mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat ~ Waspada Dosa Syirik

Sedutan Petikan Teks Khutbah Jumaat  09 Oktober 2015M / 25 Zulhijjah 1436H. JAWI

Waspada Dosa Syirik

F
irman Allah SWT di dalam surah al-Nisa ayat 48: Bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan Syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar."

Secara zat, Allah SWT adalah Tuhan hakiki dan tiada tuhan selain-Nya. Allah SWT bersifat dengan segala sifat-sifat kesempurnaan dan tiada zat lain yang bersekutu dalam kesempurnaan tersebut. Begitu juga af'al (perbuatan) Allah SWT seperti perintah (amr), kehendak (iradah), kuasa (qudrah) dan sebagainya adalah mutlak, tidak terbatas dan tidak memerlukan kepada daya upaya zat yang lain. Inilah ajaran dan kefahaman tauhid yang diseru oleh para nabi dan rasul kepada seluruh manusia dan jin.

Manakala syirik adalah perkara yang bertentangan dan berlawanan dengan ajaran tauhid.

Hadis riwayat al-Bukhari daripada Muaz bin Jabal RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: Bermaksud: “Wahai Muaz, tahukah kamu apakah hak Allah SWT ke atas hamba-Nya dan hak hamba-Nya ke atas Allah SWT? Saya menjawab: Allah dan rasul-Nya lebih mengetahui. Baginda bersabda: Hak Allah SWT ke atas para hamba-Nya ialah menyembah Allah SWT dan tidak mensyirikkan-Nya. Manakala Hak hamba ke atas Allah SWT ialah tidak mengazab sesiapa yang tidak mensyirikan-Nya dengan sesuatu.”

Syirik menurut para ulama terbahagi kepada dua iaitu syirik akbar (besar) dan syirik asghar (kecil).

Syirik akbar adalah perbuatan yang menghapuskan seluruh amalan kebaikan seseorang Muslim, mengeluarkannya daripada agama Islam dan pelakunya kekal di dalam neraka. Ada pun syirik asghar hanya menghapuskan amalan berkaitan, tidak mengeluarkan pelakunya dari Islam dan pelakunya tidak terancam kekal di neraka.

Syirik asghar mengurangi dan mengotori kesucian tahap tauhid seseorang kepada Allah SWT. Syirik akbar mudah dikesan kerana ia berlaku secara jelas sama ada melalui kepercayaan atau pengamalan anggota tubuh badan. Namun, syirik asghar berlaku tanpa disedari.

Imam Ahmad meriwayatkan daripada Mahmud bin Labid RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: ، ُ ا ْلَأ ْصغَر ف عَلَيْكُ ْم الشِ رْكُ ُ ِإَّ ن َأ ْخوَ َف مَا َأخَا ُ ؟ قَا َل: الرِ يَاء ُ الَْأ ْصغَر مَا الشِ رْكُ َ َّ هِ و سو َل الل ُ َ وا: يَا ر . ُ قَال Bermaksud: “Sesungguhnya yang paling aku takutkan dari apa yang aku takutkan menimpa kalian adalah syirik asghar (kecil). Sahabat bertanya: Apa yang dimaksudkan dengan syirik asghar? Baginda SAW menjawab: Riyak.”

Termasuk dalam bentuk syirik asghar ialah bersumpah dengan selain Allah SWT. Ada pun syirik asghar yang berbentuk perbuatan (fi'li) adalah seperti mendatangi bomoh, dukun, ahli nujum, tukang ramal dan sebagainya. Syirik asghar turut berlaku dalam perlaksanaan perkara kebaikan seperti bibir berkumat-kamit berzikir kerana manusia, menunjukkan kemarahan terhadap perkara dosa kerana manusia, bersedekah atau menderma kerana manusia dan sebagainya.

Tanpa taubat, segala amal dan usaha pelaku syirik akan berakhir dengan sia-sia. Firman Allah SWT di dalam surah al-Zumar ayat 65:  Bermaksud: “Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu: "Demi sesungguhnya! jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalmu, dan engkau akan tetap menjadi dari orang-orang yang rugi."

Rumusan daripada khutbah yang disampaikan pada hari ini antaranya ialah:

Pertama: Syirik ialah perbuatan menyekutukan Allah SWT sama ada melalui kepercayaan, perbuatan dan perkataan.

Kedua: Syirik adalah penyelewengan dan kesesatan daripada ajaran tauhid yang diserukan oleh para nabi dan rasul yang diutuskan silih berganti.

Ketiga: Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya yang dibawa sehingga mati. Namun, hamba yang ikhlas bertaubat pasti mendapatkan pengampunan daripada Tuhan Yang Maha Pengampun.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Zumar ayat 53: Bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

Wallahualam.
Tags: dosa, khutbah, syirik
Subscribe

Posts from This Journal “syirik” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments