mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Jadikan sukan amalan hidup seharian

SEORANG ahli sukan veteran yang pernah memenangi pingat Sukan SEAP ketika ditemui penulis pada satu pagi di sekitar Shah Alam baru-baru ini berkata, sekali beliau menjadi ahli sukan sehingga ke hujung nyawa, mulut dan fikiran akan bercerita dan berfikir tentang sukan.

Dalam usia 79 tahun, Pak Shaharudin Jaffar yang tinggal di Seksyen 8 itu kelihatan rancak membicarakan tentang dunia sukan negara yang semakin hilang auranya disebabkan kemerosotan beberapa sukan yang pernah mengecap kejayaan hingga ke Sukan Olimpik dan peringkat Asia.

Namun pada pertemuan tersebut Shaharudin berkata, sukan sepatutnya menjadi sebahagian agenda kehidupan yang perlu menjadi aktiviti seharian bukan sekadar suka-suka dan melepaskan batok di tangga.


GALAKKAN anak-anak untuk melakukan pelbagai aktiviti sukan di padang-padang awam dan jangan disekat mereka dengan mengenakan kadar bayaran sewa yang tidak munasabah. GAMBAR HIASAN

Sukan pada dirinya yang dahulunya ialah jaguh lumba basikal negara, perlu dijadikan kewajipan dalam hidup sebagaimana kita melaksanakan amal dan ibadah.

Jika sukan dijadikan amalan, maka hasrat mewujudkan satu murid satu sukan akan lebih berjaya di negara ini. Hari ini, padang-padang awam sudah berkurangan disebabkan himpitan pembangunan, kalau ada pun padang, ia kosong tanpa sebarang aktiviti.

Tidak kira di waktu jerebu mahupun pada hari-hari biasa. Sepatutnya padang-padang sedia ada di sekolah dijadikan medan untuk anak-anak kita ditemani ibu bapa untuk bersenam dan me­ngadakan aktiviti sukan.

Kata Shaharudin lagi, biarlah padang dipenuhi anak-anak kita berlumba lari jarak dekat dan bermain bola jangan disekat mereka dengan bayaran sewa padang yang tidak munasabah.

Sempena Hari Sukan Negara hari ini, sewajarnya sukan dijadikan aktiviti hari-hari bukannya terhad pada tarikh tersebut semata-mata. Bersukan bukanlah aktiviti yang asing bagi mereka yang mementingkan kesihatan. Dengan bersukan, kekuatan fizikal dapat ditingkatkan malah dalam al-Quran turut menggalakkan umat Islam untuk mempersiapkan kekuatan fizikal bagi menghadapi musuh-musuh Allah.

Selain itu, terdapat hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Muslim bahawa Allah lebih menyukai mukmin yang kuat daripada mukmin yang lemah. Malah terdapat juga hadis Rasulullah SAW yang menggalakkan ibu bapa mengajar anak-anak mereka berenang, memanah dan menunggang kuda. Islam pada hakikatnya sangat menitik beratkan pembentukan jasmani yang sihat sejak kecil lagi.

Justeru, bersukan amat pen­ting dalam kehidupan seorang muslim. Walau bagaimanapun, terdapat syarat-syarat tertentu yang digariskan oleh Islam supaya tidak melanggar batas-batas syarak ketika bersukan.

Pertama, setiap perbuatan yang dilakukan hendaklah diniatkan ikhlas kerana Allah demi menjaga nikmat kesihatan yang dikurniakan Allah. Selain itu, aktiviti sukan yang diadakan tidak boleh melibatkan percampuran antara lelaki dan perempuan. Begitu juga dengan batasan aurat yang perlu dijaga antara mereka melalui cara pemakaian yang sesuai dan pergaulan.

Malangnya, kebelakangan ini umat Islam yang terdiri daripada golongan atlet mahupun orang awam sendiri tidak menghayati dan mempraktikkan nilai-nilai Islam ketika bersukan. Sebagai contoh mereka masih mengenakan pakaian yang mendedahkan aurat. Sesungguhnya bersukan itu bukanlah perkara yang salah kerana membantu menyihatkan tubuh.

Kita pun biasa mendengar lagu di corong radio yang asyik membicarakan tentang sakit cinta, sedangkan jarang lagu cinta yang mengandungi saranan agar kita menjadi sihat mahupun menyebut perkataan sihat dilagukan.

Oleh itu, jadikan sukan sebagai kewajipan kita kerana ia memberi banyak manfaat dalam segala aspek kehidupan. Hanya orang sihat badannya akan berfikiran positif di dalam kehidupan. Hanya orang sihat dan rajin bersukan mampu lebih empati dengan masalah orang lain dengan minda sedar dan fizikal yang cergas sepanjang masa.

Selamat bersukan setiap hari sepanjang usia kita kerana satu hari tanpa sukan mungkin membuka ruang penyakit datang menyapa diri. Berubahlah. Jangan sampai sukan diwajibkan. Hari-hari sukan bukan sehari sahaja.

Tags: amalan
Subscribe

Posts from This Journal “amalan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments