mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Titik transformasi pembangunan ummah

SEMPENA sambutan Maal Hijrah 1437H pada 14 Oktober ini, marilah kita menyingkap sejarah penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Kota Mekah menuju ke Kota Madinah. Hijrah dari segi bahasa ialah berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain, dalam hal ini dari segi istilahnya hijrah merujuk berubah kepada keadaan yang lebih baik.

Sirah merakamkan masyarakat Quraisy sendiri tidak pernah terfikir akan muncul daripada kalangan mereka seorang tokoh yang tiada tandingan dalam sejarah manusia. Tokoh ini ternyata mampu mengubah nasib mereka dan juga umat manusia sejagat daripada kekufuran kepada cahaya petunjuk.

Tokoh ini berjaya mengubah mereka daripada bangsa yang tidak bertamadun kepada bangsa yang disegani. Mereka juga tidak terfikir akan lahir daripada bangsa mereka seorang pemimpin penuh wibawa yang mampu mengetuai sebuah pemerintahan yang kuat, di samping membentuk satu ummah yang mampu menghadapi segala rintangan dan cabaran zaman. Allah SWT menerangkan ummah ini dengan firman-Nya bermaksud :

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).” (Surah Al-Imraan : 110)

Menyemarakkan semangat mencapai kejayaan

HIJRAH merupakan landasan terbaik untuk umat Islam mengorak langkah menyemarakkan semangat untuk mencapai kejayaan dirintis Rasulullah SAW. - GAMBAR HIASAN

Pengutusan Rasulullah SAW adalah dengan mesej untuk memakmurkan bumi ini dan membawa rahmat alam seluruhnya sebagaimana Firman-Nya bermaksud : “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Surah al-Anbia : 107)

RAHMAT KEPADA
 SELURUH ALAM

Nabi Muhammad SAW yang menyebarkan agama Islam pada mulanya di Semenanjung Tanah Arab berjaya mewujudkan perpaduan dalam kalangan mereka, setelah sekian lama berpecah dan bercakaran sesama sendiri. Baginda juga berjaya mewujudkan keamanan di rantau tersebut. Oleh itu, lahirlah sebuah ummah yang cemerlang dalam sejarah umat manusia.

Hijrah dari segi sejarah bukanlah satu perkara baharu yang dicipta oleh Rasulullah SAW. Ia merupakan sunah dan cara hidup para Nabi dan Rasul AS terdahulu. Hijrah telah bermula sejak Nabi Ibrahim AS hingga kepada Nabi Isa AS yang turut disebut di dalam al-Quran sebagaimana firman Allah SWT bermaksud : “Setelah itu Lut beriman kepada-Nya dan Nabi Ibrahim pun berkata: Aku hendak berhijrah kepada Tuhanku, sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Ankabut : 26)

Kita dapati sirah merakamkan penghijrahan Nabi Ibrahim AS bersama isterinya Sarah dan anak saudara Nabi Lut dari Iraq ke Huran dan seterusnya ke Palestin. Manakala Nabi Lut berhijrah ke wilayah Sadum. Kita juga dapati dalam sirah perpindahan Nabi Musa AS dari Palestin ke Mesir. Begitulah sunah ini dipraktikkan oleh Nabi-Nabi AS yang lain hinggalah sampai kepada Nabi Muhammad SAW.

Rasulullah SAW melakukan tugas yang sama iaitu berhijrah dari Mekah ke Madinah. Hijrah Baginda SAW adalah merupakan titik permulaan bagi kebaikan manusia sejagat. Ia juga sebagai pemberitahuan kepada manusia bahawa kekuatan yang batil meskipun gagah dan perkasa, akhirnya akan menerima kehancuran serta kemusnahan.

Agama Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW merupakan agama dakwah yang mengajak umat manusia supaya berilmu, beriman dan seterusnya menyampaikannya semula kepada orang ramai. Oleh itu, dakwah adalah menjadi tanggungjawab seluruh umat Islam mengikut kemampuan masing-masing. Menjadi seorang Muslim secara automatik menjadi seorang pendakwah.

Mesej dakwah Islamiah Rasulullah SAW merupakan suatu kebenaran yang mutlak dan jelas. Islam memusuhi semua bentuk kekufuran, penindasan, pencerobohan dan kezaliman. Rasulullah SAW berdakwah dalam kalangan kaum Quraisy Mekah selama 13 tahun.

Dakwah ini menghadapi tentangan hebat daripada kaum Quraisy. Rasulullah SAW dan para sahabat adalah kaum minoriti. Mekah pada masa itu dikuasai oleh majoriti Quraisy yang beragama wathani (menyembah berhala). Baginda SAW menghadapi masyarakat Quraisy dengan bersenjatakan akidah tauhid iaitu kepercayaan kepada keesaan Tuhan sebagaimana firman Allah bermaksud : “Sesungguhnya Tuhan kamu hanyalah satu. Tuhan (yang mencipta serta mentadbirkan) langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya dan Tuhan (yang mengatur) tempat-tempat terbit matahari.” (Surah al-Saffat : 4-5)

Setelah Rasulullah SAW memperkenalkan konsep tauhid kepada masyarakat Mekah, ada yang beriman dan ada yang menolaknya. Sebagaimana yang diceritakan dalam al-Quran mafhumnya : “Dan mereka (yang mengingkari kerasulan Nabi Muhammad itu) merasa hairan, bahawa mereka didatangi oleh seorang Rasul pemberi amaran, daripada kalangan mereka sendiri. Dan mereka yang kafir itu berkata: Orang ini adalah seorang ahli sihir, lagi pendusta. Patutkah dia menafikan tuhan-tuhan yang berbilang itu dengan mengatakan : Tuhan hanya satu? Sesungguhnya ini adalah satu perkara yang menakjubkan!” (Surah Sad : 4-5)

ANCAMAN KEPADA 
AGAMA KEGELAPAN

Masyarakat Quraisy menyedari betapa bahayanya agama Islam yang baharu muncul ini kepada agama dan amalan hidup mereka. Seterusnya mereka mengambil tindakan demi tindakan penghapusan pengikut-pengikut Islam. Kemuncaknya ialah pakatan pembunuhan Nabi Muhammad SAW. Oleh itu, Baginda SAW diperintahkan oleh Allah SWT berhijrah ke Madinah.

Hari ini, Maal Hijrah merupakan satu landasan untuk umat Islam mengorak langkah bagi menyemarakkan semangat mencapai kejayaan yang dirintis oleh Rasulullah SAW. Biarpun begitu, apa yang lebih penting ialah sejauh mana generasi Islam kini benar-benar mendalami, menghayati dan menjiwai hijrah ini sebagai sebahagian daripada hidup mereka.

Dalam konteks pembinaan ummah, roh hijrah adalah suatu keutamaan. Semangat hijrah inilah yang menjadi asas transformasi pembinaan tamadun Islam. Semangat hijrah ini juga, para pemimpin negara kita melaksanakan penjanaan nilai-nilai murni dalam kehidupan, keilmuan dan pembangunan sosio-ekonomi ummah. Transformasi ummah yang dipelopori pimpinan hari ini selari dengan firman Allah SWT yang bermaksud : ”Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah al- Ra’d: 11).

Inilah wasatiyyahnya pembangunan ummah mendasari sirah nabawiyyah yang ulung.

Tags: hijrah, transformasi, ummah
Subscribe

Posts from This Journal “transformasi” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments