasul diutus bersama Kitab dari Allah SWT. Misi utama para rasul adalah menyelesaikan konflik dikalangan manusia. Para rasul menyatukan manusia dengan mengajak mereka kepada kesatuan aqidah, kesatuan syariat dan kesatuan nilai akhlak mulia dan amal soleh.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 213: “Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu). (Tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang yang beriman dengan balasan syurga) dan pemberi amaran (kepada orang yang ingkar dengan balasan azab neraka); dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu kitab-kitab suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan. (Sebenarnya) tidaklah yang berselisihan mengenai agama melainkan orang yang telah diberi kepada mereka kitab-kitab suci itu,iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, kerana hasad dengki sesama sendiri. Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang yang beriman ke arah kebenarannya Yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu) dengan izin-Nya. Allah sentiasa memberi hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang benar”.

Perpecahan adalah bencana yang ditimpakan oleh Allah akibat dari penyelewengan tingkahlaku manusia itu sendiri. Penyelewengan terbesar adalah pengkhianatan terhadap akujanji manusia untuk berpegang kepada ajaran Allah . mereka melupakan teras syariat Allah iaitu mentauhidkan Allah SWT.

Al-Quran diturunkan ditengah-tengah bangsa yang berbudaya hidup berpuak-puak. Mereka mempunyai semangat yang kuat dan fanatik kepada suku dan puak masing-masing. Dalam persengketaan yang berlarutan itu, soal siapa benar dan siapa salah tidak menjadi perhitungan. Yang penting ialah “dia orang siapa”?! Orang kita harus dibela biarpun dia bersalah!”. Inilah yang dinamakan asabiyyah jahiliyyah atau fanatik perkauman sempit yang dilarang dalam Islam.

Hadis daripada Wasilah B. al-Asqa’ RA. bahawa beliau mendengar bapanya berkata, “wahai Rasulullah, apakah itu asabiyyah? Maka Rasulullah SAW menjawab;  “Bahawa kamu membantu dan bekerjasama dengan kaummu dalam melakukan kezaliman”. (Riwayat Abu Daud).

Perpaduan yang dianjurkan oleh Al Quran adalah perpaduan yang berasaskan rasa persaudaraan yang tumbuh dari ketakwaan kita kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 13: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari kalangan lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah adalah orang yang paling bertaqwa antara kamu, (bukan kerana keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha mendalam pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)”.

Perpaduan ummah hendaklah berasaskan iltizam untuk bersama syariat Allah, menegakkan dan mendaulatkan ajaran Allah yang terangkum dalam ayat Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 8: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan kebenaran kerana Allah, lagi menjadi saksi dengan adil dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa; dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”.

“Oleh itu, orang yang beriman kepada Allah dan berpegang teguh kepada (ajaran Al-Quran) ini, maka Allah akan memasukkan mereka ke dalam rahmat-Nya (iaitu syurga) dan limpah kurnia-Nya (yang tidak terbatas), dan Allah akan membimbing mereka ke jalan yang lurus (agama Islam), yang menuju kepada-Nya”. (Surah al-Nisa’ : 175).

Wallahualam.
Tags: bersatu, khutbah, perpaduan
Subscribe

Posts from This Journal “perpaduan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments