mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Ambil tanpa izin pemilik

DALAM perjalanan ke tempat kerja atau ke mana sahaja, setiap kali melalui jalan raya, mata pasti tertumpu kepada pokok-pokok yang ditanam oleh pihak majlis perbandaran (sebagai contoh) sebagai perhiasan landskap atau untuk menjadikan kawasan itu redup daripada sinar mentari.

Tanaman seperti pokok mangga, pokok kelapa pandan, pokok asam jawa dan banyak lagi pastinya akan berbuah sekali gus menarik perhatian mata yang melihat.

Berbicara perihal ini, terfikir juga adakah tangan yang mengambil buah itu mindanya ligat memikirkan boleh atau tidak buah tersebut dimakan lantas menjadi darah daging?

Apakah hukum mengambil, memakan atau menjual harta awam itu sedangkan ia bukan hak kita.

Tanaman itu ditanam oleh perbandaran, adakah ia wakaf atau kita boleh ambil? Perlukah juga kita meminta izin terlebih dahulu? Kalau dijual adakah hasil jualan itu kita boleh guna atau perlu kembalikan kepada pihak sepatutnya.

Sebab ia ditanam

Rehal mendapatkan penjelasan daripada Dekan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Antarabangsa Madinah (Mediu), Prof Madya Dr Usman Jakfar bagi merungkai permasalahan ini.

"Harta yang seperti ini hukumnya mengikut kepada maksud daripada penanamannya. Jika dimaksudkan untuk perhiasan atau menjadikan kawasan itu redup atau maksud yang lain, kemudian maksud tadi akan hilang jika ada orang yang mengambil, memakan, menjual atau melakukan apa-apa sahaja tindakan terhadap tanaman tersebut, maka hukum mengambil, memakan atau menjualnya adalah haram.

"Dalilnya adalah kaedah fiqah al-umuru bil muqasidiha yang bermaksud semua masalah itu hukumnya mengikut kepada maksudnya. Lebih-lebih lagi jika pihak perbandaran menetapkan hukuman bagi orang yang mengambil, memakan atau menjual pokok atau buah daripada tanaman tersebut," katanya.

Menurutnya, jika ada individu yang ingin mengambil, memakannya atau menjual, maka dia wajib mendapatkan izin terlebih dahulu daripada pihak perbandaran.          

Usman menambah, akan tetapi keadaannya boleh berubah jika pihak perbandaran memaksudkan tanaman ini adalah untuk diwakafkan kepada orang awam, maka mengambil, memakan atau menjualnya adalah halal. Kesimpulannya dikembalikan kepada "maksud penanaman tanaman tersebut".

Di kampung contohnya, sudah menjadi santapan mata apabila melihat haiwan ternakan dilepas oleh tuannya untuk mencari makanan sendiri, pastinya haiwan tersebut sama ada lembu atau kambing akan meragut rumput atau tanaman orang tanpa meminta, selepas itu haiwan itu disembelih dan dimakan, ada juga yang dibuat korban dan akikah.

Wajib bayar

Usman menjelaskan pemilik haiwan ternakan tersebut wajib membayar kadar harga tanaman orang lain yang dimakan haiwan ternakannya. Kecuali jika pemilik tanaman atau ladang itu mengizinkan.

"Keputusan daripada permasalahan di atas adalah pemilik kambing harus memperbaiki kebun yang rosak sehingga menjadi seperti sediakala yakni sebelum dirosakkan oleh kambingnya. Dia juga harus menyerahkan kambing-kambingnya kepada pemilik kebun, tapi hanya sementara.

"Selama pemilik kambing memperbaiki kebun, pemilik kebun perlu menjaga kambing tersebut dengan baik. Ia berhak memperoleh hasilnya, seperti bulunya, susunya, dan anaknya.


"Setelah kebun tersebut selesai dibaiki, kebun itu perlu diserahkan kepada pemiliknya. Kambing juga perlu dikembalikan ke pemilik asalnya. Dengan demikian, tidak ada pihak yang dirugikan. Masing-masing memperoleh kembali hak milik seperti sebelum ini," katanya lagi.


Buat sementara waktu, pemilik haiwan ternakan yang haiwan ternakannya akan dijadikan ibadah korban atau akikah perlu  menunggu sementara waktu sehingga pemilik haiwan ternakan itu membayar kadar harga tanaman orang lain yang dimakannya.  
       

Minta izin tuannya

Ramai bertanyakan mengenai apakah yang perlu dilakukan sekiranya berdepan dengan permasalahan mengenai tanaman yang ditanam dan dahannya yang berbuah masuk ke kawasan kebun orang lain dan orang itu mengambil buah tersebut tanpa meminta, adakah buah itu telah menjadi haknya?

Usman menjelaskan lagi, tidak, buah itu belum menjadi miliknya kecuali setelah mendapatkan izin daripada tuan punya buah itu. Adapun dahan pokoknya yang masuk ke kawasan kebun atau halaman rumah kita, maka dahan itu wajib dipotong oleh pemilik pokok itu.

"Mengambil harta orang lain sama ada harta milik peribadi atau awam bahananya sangat besar, terlebih-lebih lagi jika harta awam. ALLAH SWT melarang kita memakan harta orang lain dengan cara yang tidak halal. ALLAH berfirman: "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil." (Surah An-Nisa': 29)

Al-Imam al-Alusi yang mengatakan: "Perkataan yang dimaksudkan 'makan' di sini adalah segala bentuk tindakan, baik mengambil atau menguasai." (Tafsir Al-Alusi)

Rasulullah SAW juga bersabda: "Barang siapa merampas hak seorang Muslim dengan sumpahnya, maka ALLAH mewajibkan dia masuk neraka dan mengharamkan baginya syurga." Maka salah seorang bertanya: "Meskipun sedikit, wahai Rasulullah?" Rasulullah SAW menjelaskan: "Memakan harta orang lain juga menjadi asbab doa tidak diterima oleh ALLAH."

Kemudian Rasulullah SAW menyebutkan seseorang yang berjalan jauh, rambutnya kusut dan pakaiannya berdebu. Dia mengangkat tangannya ke langit berdoa: "Ya Rabb, Ya Rabb, sementara makanannya haram, minumnya haram dan pakaiannya haram dan ia dibesarkan dengan harta-harta yang haram, bagaimana ALLAH mengabulkan doanya?" (Riwayat Muslim)

"Fahamilah hadis dan kenyataan yang diucapkan oleh Baginda SAW mengenai bahana mengambil harta orang lain tanpa keizinan individu berkenaan. Jika si polan itu mengizinkan dan meredainya tidak mengapa," kata anak kelahiran Indonesia ini.

Kerana sebiji epal

Terdapat satu kisah yang boleh menjadi teladan kepada semua umat ISLAM mengenai hikmah mendapat keizinan daripada tuan punya barang. Cerita perihal epal yang terjatuh daripada pokok di seberang sungai, lalu epal itu dihanyutkan arus sungai dan dijumpai seorang pemuda, kemudiannya pemuda itu memakan epal itu tanpa mendapat izin daripada tuan punya buah epal itu. Dengan tiba-tiba terbit di hati pemuda itu untuk mencari gerangan pemilik pokok epal itu.

Pemuda itu berjalan dan terus berjalan sehinggalah menjumpai tuan punya pokok epal itu. Lihatlah, betapa jujurnya dan mulianya sifat pemuda itu. Daripada pemuda itu lahirlah Syeikh Abdul Qadir Jailani, ulama yang terkenal dengan kepintaran dan alimnya.

Usman berpendapat, ibu bapa sekalian perlu meneladani kisah berkenaan, bukan sekadar meneladani malah menghayati dan mempraktikkan dalam proses mendidik zuriat.
Antara teladan yang boleh diambil daripada kisah berkenaan adalah:-

1. Kita perlu memastikan setiap yang kita makan atau minum adalah halal dan suci (halalaltoyyiban), walaupun sedikit cuma makanan atau minuman tersebut, tetapi ia tetap akan menjadi darah sekali gus menjadi daging membentuk tubuh badan.

2. Kita juga perlu mendidik diri supaya sentiasa menepati janji yang telah disepakati.

3. Yakinlah bahawa saat kita berusaha untuk memastikan makanan yang kita makan adalah halal dan kita menepati janji yang telah kita sepakati, maka ALLAH akan memberikan balasan yang terbaik untuk kita, anak-anak dan keturunan kita.

Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments