mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Mencari kesepakatan dalam kepelbagaian umat

KATA orang tua-tua sepakat membawa berkat. Perkataan sepakat membawa erti tidak bertentangan dan seia sekata. Walaupun terdapat perbezaan dalam kehidupan masyarakat Islam tetapi wujud titik kesepakatan yang dapat mengikat mereka untuk bergerak dalam bentuk kolektif. Titik-titik inilah yang perlu difokuskan oleh umat Islam agar maruah dan kehidupan beragama mereka menjadi cemerlang.

Kepelbagaian umat Islam adalah satu fitrah. Itu sebenarnya adalah tabiat manusia semula jadi. Ia juga menjadi tanda kekuasaan Allah SWT yang menciptakan kepelbagaian. Dalam tradisi ilmu Islam, khasnya dalam fikah, kepelbagaian pandangan ulama dapat menyuburkan lagi perundangan syariah sesuai untuk menjawab isu-isu baharu dan moden yang perlu dilihat dari konteks syariah dengan sebaik-baiknya. Kepelbagaian ini perlu diperakukan sebagai sumber lumayan kepada perkembangan fikah.

Apabila kita menyelusuri sejarah Islam, perbezaan adalah satu yang diakurkan oleh imam mazhab yang empat. Imam Malik r.a. pernah menolak kandungan kitab Muatta’ yang secara amnya adalah amalan ahli Mekah untuk diguna pakai oleh khalifah Mansor daripada kerajaan Abbasiah di wilayah-wilayah jajahannya kerana setiap umat itu berbeza-beza pandangan kerana menerima pelbagai riwayat dan menyampaikan berita yang mereka terima itu.

Mereka beramal berdasarkan maklumat yang diterima. Mereka berinteraksi dengan umat lain dengan menghormati perbezaan umat yang lain itu. Jika disekat amalan mereka dengan kefahaman yang berbeza, maka sudah tentu akan mendatangkan kesusahan kepada umat berkenaan.

Walaupun perbezaan pandangan adalah satu hakikat, ulama seperti Shah Waliyullah al-Dihlawi (1703-1762) menyatakan perbezaan dalam kalangan umat Islam pada zaman selepas imam mazhab yang empat atau zaman taklid membawa lebih keburukan daripada kebaikan.

Ini kerana pengikut mazhab masing-masing akan mengehadkan perbahasan berdasarkan pandangan imam dan ulama mazhab masing-masing. Mereka berbeza bukan disebabkan amalan ijtihad tetapi atas dasar taklid atau ikutan semata-mata.

Amalan taklid ini akan menimbulkan sikap taksub dan mengagung-agungkan pandangan imam dan ulama mazhab masing-masing, tidak menghormati pandangan orang lain sehingga boleh menimbulkan perpecahan dan perselisihan dalam masyarakat.

Disebabkan itu, perbezaan pandangan khasnya dalam hidup beragama orang Islam perlu diselusuri dengan teliti agar ia membawa rahmat dan bukan sebaliknya.

Sebagai contoh ulama terdahulu seperti imam Syafie antara lain menetapkan sumber asas perundangan Syariah selain al-Quran dan Sunnah nabi Muhammad SAW, turut ditambah qias dan ijmak ulama.

Dalam mazhab Hanafi, pandangan fikah yang mempunyai autoriti dan masyhur akan diguna pakai berbanding dengan pandangan terpencil. Ciri-ciri ini dijadikan garis panduan agar umat Islam dapat mengambil pandangan yang kuat dalam urusan beragama mereka.

Ini adalah antara titik-titik kesepakatan yang boleh dicontohi oleh umat Islam semasa. Ilmu Islam yang bersumberkan pandangan kuat perlu diutamakan dalam hidup beragama mereka. Apabila masyarakat menerima sesuatu isu agama yang disandarkan kepada pandangan yang kuat dan masyhur, maka akan wujud sikap kesepakatan dalam sesuatu isu.

Masyarakat dan individu tidak sepatutnya mengetengahkan pandangan pilihan yang bersifat terpencil dalam sesuatu isu agama kepada masyarakat. Ini kerana ia boleh mengundang pelbagai persoalan baharu kepada masyarakat.

Selain berbeza adat dan amalan biasa masyarakat setempat, ia juga boleh membawa kepada fitnah dan mengancam kerukunan dalam kehidupan sedangkan pandangan pilihan tersebut sepatutnya boleh menjadi amalan individu berkenaan semata-mata. - Utusan Malaysia Rencana Agama Pandangan IKIM 21 September 2015

Tags: sepakat
Subscribe

Posts from This Journal “sepakat” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments