mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat ~ “Hijrah Ke Arah Pembentukan Daulah Islamiah”

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 16 Oktober 2015: JAIS

“Hijrah Ke Arah Pembentukan Daulah Islamiah”

Ma’al Hijrah sebenarnya telah mengingatkan kita kepada peristiwa hijrah Rasulullah SAW dan para sahabatnya RA. Penyatuan dua golongan Muhajirin dan Ansar telah melahirkan perpaduan, persepakatan dan telah menyemarakkan lagi persaudaraan sesama umat Islam.

Firman Allah dalam surah ali-Imran ayat 195: “…Maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan agamanya), dan yang diusir ke luar dari tempat tinggalnya, dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan agamaku, dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam), dan yang terbunuh (gugur Syahid dalam perang Sabil) - Sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka, dan Sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaikbaiknya (bagi mereka yang beramal soleh”.

Hijrah dan daulah merupakan dua kalimah yang penuh bermakna dan saling berkait rapat antara satu sama lain.

Hijrah memastikan umat Islam sentiasa bergerak kehadapan bersama suluhan wahyu bukannya undur kebelakang akibat tertipu oleh nafsu, sogokan atau harta.

Firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa ayat 100:  “Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya Dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

Penghijrahan Rasulullah SAW dari Kota Makkah ke Kota Madinah menghasilkan pembentukan Daulah Islamiah melalui 3 asas utama iaitu;

Pertama: Pembinaan masjid yang dijadikan sebagai pusat melaksanakan berbagai aktiviti bagi membina ikatan manusia dengan Allah dan hubungan sesama manusia yang menjadi kekuatan utama menjana kesejahteraan dan keberkatan sesebuah Negara. Manakala ikatan yang membentuk sesama umat melalui pembinaan masjid itu adalah at-Taqwa (ketaqwaan kepada Allah).

Firman Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 108: “Jangan Engkau sembahyang di Masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya Masjid (Qubaa' yang Engkau bina Wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya Engkau sembahyang padanya. di dalam Masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).

Kedua: Membina ikatan persaudaraan yang kuat antara golongan Muhajirin dari Mekah dengan golongan Ansar yang merupakan anak watan Madinah sehingga hubungan kemanusiaan atas dasar iman ini banyak membantu dalam membangunkan sebuah Negara Islam yang kuat.

Hadis daripada Nu’man B. Basyir RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Perumpamaan orang yang beriman dalam berkasih sayang, bersilaturrahim dan bersikap lemah lembut sesama mereka seperti tubuh badan yang satu ,apabila satu anggota terasa sakit maka seluruh tubuh turut merasa sakit disebabkan berjaga malam dan demam”. (Riwayat Muslim).

Ketiga: Membentuk Piagam Madinah yang merupakan asas pembinaan Negara yang pertama di dunia dalam memastikan setiap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama dapat hidup aman di bawah satu sistem yang adil dan saksama. Keadilan dan kehebatan sistem Islam bukan sahaja dapat dinikmati oleh umat Islam malah turut dirasai oleh orang bukan Islam.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 13: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu)”.

Taujihat dan pengajaran yang dapat kita ambil daripada khutbah pada hari ini adalah seperti berikut:

1. Umat Islam hendaklah menghayati konsep Islam sebagai ad-Din yang meliputi semua ruang lingkup kehidupan.

2. Umat Islam mestilah memahami konsep hijrah yang lebih luas yang meliputi semua aspek kehidupan umat manusia.

3. Umat Islam hendaklah mempunyai azam yang kuat untuk membina sebuah Negara Islam sepertimana yang dibina oleh Rasulullah SAW meliputi perpaduan, keadilan, ekonomi, politik melalui usaha-usaha dakwah dan doa kepada Allah SWT.

4. Umat Islam hendaklah sentiasa berhijrah ke arah yang lebih baik seperti menambahkan ilmu pengetahuan, meningkatkan taqwa, memajukan ekonomi dan memperbaiki hubungan dan perpaduan sesama masyarakat serta lain-lain dengan penuh istiqamah.

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (Surah al-Baqarah : 218).

Wallahualam.
Tags: hijrah, khutbah
Subscribe

Posts from This Journal “hijrah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments