mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Berkorban dan menyamaratakan kesenangan

SEPERTI biasa, Hari Raya Aidiladha akan disambut secara sederhana oleh umat Islam di negara ini. Beberapa negeri seperti Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis, sambutannya agak meriah. Awal-awal lagi warga negeri-negeri tersebut sudah pulang bercuti di kampung memandangkan perayaannya kali ini jatuh pada musim cuti sekolah.

Pihak pengurusan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) sudah menjangkakan kesesakan berlaku di lebuh-lebuh raya utama negara antara 23 hingga 27 September. Jadual perjalanan untuk mengelak kesesakan sudah dikeluarkan oleh pihak PLUS dan diharap pengguna lebuh raya dapat mengikut jadual tersebut untuk mengurangkan kesesakan.

Apa-apa pun, perayaan Aidiladha tetap dirayakan walaupun dari semasa ke semasa kemeriahannya terasa semakin pudar. Di sebelah-sebelah utara dan di Pantai Timur amalan ziarah-menziarah masih ada, bermaaf-maafan pun ada sebagaimana sambutan Aidilfitri.

Di sesetengah daerah, budak-budak masih berjalan dari rumah ke rumah kumpul duit raya. Cuma mercun sahaja yang tidak berdentum sana-sini. Bagaimanapun, usaha untuk menghidupkan kemeriahannya seperti dahulu agak sukar kerana anak-anak muda sudah sibuk dengan permainan gajet mereka.

Bukan hanya Aidiladha, pada Hari Raya Aidilfitri pun kelainannya sudah amat dirasakan jika dibandingkan dengan 10 atau 20 tahun lepas. Anak-anak muda sekarang lebih gemar memerap di dalam rumah, menghadap televisyen, komputer dan telefon bimbit sehingga saudara-mara pun tidak kenal, sepupu-sepapat pun tidak rapat.

Bagi yang memahami definisi sebenar Hari Raya Aidiladha, mereka akan mengisinya dengan pelbagai ibadat yang mendatangkan kebaikan kepada diri, keluarga dan masyarakat. Salah satu amalan yang dituntut adalah berkorban. Kisah Nabi Ibrahim A.S. dan Nabi Ismail A.S. menjadi sinonim dengan Hari Raya Aidiladha dan sudah semestinya mereka yang berkemampuan boleh melakukan ibadat korban.

Negara kita adalah antara negara yang mewah dengan makan minum sehingga ada yang mengkritik tentang pembaziran yang dilakukan tidak kira masa. Kalau pada Hari Raya Aidilfitri, ramai yang mampu mengadakan rumah terbuka sampai sebulan, tentu boleh dilakukan korban memandangkan ada kemampuan dan kemudahan melakukan ibadat tersebut.

Surau-surau dan masjid-masjid di negara kita sudah lama mencari pihak-pihak yang mahu melakukan ibadat korban dengan cara berkongsi. Ada dalam kalangan saudara-mara melakukan kaedah yang sama sejak beberapa bulan lepas. Ada yang menyimpan wang sedikit demi sedikit beberapa bulan sebelum menjelang Aidiladha.

Kesenangan kita sebenarnya dapat diterjemah menerusi ibadat korban. Pada masa ini, walaupun harga haiwan ternakan yang boleh dibuat korban semakin tinggi, harga daging pun tinggi, tetapi ramai yang mengadakan ibadat korban.

Kita akan dapat menyaksikan dan membaca berita tentang ibadat korban sampai melebihi 10 ekor lembu di sesebuah masjid. Paling kurang dua ekor di surau. Itu belum lagi yang dilakukan di rumah oleh adik-beradik. Dalam masa tiga empat tahun kebelakangan ini, harga bagi sebahagian sudah mencecah RM550 hingga RM600 sedangkan sebelum itu antara RM350 hingga RM400 sahaja.

Bagi yang kaya-raya, ibadat korban bukan hanya diadakan di tempat atau di negara sendiri sahaja, malah dilakukan di negara-negara lain seperti Kemboja. Menyedari keperitan penduduk di negara-negara belum membangun yang dikatakan hanya makan daging setahun sekali, eloklah diagihkan juga kesenangan itu kepada umat Islam di negara lain.

Kita yang mewah makanan ini bukan sekali dua makan daging dalam setahun, tetapi entah berapa puluh kali. Setiap kenduri-kendara mesti ada daging, jamuan-jamuan rasmi ada daging, sambut ulang tahun kelahiran pun ada daging, malah boleh makan sate daging setiap hari kalau mahu.

Mengagihkan kemewahan hidup supaya menjadi sama rata, agar yang miskin turut merasai nikmat yang sentiasa diperoleh oleh golongan kaya memang dituntut dalam agama. Oleh hal demikian, jika dilakukan ibadat korban, daging korban itu lebih afdal diagihkan kepada orang miskin, anak-anak yatim, jiran-jiran tetangga yang kurang berkemampuan.

Jika daging itu dimasak dibuat kenduri, eloklah dijemput golongan yang disebutkan di atas kerana mereka lebih berhak memakannya. Biarlah mereka turut merasai kesenangan yang dinikmati oleh golongan berada.

Mengagihkan kesenangan kepada orang yang kurang berkemampuan akan mendidik kita menjadi orang yang berasa rendah diri, tidak lokek dan memahami bahawa rezeki itu datangnya daripada Allah SWT, manakala kekayaan dan kemewahan itu dipinjamkan kepada kita buat sementara waktu sahaja.

- M.Jasni Majed Utusan Malaysia Rencana Agama 24 September 2015 12:42 AM
Tags: korban
Subscribe

Posts from This Journal “korban” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments