mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Pentingnya takhrij dalam penulisan guna hadis

HADIS berfungsi sebagai sumber kedua dalam syariat Islam selepas al-Quran. Hal ini disepakati golongan ulama. Fuqaha dalam kalangan sahabat semuanya kembali merujuk kepada hadis Rasulullah SAW. Apabila menerangkan makna kandungan al-Quran sesuai kedudukannya sebagai sumber kedua syariat Islam.

Fungsi as-sunnah terhadap al-Quran antara lain ialah sebagai penerang kepada nas al-Quran yang tidak jelas, mengkhususkan yang umum, mengikat yang mutlak serta membina hukum berdasarkan kepada sumber daripada al-Quran.



Justeru umat Islam tidak dapat melaksanakan ajaran Islam dengan sempurna sekiranya tidak berpandukan pertunjuk dan praktik sunnah atau hadis. Bagi mempraktikkan ajaran Islam dengan betul dan tepat, umat Islam wajib merujuk kepada as-sunnah atau hadis yang sahih.

Kepentingan merujuk kepada as-sunnah atau hadis yang sahih adalah untuk mengelakkan umat Islam daripada penyelewengan dan penyalahgunaan nas hadis untuk kepentingan diri ataupun bagi tujuan menjatuhkan martabat Islam.

Lebih malang lagi jika nas-nas tersebut berkaitan dengan akidah dan syariat yang boleh menyebabkan akidah seseorang itu rosak atau sesat dan syariatnya batal.

Prof Dr Jawiah Dakir dalam kajiannya yang bertajuk Hadith Masyhur Dalam Masyarakat Melayu menyatakan bahaya penggunaan nas yang tidak sahih atau hadis palsu oleh guru agama dan ahli akademik akan menambah kekeliruan di kalangan orang awam lebih-lebih lagi kepada mereka yang tidak mempunyai asas dalam ilmu agama.

Pendedahan ilmu hadis yang sahih kepada umat Islam, khusus dalam kalangan orang Melayu adalah penting bagi menjaga agama Islam terutama sumber kedua ajaran Islam, iaitu as-sunnah atau hadis.

Kenali hadis

Al-Shaikh Muhammad Ajjaj Al-Khatib menjelaskan dalam kitabnya Usul Al-hadīth Ulūmuh Wa Mustaluhuh, perkataan hadis daripada sudut bahasa adalah sinonim dengan kata akhbar (berita) ataupun pemberitahuan.

Manakala sudut istilah sinonim dengan perkataan as-sunnah. Kedua-duanya diertikan sebagai sesuatu yang disandarkan atau diambil daripada Nabi SAW samada sebelum atau selepas Baginda SAW menjadi rasul.

Maksud takhrij

Dr Faisal Ahmad Shah dalam bukunya Takhrij Hadith Teknik Pencarian Hadith Yang Tepat Dan Berkesan menyebut perkataan takhrij dari sudut bahasa Arab membawa beberapa maksud, antaranya ialah menampakkan dan memperlihatkan.

Menurut sudut istilah pula, Profesor Dr Muhammad Abullais Al-Khayr Abadi dalam kitabnya Takhrij Al-Hadith Nasyatuhu Wa Manhajiyatuhu menyatakan takhirj ialah suatu ilmu yang membahaskan mengenai prinsip dan metod yang memudahkan capaian kepada kedudukan hadis, mengenal pasti mutaba'at dan syawahid daripada sumber asal, sumber yang menyerupai asal dan sumber yang tidak asal seterusnya menjelaskan hukum dan darjat hadis tersebut sama ada diterima atau ditolak.

Pentingnya ilmu takhrīj

Faisal juga menekankan kepentingan ilmu takhrij sebagai satu medium bagi mengetahui status sesuatu hadis yang digunakan. Beliau menyatakan lapan kepentingan ilmu takhrij iaitu:

1) Mengenal pasti kedudukan hadis dalam sumber rujukan asal.
2) Mengenali perawi hadis dan mengetahui kedudukan mereka dari sudut al-Jarh wa al-Ta'dil.
3) Mengumpulkan sanad bagi sebuah hadis seterusnya mengetahui jenisnya dari sudut bilangan riwayatnya sama ada mutawatir, masyhur, aziz atau pun gharib.
4) Membezakan hadis yang mempunyai asal dengan hadis yang tidak mempunyai asal.
5) Mengenal pasti darjat dan status hadis sama ada sahih atau daif, diterima atau ditolak.
6) Mengenal pasti keadaan hadis dan jenisnya dengan melihat kepada sifat yang terdapat pada sanad dan matan.
7) Membezakan jenis-jenis kelemahan tersembunyi yang terdapat pada hadis.
8) Mengenal pasti sama ada sesebuah hadis itu bersambung atau terputus.

Hadis untuk faham agama

Jawiah  juga menambah, untuk mengetahui secara betul dan tepat ajaran Islam, umat Islam dituntut supaya belajar hadis ataupun as-sunnah dengan tujuan memastikan apa yang diamalkan itu benar-benar daripada ajaran Rasulullah SAW atau sebaliknya.

Sejarah sahabat RA membuktikan mereka muncul sebagai orang Islam yang berilmu tinggi dan mampu untuk berijtihad serta menguasai pelbagai bidang ilmu Islam. Ini  kerana sebahagian hidup mereka ditumpukan untuk mempelajari al-Quran dan hadis daripada Rasulullah SAW.

Jawiah juga menyatakan kegigihan mereka dan generasi selepasnya dalam meriwayatkan dan mencatatkan hadis telah menyediakan wadah dan kemudahan bagi generasi kurun kedua dan ketiga untuk mentadwinkan hadis; iaitu mengumpul, memeriksa, menulis dan membukukan hadis sehingga dapat dimanfaatkan oleh generasi terkemudian.

Umat Islam sekarang mendapat faedah yang amat besar dengan pengumpulan dan penulisan hadis oleh generasi awal Islam. Umat Islam kini hanya perlu kepada daya usaha untuk mendapatkan kitab hadis yang muktabar, seterusnya belajar perihal hadis daripada kitab tersebut.

Dalam menentukan nas hadis itu sahih ataupun palsu, rujukan kepada kitab muktabar ini amat penting agar umat Islam terselamat daripada berhujah dengan nas palsu.

Di samping itu rujukan kepada ilmuwan Islam yang mahir dan mendalam ilmunya mengenai hadis boleh dilakukan sekiranya timbul sebarang ketidakfahaman atau kekeliruan perihal kesahihan atau kepalsuan sesuatu hadis. Ini bertepatan dengan saranan ALLAH SWT supaya umat Islam merujuk kepada ilmuwan agama sekiranya ada kemusykilan.

Jawiah menekankan kepentingan belajar dan menyampaikan ilmu ini amat mendesak pada masa kini berikutan penyebaran ajaran Islam yang diselewengkan sama ada secara sengaja atau tidak sengaja, yang dilakukan oleh orang perseorangan ataupun kumpulan yang berkepentingan.

Lebih-lebih lagi dalam menghadapi gelora dan ombak globalisasi ilmu dalam dunia tanpa sempadan, umat Islam dengan mudah dan cepat dihidangkan dengan ilmu dan maklumat yang tidak tepat atau menyeleweng daripada hakikat dan nilai-nilai Islam.

Lebih malang lagi apabila apa yang disampaikan itu didakwa daripada ajaran Rasulullah SAW sedangkan hakikatnya ia bukanlah daripada Baginda SAW.

Melalui penjelasan ringkas ini, dapatlah kita membuat kesimpulan awal, ilmu takhrij sangat penting dalam penulisan hadis Nabi SAW sebagai sumber hujah di samping al-Quran. Ilmu takhrij menjamin kesahihan hadis Nabi SAW.

Dengan adanya ilmu takhrij, kemuliaan dan kesucian as-sunnah atau hadis Nabi SAW akan dapat dipelihara daripada dicemari hadis daif dan palsu.
Tags: hadis, kitab
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments