mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Audit diri sempena hijrah

Umat Islam menyambut tahun baharu pada hari ini. Sungguh pantas masa berlalu. Masih teringat seperti baharu semalam umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha. Terasa juga seperti baharu semalam kita berpuasa dan meraikan Aidilfitri.

Yang jelas dan pasti, tahun Hijrah 1436 telah pergi meninggalkan kita dan tidak akan kembali lagi. Pemergiannya diganti pula dengan tahun Hijrah 1437. Di akhir zaman ini, ternyata masa berlalu begitu pantas. Setahun rasanya bagai sebulan, sebulan bagaikan seminggu, seminggu bagaikan sehari dan sehari bagaikan sesaat.

Maka dalam hal kepantasan masa ini, benarlah apa yang dinyatakan dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a (Riwayat Tirmizi) yang membawa maksud: “Tidak akan berlaku kiamat sehingga masa menjadi singkat, maka setahun dirasakan seperti sebulan dan sebulan dirasakan seperti seminggu dan seminggu dirasakan seperti sehari dan sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu petikan api”.

Berlalunya tahun Hijrah sekali lagi harus menjadi titik tolak kepada seluruh umat Islam untuk merenung beberapa perkara. Pertama, mengenai perkara-perkara yang telah dilakukan pada tahun Hijrah sebelumnya. Adakah bertambah takwa kita atau semakin jauh daripadanya?

Tanya dan audit diri menangani apakah kebaikan yang telah dibuat dan berapa banyak pula kesalahan yang dilakukan sepanjang tahun lepas? Adakah diri kita tidak mempunyai apa-apa perubahan? Bagaimana pula hubungan kita dengan Allah SWT, hubungan sesama manusia dan hubungan dengan alam?

Berapa banyak sumbangan yang kita buat untuk agama, bangsa dan negara? Atau kita hanya duduk berpeluk tubuh tanpa melakukan apa-apa? Ingatlah masa yang berlalu tak akan kembali lagi. Apa yang baik yang telah dilakukan sepanjang tahun lepas harus dijadikan panduan. Tahun baharu Hijrah ini harus dikuatkan dengan azam dan niat agar apa sahaja kebaikan yang dilakukan akan ditambah pada tahun baru nanti. Biarlah tahun ini menjadi lebih baik daripada tahun sebelumnya.

Kedua, kedatangan tahun baharu juga mengingatkan kepada kita bahawa semakin hari semakin hampir dengan kematian. Umur menjadi semakin pendek. Rumah sudah berkata pergi, kubur pula tersedia menanti.

Justeru, audit diri kita dengan bertanya apa persediaan dan bekalan kita untuk ke arah tersebut. Bayangkan bahawa kematian ibarat pergi bermusafir ke tempat lain yang kita tidak biasa dengan keadaannya. Jika untuk bermusafir, sudah pasti segala persediaan dilakukan dengan penuh rapi. Baik dari segi pakaian dan makanan sehinggalah kepada barang-barang keperluan lain. Semuanya akan dipastikan cukup dan lengkap agar dapat hidup senang di tempat baru nanti.

Analogi ini jika dihayati dapat menjadi peringatan untuk bekalan di akhirat nanti. Harta, pangkat, darjat kebesaran dan lain-lain kemewahan dunia akan ditinggalkan semuanya. Hanya amalan yang baik semasa hayat di dunia akan menjadi peneman setia dan pembela kita di akhirat kelak. Oleh itu, tahun baharu Hijrah harus membawa kita supaya lebih mengingati hal kematian. Ia semakin menghampiri kita. Hayatilah peringatan Allah SWT dalam surah Al-Anbiya ayat 1 yang bermaksud: “Telah dekat kepada manusia hari menghisab segala amalan mereka, sedang mereka berada dalam kelalaian lagi berpaling (daripadanya)”.

Tanyakan diri kita dalam sehari berapa banyak kita mengingati tentang kematian? Jika jawapannya adalah sedikit sekali mengingati kematian kerana tidak sempat untuk memikirkannya disebabkan kesibukan tugas dan sebagainya, maka segeralah berubah. Jika jawapannya adalah banyak, maka tambahkan lagi jumlah peringatan tersebut.

Ketiga, sedar atau tidak kedatangan tahun baharu menandakan semakin dekat dunia ini dengan hari kiamat. Tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa hampir semua tanda-tanda kiamat kecil telah berlaku. Perkara seperti berlaku dengan bebasnya hal zina, bermaharajalela bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi-penyanyi wanita, ramai orang soleh meninggal dunia, wanita berpakaian tetapi nampak seperti bertelanjang, banyak berbohong dan tidak menyampaikan berita yang benar dan lain-lain lagi telah berlaku dari semasa ke semasa.

Sebagai kesimpulannya, banyak perkara yang boleh dihayati sempena sambutan tahun baharu Hijrah ini. Banyak sudah peringatan diberikan. Marilah bersama-sama mengaudit diri sempena Hijrah. - - Dr. Ram A Jaffri Saad Utusan Malaysia Rencana 14 Oktober 2015 6:15 PM

Tags: hijrah, muhasabah
Subscribe

Posts from This Journal “muhasabah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments