mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: “Ajaran Sesat Millah Abraham @ Ibrahim”

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 09 Oktober 2015: JAIS

“Ajaran Sesat Millah Abraham @ Ibrahim”

Ajaran Millah Abraham adalah salah satu daripada ajaran sesat di Negeri Selangor yang berasal dari Bogor, Indonesia. Mereka mendakwa ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW telah berakhir sejak kejatuhan kerajaan Islam pada tahun 1324H. Mendakwa ajaran Islam seperti yang diamalkan sekarang oleh umat Islam adalah palsu, mendakwa bahawa ulama-ulama dan umat Islam hari ini adalah digolongkan sebagai kaum musyrikin. Pengasasnya bernama Ahmad Musaddeq yang mengaku sebagai rasul baru yang dibangkitkan membaharui ajaran dan membentuk kerajaan Islam yang sebenar.

Modus operandi dan pengajarannya menggunakan al-Quran terjemahan kemudian menafsirkan dengan menggunakan lojik akal mereka semata-mata.

Ajaran Millah Abraham ini disampaikan secara bertahap-tahap. Bermula dengan cara sembunyi-sembunyi, dan sekarang telah masuk ke tahap terang-terangan.

Antara penyelewengan yang dapat dirumuskan adalah seperti berikut:

1. Mendakwa ada rasul selepas Nabi Muhammad SAW yang membawa ajaran baru
2. Mereka menghukum golongan yang tidak mengikut ajaran Millah Abraham sebagai golongan yang syirik dan kafir, termasuk ibu bapa mereka, bahkan ulama-ulama muktabar yang terdahulu.
3. Kumpulan ini terlalu taksub hingga sanggup memutuskan hubungan kekeluargaan dan pasangan suami isteri.
4. Menggabungkan tiga ajaran agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi. Mereka menggunakan kitab Taurat dan Injil disamping al-Quran (terjemahan) sebagai panduan bagi menegakkan agama yang dapat menerangi kehidupan.
5. Meninggalkan solat fadhu lima waktu dan solat Jumaat kerana mereka menafikan kefardhuan solat fardhu lima waktu dan solat Jumaat.
6. Kumpulan Millah Abraham akan mewajibkan anggotanya membuat bai’ah atau sumpah setia.

“Bahawa fahaman dan ajaran Millah Abraham adalah menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam kerana mengandungi elemen-elemen yang menyesatkan. Justeru mana-mana orang Islam secara individu atau kumpulan adalah dilarang terlibat dengan apa sahaja aktiviti yang ada kaitan dengan ajaran ini atau mana-mana ajaran yang mempunyai persamaan dengannya”. Fatwa ini telah diwarta pada 17 September 2015.

Antara pengajaran yang dapat diambil daripada khutbah ini adalah;

1. Umat Islam hendaklah yakin bahawa Nabi Muhammad SAW adalah rasul yang terakhir, maka tidak akan ada lagi rasul selepasnya.
2. Umat Islam hendaklah menjauhkan diri daripada ajaran Millah Abraham dan ajaran-ajaran sesat lain yang telah difatwakan kerana ianya adalah menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam sebenar.
3. Umat Islam perlu mempunyai ilmu yang mantap bagi mengelak terpengaruh dengan ajaran yang menyeleweng. Ini kerana seseorang yang telah terlibat dan berbai’ah, amat sukar untuk kembali kepada ajaran Islam yang sebenar.
4. Umat Islam yang terlibat hendaklah segera bertaubat dan meninggalkan ajaran tersebut untuk kembali kepada ajaran Islam yang sebenarnya.

“(Fikirkanlah) adakah orang yang diperelokkan kepadanya amal buruknya (oleh syaitan) lalu dia meyakininya sebgai pekerjaan baik (sama dengan orang yang mendapat petunjuk. Tentu tidak sama). Maka, sesungguhnya Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Dia juga memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Oleh itu, janganlah engkau membinasakan dirimu (wahai Muhammad) kerana bersedih terhadap kesesatan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka kerjakan”. (Surah Fatir : 8).

Wallahualam. 
Tags: ajaran, khutbah
Subscribe

Posts from This Journal “ajaran” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments