mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Sejarah seni bina Masjidilharam

MASJIDILHARAM merupakan tempat paling suci, iaitu yang pertama daripada tiga buah tempat suci Islam selain dari Masjid Nabawi di Madinah dan Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis. Nama Masjidilharam yang digunakan pada hari ini telah digunakan oleh penduduk Mekah sejak sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW lagi.

Ini merujuk kepada satu kawasan suci yang turut dikenali sebagai Mekah ketika itu. Selepas pembukaan Kota Mekah pada tahun ke-8 hijrah Nabi Muhammad SAW, tiada sebarang ubah suai rupa fizikal di kawasan sekitar Kaabah selain daripada pelupusan berhala yang berada di sekelilingnya.

Sejak daripada peristiwa pembukaan itu, ia mula dikunjungi oleh umat Islam untuk mengerjakan haji dan umrah setiap tahun. Tiga kawasan penting yang termasuk dalam kawasan Masjidilharam ialah Kaabah, Telaga Zam Zam dan Makam Ibrahim. Sewaktu pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab terdapat keperluan untuk meluaskan kawasan Masjidilharam kerana bilangan umat Islam yang semakin bertambah.

Kerja-kerja memperluaskan kawasan Masjidilharam telah dilakukan oleh Umar dan seterusnya disusuli oleh Khalifah Uthman al-Affan dengan memindahkan kawasan perumahan berhampiran dengan Kaabah dan membina pagar seperti dinding di sekeliling Kaabah. Bentuk kawasan yang dipagar ialah segi empat yang mempunyai sudut yang tidak tepat.

Selari dengan keperluan jemaah

SEBAHAGIAN daripada lebih dua juta umat islam yang berada di mekah untuk memnunaikan ibadah haji tahun ini membanjiri masjidilharam kelmarin untuk menunaikan sembahyang . - Reuters

Ini menjadikan kawasan tawaf lebih selesa dengan jumlah jemaah di zaman itu. Seterusnya kerja-kerja ubah suai turut dilakukan oleh dinasti Islam utama yang memerintah dunia Islam bermula dari Dinasti Umayyah, Abasiyyah dan seterusnya. Sewaktu pemerintahan Umayyah, penambahan yang dilakukan ialah dengan meletakkan atap atau bumbung di atas dinding pagar yang dibina oleh khalifah sebelum mereka.

Di zaman pemerintahan Abasiyyah pula dinding pagar beratap yang terdapat di sekeliling Kaabah diubah suai menjadi laluan berbumbung yang didirikan dengan deretan tiang dan gerbang di sekelilingnya. Penambahan demi penambahan telah dilakukan oleh pemerintah kerajaan Islam lain seperti lampu minyak untuk kemudahan ketika mengerjakan tawaf pada waktu malam.

Lampu elektrik mula digunakan dalam Masjidilharam untuk menggantikan lampu minyak pada tahun 1930-an. Kawasan mataf yang digunakan untuk tawaf telah dilapiskan dengan batu marmar putih dan ditandakan dengan garis laluan berbentuk bulatan di sekeliling Kaabah. Ia semakin mengecil jika laluan tawaf semakin menghampiri Kaabah.

Perubahan bentuk fizikal Masjidilharam boleh dipelajari secara visual melalui lakaran bangunan Masjidilharam yang dilakukan oleh para jemaah yang mengunjungi tempat ini sejak zaman berzaman. Salah sebuah manuskrip yang mempunyai lakaran ini ialah Dalail wa Khairat. Manuskrip ini boleh dilihat di galeri al-Quran dan Manuskrip di Muzium Kesenian Islam Malaysia. Tidak lama lagi satu lagi sejarah akan dicatatkan apabila bangunan Masjidilharam terbaharu yang lebih besar, selesa dan moden siap dibina untuk menyambut kedatangan umat Islam mengerjakan haji dan umrah setiap tahun.

Tags: masjid
Subscribe

Posts from This Journal “masjid” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments