mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Raih untung reda ALLAH

ALLAH SWT berfirman: "Dan ALLAH menghalalkan jual beli iaitu perniagaan (al-Bai') dan mengharamkan riba." (Surah Al-Baqarah: 275).

Tahu halal, haram

Jual beli atau muamalah di pasar malam adalah sebahagian daripada cabang perniagaan. Konsepnya sama sahaja, namun ada sesetengah peniaga yang tidak memandang serius perihal halal dan haram, apa yang patut dan tidak patut dilakukan dalam proses jual beli.

Pendakwah, Dr Mohd Faisol Ibrahim menjelaskan beberapa muamalah di pasar malam yang perlu dielakkan kerana ia boleh menyebabkan akad jual beli terbatal atau sebaliknya.

Peniaga Muslim di pasar malam perlu mematuhi tuntutan syariat dalam berjual beli. Sumber foto: faisaladmar.blogspot.com

"Antaranya, perlu menitik beratkan gharar (ketidakpastian) yang berlaku ke atas harga dan juga akad jual beli antara peniaga dan pelanggan.

Sebagai contoh jika dilihat terdapat peniaga yang tidak meletakkan tanda harga di atas barangan yang dijual atau harga barangan tidak jelas dan terang. Sudah pasti pembelian  barangan terbut akan boleh mewujudkan unsur gharar.

"Peniaga dilarang untuk bersifat spekulasi iaitu mengeluarkan maklumat yang tidak benar dan fakta yang tidak benar bagi melariskan jualan barang. Sebagai contoh peniaga memberitahu harga ikan atau daging akan mahal bermula esok kerana stok ikan dan daging semakin berkurang kesan ekonomi yang meleset.

Spekulasi ini menyebabkan pelanggan berpusu-pusu membeli ikan dan daging daripada peniaga tersebut kerana bimbang harga ikan dan daging akan naik lima kali ganda dari harga semasa.

"Menipu iaitu membohongi pelanggan dengan menyatakan sesuatu yang tidak benar. Peniaga yang menjual barangan yang palsu tetapi dengan harga tinggi kerana mendakwa barangan tersebut original ataupun peniaga mendakwa barangan yang dijual adalah barangan barang baharu, sedangkan barang tersebut sudah lama yang tidak habis dijual," katanya kepada Rehal.

Menurutnya, ada juga peniaga yang bersikap monopoli (barangan yang dijual oleh seorang peniaga sahaja di pasar malam).

Disebabkan peniaga ini tidak mempunyai pesaing, maka beliau dengan sewenang-wenangnya menaikkan harga yang tinggi sehingga membebankan pelanggan kerana pelanggan tidak mempunyai pilihan. Keadaan ini akan mewujudkan diskriminasi kepada pelanggan.


Patuh prinsip Islam

Mohd Faisol menyarankan kepada peniaga Muslim sama ada mereka yang ingin atau sedang menjalankan perniagaan pasar malam, beberapa prinsip perniagaan Islam perlu wujud dalam diri mereka agar perniagaan yang dijalankan meraih keuntungan besar dan mendapat reda ALLAH, sekali gus mencapai status falah (berjaya).

"Peniaga perlu mempunyai prinsip ketakwaan, barang yang hendak dijual atau diniaga mestilah halal dan penggunaannya tidak dilarang hukum.

Penjualan barang dan perkhidmatan yang memudaratkan moral dan rohani pengguna Islam ditegah seperti menjual mercun berbahaya, barangan yang cantik tetapi diperbuat daripada khinzir, memasarkan VCD lucah, menjual barang yang dicuri dan sebagainya.

Walaupun sesetengah barang permintaannya tinggi dan keuntungan berlipat kali ganda, namun Islam menegah perkara ini kerana ia akan menjatuhkan moral masyarakat.

"Al-Quran tegas menyatakan pemasaran barangan mestilah bersifat sederhana dan tidak berlebih-lebihan.

Ini kerana kebanyakan peniaga pasar malam akan memasarkan barangan secara besar-besaran bagi mencipta keuntungan berlipat kali ganda sehingga sanggup berhutang dahulu bagi memastikan matlamat ini tercapai tanpa memikirkan risiko jika jualan gagal.

Ada juga peniaga cuba menjual barangan mereka bagi tujuan menunjuk-nunjuk dan mengaibkan orang lain. Situasi ini bertentangan dengan Islam kerana membazir itu amalan syaitan," katanya yang juga pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).

Menurutnya, digalakkan jika peniaga pasar malam cuba untuk memasarkan barangan berasaskan benda-benda baik atau pun makanan berasaskan sunnah yang dianugerahkan ALLAH seperti air zam-zam, madu lebah, tamar, minyak zaitun, daging kambing, susu segar dan sebagainya.

Ini penting bagi membantu melahirkan warisan masyarakat yang bijak serta mempunyai modal insan berakhlak mulia seperti Nabi Muhammad SAW.

Selain itu, bahan memabukkan dan berbahaya tidak boleh dijual walaupun cuma sedikit penggunaannya, tetapi jika ia diperlukan pada saat menyelamatkan nyawa maka ia diharuskan.


Islam VS konvensional

Mohd Faisol berkata, cara mudah membezakan peniaga pasar malam bercirikan Islam dengan peniaga bercirikan konvensional ialah konsep memaksimumkan keuntungan.

"Seseorang peniaga pasar malam yang bercirikan Islam akan lebih menitikberatkan memaksimumkan pahala melalui keberkatan keuntungan yang diperoleh. Pelbagai perkara tidak sihat yang dipraktikkan dalam amalan penjualan barang di pasar malam seperti menyembunyikan kos tertentu daripada pelanggan, menipu dan membohongi pelanggan melalui barangan yang ditawarkan, menaikkan harga sesuka hati, memonopoli perniagaan, spekulasi harga barang dan sebagainya lagi perlu dielakkan.

"Konsep siddiq, amanah, tabligh dan fathanah perlu dirangsang dalam jiwa peniaga Muslim di pasar malam  masa kini bagi membezakan peniaga Islam yang berorientasikan syariah dan peniaga konvensional yang bermatlamatkan materialistik, keuntungan dan kepuasan semata-mata," katanya.

Kesimpulannya, peniaga Islam di pasar malam mementingkan barakah dalam peniagaan melalui keuntungan diredai ALLAH berbanding peniaga konvensional di pasar malam yang mementingkan keuntungan yang paling maksimum.


Peniaga di pasar malam mestilah mempunyai ciri-ciri berikut:

- Siddiq (benar). Contohnya peniaga Muslim mesti berani mengakui kelebihan dan kelemahan yang wujud pada produknya,
memberitahu pengguna mengenai kualiti dan standard sesuatu produk dengan tidak ada sebarang perasaan prejudis.

- Amanah (jujur). Amanah yang dimaksudkan di sini adalah amanah kepada Pencipta dengan mengakui perihal harta dan rezeki di dunia ini adalah milik-Nya. Selain itu perkataan amanah ini bermaksud jujur dalam semua perkara.

- Tabligh (menyampaikan sesuatu dengan penuh keikhlasan). Usahawan Muslim perlu menyampaikan maklumat
mengenai produk keluarannya tanpa berasa tergugat dan riak. Pemberian maklumat ini merangkumi kualiti, bahan-bahan, harga barangan, dan sebagainya.

- Fathanah (bijaksana). Dalam erti kata lain bijak dalam menjalankan perniagaan sehingga tidak melalaikan urusan akhirat. Bijaksana di sini juga bermaksud tidak pernah putus asa dan kecewa sebaliknya mempunyai pemikiran yang positif terhadap sesuatu perkara yang berlaku, khususnya yang berkaitan perniagaan.
Tags: benar, halal, haram, jujur, niaga
Subscribe

Posts from This Journal “niaga” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments