mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Kitab agung warisan berharga

"KITAB" dalam bahasa Arab bermaksud buku (plural). Manakala "kutub" pula merujuk kepada banyak buku (singular) bermula dari tiga ke atas. Dalam ilmu hadis ada satu istilah terkenal iaitu al-kutub al-sittah. Ia merujuk kepada enam kitab utama yang menjadi rujukan dalam hadis.


Enam kitab tersebut ialah:

Sahih Al-Bukhari
Sahih Muslim
Sunan Abu Daud
Jami' Al-Tirmizi
Sunan Al-Nasaie
Sunan Ibn Majah

Sahih Al-Bukhari dan Sahih Muslim juga dikenali sebagai al-Sahihain bermaksud dua kitab hadis sahih. Manakala istilah Sunan al-Arbaa’h merujuk kepada empat kitab yang lain iaitu Sunan Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasaie dan Ibn Majah.

Sahih al-Bukhari

Tajuk lengkap kitab ini ialah al-Jami' al-Musnad al-Sahih al-Mukhtasar min umur Rasululillah sallallahu ‘alaihi wasallam wa sunanihi wa ayyamihi. Lebih terkenal dengan tajuk Sahih Al-Bukhari kerana disandarkan kepada penulisnya.

Nama penulisnya ialah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin al-Mughirah Al-Bukhari. Al-Bukhari ialah nisbah kepada tempat kelahiran beliau iaitu Bukhara. Dilahirkan pada tahun 194H.Imam Al-Bukhari banyak mengembara ke serata tempat bertujuan menuntut ilmu khususnya berkaitan hadis.

Beliau mengembara bertemu dengan ahli hadis di Syam, Mesir, Basrah, Hijjaz, Kufah, Baghdad dan tempat-tempat lain lagi. Meninggal dunia pada malam Aidilfitri tahun 256H.

Antara sumbangan terbesar Imam Al-Bukhari dalam dunia Islam ialah kitab Sahih Al-Bukhari. Sebuah kitab yang beliau syaratkan hanya menghimpunkan hadis Rasulullah SAW yang telah dipastikan mencapai tahap sahih.

Beliau telah menghambakan dirinya selama 16 tahun bagi kerja-kerja ini. Setiap kali ingin menulis hadis, beliau akan berwuduk dan solat dua rakaat memohon petunjuk agar hadis yang dikumpulkan memang benar-benar sahih.

Sahih Al-Bukhari ialah kitab pertama dalam sejarah yang menghimpunkan hadis sahih sahaja. Ia disebut sebagai kitab kedua paling sahih di atas muka bumi selepas al-Quran. Namun, bukan semua hadis sahih yang ada dimuatkan dalam kitab ini. Masih terdapat banyak lagi hadis sahih lain yang tidak dimasukkan dalam kitab beliau.

Imam Al-Bukhari mengarang dan mengumpulkan hadis berdasarkan topik fiqah. Jumlah hadis yang dikumpulkan sebanyak 2602 hadis (tidak dikira hadis yang berulang-ulang di bab yang berbeza). Terdapat hadis sama diulang-ulang dalam banyak bab kerana dalam satu hadis tersebut mengandungi pelbagai hukum hakam yang berbeza.

Penguasaan Imam Al-Bukhari bukan hanya semata-mata dalam menilai kesahihan hadis, bahkan beliau sangat menguasai hukum hakam yang boleh difahami daripada hadis tersebut. Kepakaran beliau dalam memahami hukum hakam fiqah ini dapat dilihat melalui caranya meletakkan nama bab dalam kitabnya atau ia disebut sebagai "terjemah".

Justeru, ada ungkapan yang terkenal iaitu fiqh al-Bukhari terletak pada terjemahnya (nama-nama bab)".

Cara Imam Al-Bukhari mengarang kitabnya dengan membahagikan kepada "kitab". Kitab ialah istilah yang digunakan bagi topik besar. Dalam setiap "kitab" pula dibahagikan kepada beberapa "bab" iaitu tajuk kecil (sub topik). Terdapat 97 kitab dan 3450 bab dalam Sahih al-Bukhari. Ramai ulama hadis menghuraikan kitab Sahih Al-Bukhari. Antara yang popular ialah kitab Fath al-Bari karangan Al-Hafiz Ibn Hajar Al-'Asqalani dan kitab Umdat al-Qari yang dikarang oleh Imam Badruddin "Al-'Aini.

Sahih Muslim

Judul lengkap kitab Sahih Muslim ialah al-Jami' al-Musnad al-Sahih al-Mukhtasar min al-Sunan binaqli al-‘Adli ‘an al-Adli ‘an Rasulillah sallallahu ‘alaihi wasallam. Lebih dikenali dengan tajuk Sahih Muslim kerana disandarkan kepada nama penulisnya.

Penulisnya ialah Muslim bin Hajjaj bin Muslim Al-Naisaburi. Dilahirkan di Naisabur pada tahun 206H dan meninggal pada tahun 261H. Mengembara menuntut ilmu di banyak tempat seperti Hijjaz, Syam, Mesir, Iraq dan lain-lain lagi.

Imam Muslim juga mensyaratkan, beliau hanya mengumpul hadis-hadis yang dinilai sahih sahaja di dalam kitabnya. Oleh sebab itu, Sahih Muslim berada dikedudukan kedua selepas Sahih Al-Bukhari kerana syarat Imam Al-Bukhari dalam menilai hadis sahih lebih lagi ketat berbanding Imam Muslim.

Sama seperti Sahih Al-Bukhari, hadis-hadis dalam Sahih Muslim juga disusun mengikut bab-bab dalam hukum hakam fiqah. Cuma, perbezaannya ialah Imam Muslim tidak meletakkan apakah tajuk babnya seperti yang dilakukan oleh Imam Al-Bukhari. Walaupun begitu, keistimewaan Sahih Muslim ialah apabila dikaji hadis-hadisnya memang disusun mengikut bab-bab fiqah dan diletakkan dalam satu tempat yang sama.

Kemudian, apabila Imam Nawawi menghuraikan Sahih Muslim, beliau memberikan nama-nama bab yang sesuai dengan hadis-hadis tersebut. Jumlah hadis yang dikumpulkan oleh Imam Muslim di dalam kitab ini sebanyak 3033 hadis.

Antara yang popular menghuraikan Sahih Muslim ialah Imam Nawawi. Kitab beliau diberi judul al-Minhaj fi Syarhi Sahih Muslim.

Demikian serba ringkas pengenalan dua kitab utama dalam hadis yang menghimpunkan hadis sahih. Namun, perlu diketahui apa yang dikumpulkan Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim bukanlah menunjukkan keseluruhan hadis sahih.

Masih terdapat banyak lagi hadis sahih yang tidak dimasukkan di dalam kitab mereka. Kefahaman kita berkaitan agama perlu bersumberkan hadis yang sahih. Jadi, sekiranya kita ingin mencari hujah dan dalil berkaitan agama, maka dua kitab ini patut dijadikan keutamaan.

Bukannya berhujah dengan hadis palsu atau kata-kata tok guru, tuan syekh dan habib yang tidak ada sandarannya. Lebih malang lagi sekiranya kita memberikan fokus untuk menghafal dan memahami bait-bait lagu dan qasidah, sedangkan usaha untuk memahami hadis-hadis Rasulullah SAW tidak pula dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

Dua kitab agung ini adalah warisan berharga yang ditinggalkan oleh dua orang tokoh yang ALLAH anugerahkan buat umat ini. Warisan ini tidak akan bererti jika ia hanya tersusun indah di rak-rak perpustakaan atau sekadar dijadikan kata-kata slogan.

Khazanah ini bukan hanya untuk ditatap sepi. Ia mesti dipelajari, diamalkan dan dihayati. Inilah tanda kita cintakan sunnah Nabi SAW.
Tags: hadis, kitab
Subscribe

Posts from This Journal “kitab” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments