mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Kompas timbal baik, buruk

MANUSIA dan akal tidak dapat dipisahkan. Akal adalah syarat bagi manusia itu dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan perintah ALLAH SWT.

Jika seorang manusia mempunyai masalah kekurangan akal disebabkan faktor genetik atau kerana kemalangan, maka kewajipan yang diperintahkan ke atasnya misalnya solat, mencari nafkah, membayar zakat, berpuasa, menguruskan harta dan lain-lain tanggungjawab dikecualikan.

Pertarungan manusia terhadap menilai baik dan buruk yang datang daripada akal pernah berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW. Kisah ini diceritakan sendiri oleh Khalifah Umar Al-Khattab RH: "Kebiasaan bagi setiap rumah orang musyrik di Makkah pada waktu itu ialah adanya 'tuhan' dalam rumah kami.



Pada suatu hari, aku berasa lapar dan hanya ada kurma di rumahku. Saat itu kurma di dapur habis dan hanya yang ada pada tuhanku aku telah mengambil kurma yang dibentuk menjadi berhala yang aku mengakui ia tuhanku, lalu aku makan sebutir kurma daripada berhala yang aku sembah.

Kerana perutku lapar, maka aku makan sedikit demi sedikit, bermula dari matanya hinggalah hampir hilang tuhan dalam bentuk berhala yang aku sembah."

Saat Umar menceritakan kisahnya kepada sahabat lain, hanya deraian tawa kedengaran. Umar ketawakan kejahilan dirinya yang pada masa itu membentuk tuhan daripada kurma dan itulah hasil tuhan musyrik yang berpandukan akal.


Sejak dahulu lagi

Pendakwah, Ustazah Shadiya Abbas berkata, peristiwa mengenai akal telah dijadikan sebagai hujah untuk memesongkan manusia sudah berlaku sejak ALLAH menciptakan Nabi Adam AS lagi.

"Dalam banyak-banyak kisah nabi, terdapat satu kisah nabi yang agak popular iaitu zaman Nabi Idris AS yang juga dikenali sebagai manusia pertama yang pandai menulis dan menenun pakaian.

"Diceritakan oleh Profesor Abu Ishaq Al-Asfaraini dalam kitabnya Al-Tartib fi Usul al-Fiqh bahawa pada suatu hari Nabi Idris duduk berehat dalam rumahnya sambil menenun dan menjahit baju. Ketika itu datang seorang lelaki dan kelihatan dirinya seorang yang banyak ilmu pengalaman serta ibadah. Berlakulah dialog di antara mereka;

Lelaki : "Wahai Idris, bukankah Tuhanmu ALLAH berkuasa melakukan apa sahaja."

Nabi Idris: "Ya, Tuhanku ALLAH Maha Berkuasa melakukan mengikut kehendak-Nya."

Lelaki: "Jika demikian, mampukah Tuhanmu menjadikan dunia sebesar ini (sambil di tangannnya memegang sebutir telur) dan memasukkannya ke dalam lubang jarum yang kau sedang pegang itu?"

Nabi Idris: "Sesungguhnya ALLAH Maha Berkuasa menjadikan dunia sebesar telur yang engkau gambarkan tadi dan mengeluarkannya daripada lubang jarum yang sedang aku pegang ini."

 "Sepantas kilat Nabi Idris mencucuk sebelah mata lelaki tadi hingga menyebabkan lelaki itu menjerit-jerit kesakitan sekali gus melarikan diri. Rupa-rupanya lelaki tersebut ialah Iblis laknatullah yang datang untuk menyesatkan manusia. Itulah juga 'buah tangan' istimewa daripada Nabi Idris yang telah membutakan sebelah mata Iblis hingga buta sampai hari kiamat," kongsinya kepada Rehal.

Berdasarkan kisah di atas, Shadiya mengulas perihal iktibar yang boleh diambil. Lihat bagaimana Nabi Idris menjawab pertanyaan berunsur logik yang dikemukakan oleh Iblis.

Nabi Idris bukan sahaja memberi jawapan yang ringkas, malah bertindak memberi peringatan kepada Iblis agar tidak menyesatkan manusia dengan tipu dayanya yang halus terutama menggunakan hujah akal dalam menggambarkan sunnatullah. Dan, seorang utusan ALLAH pastilah sangat mengenali ciri-ciri musuh seperti Iblis yang melontarkan pertanyaan bukan untuk mendekatkan diri kepada ALLAH tetapi dengan tujuan menjauhkan diri daripada melaksanakan ketaatan sebagai seorang hamba-Nya.


Kebesaran ALLAH

Shadiya mengatakan, sebagai seorang jurulatih motivasi, beliau pernah ditanya dengan soalan begini oleh peserta remaja semasa sesi soal jawab akidah.         

"SAYA menyatakan jawapan itu dan bermula dengan memerhatikan tanda-tanda kebesaran yang ALLAH ciptakan kepada diri kita. Mari kita mulakan pencarian jawapan logik yang dilontarkan Iblis kepada Nabi Idris iaitu: "Mampukah ALLAH menjadikan dunia sebesar sebiji telur dan memasukkannya ke dalam lubang jarum?"

"Mampu," jawab remaja tersebut dengan muka yang agak yakin.

"Buktikan!" saya memancingnya untuk terus memberi jawapan.

"Memanglah kalau nak fikir logik atau tak, pastilah tak logik. Tetapi saya yakin ALLAH mampu lakukan. Cuma saya tak tahu nak bagi jawapan yang tepat." Keyakinan pada wajah remaja tadi sedikit luntur apabila dia gagal membawakan bukti.

"Tuan ada bukti itu. Lihatlah sekeliling," peserta remaja memandang kiri dan kanan. Ada yang senyum ada yang mengangguk-angguk tidak kurang ada yang masih terpinga-pinga.

“Siapa yang suka selfie?" sekali lagi saya memancing jawapan.

Masing-masing tersenyum. Kedengaran suara nakal mengatakan biar selfie jangan selfish.

 "Bagaimana kita yang besar-besar ini bergambar beramai-ramai dan boleh dipotretkan dalam skrin telefon pintar yang kecil?." Semua peserta remaja diam. Saya kira itu respons yang baik kerana saya nampak wajah mereka sedang mencari jawapan tambahan kepada soalan logik Iblis.

"Bagaimana bumi yang besar boleh dilihat dengan mata kita yang kecil bahkan pelayar seperti Ibnu Battutah melakarkan dunia yang luas ini menggunakan mata pena bulu ayam di atas sehelai kertas? Bumi ini bukan sahaja besar tetapi seluas mata memandang, namun ia berjaya dilakarkan sehingga disebut peta pada hari ini," katanya.

ALLAH berfirman: "Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi serta peralihan malam dan siang ada tanda-tanda (kebesaran ALLAH) bagi orang yang berakal. Iaitu yang menyebut nama ALLAH semasa berdiri dan duduk, juga semasa berbaring dan mereka memikirkan kejadian langit dan bumi seraya berkata: "Ya Tuhan Kami, tidaklah Engkau jadikan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, peliharalah kami daripada seksa api neraka." (Surah Al-‘Imran:  190-191)
Saring maklumat

Shadiya menambah, cabaran pada akhir zaman khasnya buat remaja lebih besar pada hari ini. Akses kepada kunci kefahaman beragama lebih mudah dan terlalu banyak hingga perlu disaring agar dapat digunakan dengan betul misalnya penggunaan hadis yang diperoleh melalui carian internet.

"Itulah sebabnya tidak hairan, remaja pada hari ini lebih lantang bersuara mengenai pandangan mereka terhadap agama dan bebas menyokong atau menyelar hal-hal keagamaan yang hakikatnya mereka belum benar hadam untuk memahaminya.

"Maknanya untuk kita memberi vitamin kepada akal dan minda, kita mestilah dengan jalan mengaji, mengulang kaji dan bergaul dengan orang yang sihat akalnya. Dengan itu, barulah akal puas dan memahami hikmah di sebalik ketetapan ALLAH, jiwa dan diri berasa indah meniti kehidupan dengan hidup bertuhankan ALLAH.

 "Indahnya hidup bersama ALLAH akan dirasai apabila kita memahami ayat al-Quran melalui lisan Nabi SAW dan ulama. Misalnya dalam masalah rambut perempuan, adakah aurat atau tidak?," ulasnya lanjut.

Menurutnya, memang dalam al-Quran, tidak dinyatakan secara khusus dengan sebutan sya'run yang bermaksud rambut bagi merujuk aurat wanita tetapi ALLAH menyatakan secara umum yang dapat difahami oleh akal yang sihat bahawa aurat bagi wanita adalah seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan.

Jadi, perlulah difahami di sini, menutup aurat bukan sekadar menutup rambut tetapi ia menutup ruang-ruang kerosakan sama hal yang ditetapkan kepada kaum lelaki agar menutup aurat.

Paling mudah difahami, hidangkan kepada seorang pelanggan makanan yang ditutup penuh, yang ditutup separuh dan yang tak ditutup langsung. Apakah pilihan pelanggan yang sihat akalnya? Mintalah fatwa daripada hati kita untuk menentukan waraskah kita atau sebaliknya.


Beza manusia, makhluk lain

"ALLAH mengurniakan akal buat manusia sebagai kurniaan besar yang menyebabkan kita menjadi makhluk yang berbeza dengan malaikat, iblis dan tentera-tenteranya serta haiwan.

"Akal adalah kompas dalam menimbangkan buruk dan baik, manakala Iman adalah kayu ukur yang memandu akal untuk menyaring buruk dan baik kepada dosa dan pahala.

 "Beza antara orang beriman dan yang tidak beriman sudah dapat dilihat melalui akalnya. Permulaan ukuran seseorang itu berakal atau tidak, dinilai dengan tindakannya membezakan perkara yang paling asas seperti beza masam dan manis, pahit dan tawar atau hitam dan putih," katanya lagi.

Menurut Shadiya, apabila seorang kanak-kanak sudah mencapai tahap ini maka dia dipanggil sebagai mumaiyiz manakala tahap kedua mumaiyiz ialah baligh yang akan dicapai oleh seorang remaja sebelum menempuh alam dewasa.

Islam memberikan panduan iaitu al-Quran dan hadis, rasul dan ulama sebagai talian hayat kepada umat Islam untuk menempuh perjalanan yang sukar apatah lagi kita berada di hujung usia dunia.

Akal sifatnya terbatas. Akal kita terhad untuk memikirkan perkara yang kecil seperti bagaimana sebatang jarum jahit yang dicucuk ke mata Iblis boleh menyebabkannya buta hingga hari kiamat? Fikir-fikirkan.        

Tags: manusia
Subscribe

Posts from This Journal “manusia” Tag

  • Malas berdoa sifat orang angkuh

    SELAGI hidup, selagi itu kita tidak akan terlepas daripada menghadapi masalah. Ramai orang apabila ditimpa masalah menjadi tertekan, tidak dapat…

  • Sebaik-baik jin, sejahat manusia?

    “SEBAIK-BAIK jin adalah sejahat manusia”, tanggapan ini yang lazimnya tersebar dalam kalangan masyarakat Melayu hingga menjadi asas…

  • Pelarian manusia dari perspektif Islam

    PELARIAN manusia adalah satu fenomena yang sentiasa berlaku apatah lagi jika wujud krisis dalam negara tertentu. Konvensyen Geneva 1951…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments