mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Betulkan yang silap, biasakan yang betul

ALHAMDULILLAH kita menyambut Tahun Baru 1437 Hij­rah, Rabu lalu dalam suasana penuh bersemangat. Ini dibuktikan melalui perarakan kira-kira 50,000 umat Islam di Dataran Merdeka ke Masjid Negara. Ini tidak terma­suk sambutan peringkat negeri yang diadakan serentak di seluruh negara.

Sememangnya semangat sedemikian amat dialu-alukan dan bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud umat Islam itu adalah bersaudara. Kejayaan menghimpunkan puluhan ribu orang itu juga adalah bertepatan dengan tema sambutan Maal Hijrah iaitu ‘Perpaduan Nadi Transformasi Negara’.

Muharam adalah bulan pertama daripada 12 bulan dalam perkiraan orang Arab sejak zaman jahiliah. Namun mereka tidak ada sistem tahun seperti sekarang. Maka Khalifah Umar al-Khattab memutuskan selepas perbincangan dengan para sahabat yang lain, perkiraan tahun bagi umat Islam adalah bermula pada tahun hijrah Rasulullah SAW.

Dalam suasana kita me­raikan Maal Hijrah, mari kita perbetulkan beberapa salah faham mengenainya dalam masyarakat. Antaranya:

1.Hijrah Nabi Muhammad SAW dikatakan berlaku pada 1 Muharam.

Dalam hal ini, penulis ingin memetik penjelasan pendakwah bebas, Dr. Abdul Basit Abdul Rahman.

Beliau menjelaskan, hij­rah Baginda SAW ke Madinah sebenarnya bermula pada bulan Safar manakala hijrah sahabat-sahabat yang lain adalah lebih awal. Maksudnya penghijrahan itu berlaku beberapa bulan sebelum baginda berhijrah. Baginda SAW sampai ke Madinah pada bulan Rabiulawal dan bukannya bulan Muharam. (rujuk al-Rahiq al-Makhtum karangan Sheikh Syafiyyurahman al-Mubarakfuri)

2.Catatan amalan

Dakwaan bahawa catat­an amalan ditutup pada akhir Zulhijah dan dibuka pada awal Muharram sebenarnya tidak didasari dalil al-Quran dan juga hadis Nabi SAW.

Adapun hadis-hadis yang sahih menyebut bahawa amalan kita dibentangkan pada:

Setiap hari (setiap pagi dan petang.)

Dua kali seminggu (setiap Isnin dan Khamis)

3. Dijauhi api neraka jika memperingkatkan orang lain tentang Muharam.

Adapun mengenai hadis anjuran supaya memperingatkan bulan Muharam diberi ganjaran tidak dibakar api neraka, tidak dapat dikesan daripada mana munculnya hadis itu. Agak pelik juga apabila lafaz yang sama disebarkan untuk bulan-bulan lain seperti berikut:

“Barang siapa yang memperingatkan bulan Syaaban....”

“Barang siapa yang memperingatkan bulan Zulhijah....”

“Barang siapa yang memperingatkan bulan Rejab...”

Untuk itu, para ulama mengingatkan apabila mengetahui ini adalah hadis palsu maka menjadi kewajipan kita untuk tawaqquf (jangan sebar dan jangan beramal dengan hadis itu).

Sedaya-upaya yang mungkin, mari kita pastikan hanya hadis sahih yang dibesarkan lebih-lebih lagi dalam dunia tanpa sempadan dan zaman maklumat di hujung jari sekarang.

Ingatlah pesan nabi dalam sabdanya yang bermaksud: “Sampaikanlah daripadaku walau satu ayat. Ceritakanlah tentang Bani Israel dan tidak mengapa (jika kamu tidak me­nyampaikannya atau jika kamu menyampaikannya). Dan sesiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja maka biar dia sediakan tempatnya dalam neraka.” (Sahih Bukhari). - Mohd Radzi Mohd Zin Utusan Malaysia Rencana Agama 16 Oktober 2015 6:10 PM

Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments