mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Orang mukmin 
reda takdir Allah

INSIDEN kren jatuh di Masjidilharam pada Jumaat, 11 September lalu sememangnya menyayat hati. Sebanyak 107 jemaah haji terkorban manakala 238 lagi cedera. Setakat ini lima jemaah haji Malaysia turut terkorban, 10 cedera manakala dua lagi masih hilang. Semoga Allah mengampuni dan menempatkan mereka dalam kalangan orang beriman.

Pastinya para waris masih bersedih dengan peristiwa itu. Bagaimanapun, kesedihan itu terubat apabila kita meneliti hadis Nabi SAW tentang syahidnya mereka yang terkorban dalam kejadian tersebut.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Syuhada itu ada lima, iaitu orang yang meninggal kerana penyakit taun, orang yang meninggal kerana penyakit perut, orang yang mati tenggelam, orang yang meninggal kerana tertimpa runtuhan dan orang yang gugur di jalan Allah.” - (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Insiden tersebut juga berlaku pada hari Jumaat yang juga ada kelebihan. Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidaklah seorang muslim meninggal dunia pada hari Jumaat atau pada malam Jumaat melainkan Allah akan melindunginya daripada fitnah (pertanyaan) kubur.” - (Riwayat At-Tirmidzi dan Ahmad).

Sesungguhnya tiada nikmat yang lebih besar selain mati sebagai orang mukmin kerana ganjarannya adalah syurga. Itulah juga doa yang sering kita panjatkan kepada Allah SWT iaitu meminta pengakhiran hidup yang baik (khusnul khatimah) bukannya suul khatimah.

Alhamdulillah, keluarga waris juga reda dengan ketentuan ini. Beginilah seharusnya sifat orang beriman yang reda dengan qada dan qadar Allah. Lagipun mati itu pasti. Cuma bila, bagaimana dan di mana lokasinya menjadi rahsia Allah. Ini disebut dalam firman Allah yang bermaksud: “Walau di mana pun kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, walaupun kamu berada di dalam benteng yang tinggi dan kukuh.” (an-Nisa’: 78).

Dalam masa yang sama, Saudi Press Agency melaporkan, dalam dekri diraja kelmarin, Raja Salman mengumumkan satu juta riyal (RM1.13 juta) akan dibayar kepada setiap keluarga mangsa yang terbunuh dan jemaah yang mengalami kecacatan kekal, manakala 500,000 riyal (RM566,247) dibayar kepada setiap mangsa yang cedera.

Raja Arab Saudi itu berkata, pembayaran itu tidak akan mengganggu usaha keluarga mangsa yang terbunuh dan cedera untuk mengambil tindakan undang-undang berikutan tragedi itu bagi menuntut pampasan.

Beliau turut mengumumkan bahawa Arab Saudi akan menaja dua anggota keluarga mangsa yang terbunuh pada musim haji tahun depan. Mereka yang cedera dan tidak dapat melengkapkan ibadah haji mereka pada tahun ini akan dibenarkan mengerjakan haji pada tahun depan sebagai tetamu Raja Salman.

Lembaga Tabung Haji turut memberi sumbangan khas RM20,000 dan pampasan skim insurans Takaful sebanyak RM20,000 kepada waris semua jemaah haji yang meninggal dunia dalam tragedi tersebut.

Memanglah wang ringgit tidak dapat menggantikan arwah-arwah berkenaan tetapi ini menunjukkan keprihatinan, ihsan sesama insan dan hikmah insiden tersebut. Dengan kata lain, ada rezeki di sebalik musibah kepada para waris mangsa.

Sebab itu, kita perlu yakin bahawa perancangan Allah adalah lebih baik daripada perancangan kita, insan yang lemah. Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: “Barangkali kamu membenci sesuatu pada hal ia amat baik bagimu dan barangkali kamu menyukai sesuatu pada hal ia amat buruk bagimu. Allah Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (al-Baqarah: 216).

Kepada jemaah haji didoakan sihat walafiat menjelang hari wukuf yang semakin hampir. Seterusnya beroleh haji mabrur. Ambillah kesempatan mendoakan kesejahteraan dan keselamatan para jemaah dan negara semasa di Arafah. - Mohd Radzi Mohd Zin Al-Bayan Utusan Malaysia Rencana 18 September 2015 1:33 AM

Tags: mukmin, redha
Subscribe

Posts from This Journal “redha” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments