mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Bersikap jujur setiap masa

KETAHUILAH sikap jujur adalah sifat terpuji, ALLAH SWT menjanjikan pahala berlipat ganda kepada individu berbuat demikian. Sikap jujur bukan sahaja dituntut sesama manusia, bahkan dengan ALLAH dan diri sendiri.

Nabi Muhammad SAW bersabda: "Hendaklah kamu berlaku jujur kerana kejujuran membawa kepada kebaikan dan membawa ke syurga. Seseorang itu akan berlaku jujur dan berusaha untuk terus bersikap jujur sehingga ditulis di sisi ALLAH sebagai 'siddiq' (orang yang jujur). Dan hendaklah kamu berjaga-jaga daripada berdusta kerana sikap dusta akan membawa kepada kefasikan dan kefasikan akan membawa ke neraka. Seseorang itu akan berdusta dan sentiasa berdusta sehingga ditulis di sisi ALLAH sebagai 'kazzab' (orang yang pendusta)." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Nabi SAW menuntut supaya kita bersikap jujur kerana ia permulaan akhlak yang baik atau sikap yang membawa kepadanya. Sebagaimana sabdanya dalam hadis di atas, "kerana kejujuran akan membawa kepada kebaikan" dan kebaikan adalah satu kata nama yang menghimpunkan segala hal-hal baik yang menjurus kepada ketaatan kepada ALLAH serta berlaku baik sesama manusia.

Ternyata kejujuran adalah lambang Islam itu sendiri, timbangan iman dan asas agama.


Golongan al-abraar

Sikap jujur juga menjadi petunjuk kesempurnaan seseorang. Orangnya memperoleh kedudukan tertinggi dalam agama dan dunia. Sebagaimana dengan sikap jujur orangnya akan sampai kedudukan al-abraar iaitu golongan mulia yang selamat daripada segala kejahatan. Keberkatan juga berkait dengan kejujuran. Sabda Nabi SAW: "Penjual dan pembeli mempunyai pilihan selagi mana mereka tidak berpisah; jika keduanya jujur dan tulus akan diberkati buat keduanya dalam transaksi mereka; adapun jika keduanya berdusta dan bermuslihat maka akan dicabut keberkatan transaksi mereka." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Realiti menjadi buktinya. Tidak ada mana-mana orang yang jujur dalam muamalahnya melainkan rezekinya akan terus mendatang di samping memperoleh pujian serta mendapat kredibiliti yang baik. Orang-orang berlumba-lumba untuk bermuamalah dengannya. Akhirnya orang tersebut memperoleh kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Tidaklah orang yang bersikap jujur melainkan dia akan disebut orang, dikasihi, dipuji dan disanjungi. Orang yang jujur kata-katanya diterima tak kira kawan mahupun lawan. Berbeza dengan si pendusta. Kawan dan teman pun tidak mempercayainya.


'Hodoh'nya pendusta

Betapa indahnya bicara orang yang jujur dan betapa hodohnya kata-kata orang pendusta. Orang yang jujur dipercayai dalam hal membabitkan harta, hak dan perkara rahsia. Berbeza dengan pendusta langsung tidak dipercayai walaupun dalam hal sebesar zarah. Jika ditakdirkan dia jujur, hal demikian tidak akan memberi kesan. Si pendusta tetap tidak akan dipercayai mahupun diyakini.

Berdasarkan kejujuran juga kertas perjanjian dimeterai. Hati orang yang menandatanganinya berasa senang dan tenang.

Orang yang jujur dalam bicara, dalam menyuruh dan melarang serta dalam mengambil dan memberi, dia akan dicintai dan dimuliakan di sisi ALLAH dan manusia. Kesaksiannya diterima, keputusannya adil, muamalahnya memberi manfaat dan duduk berdamping dengannya membawa berkat.

Orang yang jujur dalam pekerjaannya akan jauh daripada sikap riyak menunjuk-nunjuk. Dia hanya menginginkan pahala dan keredaan ALLAH. Solatnya, zakat, puasa, haji, menyambung silaturahim, bicara dan diamnya, muamalah serta segala gerak-gerinya, semuanya kerana ALLAH; tiada sekutu bagi-Nya.

Dia tidak ingin melalui sikap ihsannya kepada manusia sebarang penipuan mahupun muslihat. Sebagaimana dia tidak mengharapkan apa jua balasan dan ucap terima kasih daripada manusia. Hanya ganjaran akhirat yang diharapkan.

Sikap jujur menuntut orangnya berkata benar walaupun pahit. Kata-kata kritikan atau ejekan tidak akan menghalangnya. Kerana kejujurannya orang yang bergaul dengannya meyakininya serta mempercayainya atas diri, keluarga dan hartanya. Dia dipercayai orang hidup, diwasiatkan orang yang hendak mati, menjadi penjaga harta wakaf, penyimpan barangan amanah dan menunaikan hak-hak kepada orang yang layak.


Baik tutur kata

Orang beriman yang bersikap jujur tidak akan berbohong. Dia tidak akan berkata kecuali dengan kata-kata yang baik. Terdapat banyak ayat al-Quran yang menyebut mengenai kejujuran dan anjuran bersikap amanah.

Sabda Nabi SAW: "Tinggalkan apa yang kau ragu kepada apa yang kau tidak. Kejujuran adalah ketenangan manakala penipuan adalah keraguan." (Riwayat Ahmad, sahih)

Kata Ibnu Al-Qayyim RH: "Iman asasnya adalah kejujuran. Sikap munafik pula asasnya adalah kebohongan. Oleh itu, tidaklah sifat iman dan bohong bertemu melainkan akan berlaku satu pertembungan antara keduanya."

ALLAH SAW menjelaskan, pada hari akhirat, tiada yang akan menyelamatkan seorang hamba itu kecuali sikap jujurnya.


Tuturkanlah kata-kata yang baik dan usah berdusta dalam percakapan.

Firman ALLAH: "Pada hari ini akan bermanfaat buat orang jujur sikap jujur mereka." (Surah Al-Maa’idah: 119)

Lawan jujur adalah bohong. Perbuatan berbohong termasuk dalam dosa besar. Firman ALLAH: "Sesungguhnya laknat ALLAH atas orang-orang yang berdusta." (Surah Ali-Imran: 61)

Sifat berbohong antara tanda orang munafik sebagaimana dalam sabda Nabi SAW: "Tiga tanda orang munafik. Jika dia berkata dia berdusta; jika dia berjanji dia mungkiri; dan jika dia diamanahkan sesuatu dia khianati." (Riwayat Muslim)

Sikap dusta pula akan membawa kepada kefasikan dan kefasikan membawa ke neraka. Sebagaimana dalam hadis di awal tulisan ini.

Ternyata bahaya dusta sangat besar dan ancaman terhadapnya sangat berat.

Sangat wajar bagi kita untuk sentiasa melazimi sikap jujur dalam kata-kata, perbuatan dan muamalah kita di samping menjauhi sikap bohong demi meraih ganjaran pahala orang yang jujur serta selamat daripada azab seksa orang berdusta.

Tags: jujur
Subscribe

Posts from This Journal “jujur” Tag

  • Kejujuran dalam kehidupan

    Apakah pentingnya berkata benar dan jujur itu dalam hidup seseorang? JAWAPAN: Apabila saya amati soalan diatas, teringat saya pada pantun melayu…

  • Raih untung reda ALLAH

    ALLAH SWT berfirman: "Dan ALLAH menghalalkan jual beli iaitu perniagaan (al-Bai') dan mengharamkan riba." (Surah Al-Baqarah: 275).…

  • Keutamaan ikhlas Allah melihat kepada hati

    DALAM menjalani kehidupan yang penuh dengan kesibukan dan dugaan, sifat ikhlas sangat penting dipraktikkan. Sifat ikhlas mestilah datang dari hati…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments