mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

'Hijrah' ikut-ikutan

RABU lepas kita menginjak ke tahun baharu (1 Muharam 1437 hijriah). Cepat sungguh masa berlalu meninggalkan kita yang masih seperti dahulu. Saban tahun perkara sama berlaku selagi diri tidak beristiqamah dalam membuat perubahan.

Hijrah bermaksud meninggalkan atau keluar dari sebuah negeri ke negeri yang lain. Semasa berlaku penghijrahan Baginda SAW bersama sahabat dan kaum Muhajirin ke Madinah, terdapat seorang lelaki berhijrah kerana perempuan bernama Ummu Qais.

Lelaki itu digelar sebagai muhajir Ummu Qais. Lelaki itu berhijrah semata-mata kerana wanita dan bukannya ALLAH SWT dan Nabi SAW, menyebabkan si lelaki itu tidak mendapat apa-apa ganjaran kerana fokus penghijrahannya adalah wanita .

Pendakwah, Ustaz Mohamad Amiro Safwan Mohd Kamil berkata, iktibar yang boleh diambil daripada cerita di atas adalah jangan lakukan sesuatu selain kerana ALLAH dan Nabi SAW. Yang pasti, apabila berhijrah tidak boleh untuk ikut-ikut sahaja. Ikut-ikut ini hanya trend sementara dan tidak kekal.

Sedangkan hijrah yang sebenarnya adalah istiqamah dengan apa yang dilakukan, meninggalkan apa yang dilarang ALLAH.

"Ramai berhijrah sama ada berhijrah daripada satu tempat yang tidak selamat ke tempat lebih selamat atau tempat kerja yang tidak bagus ke tempat yang sesuai dengan jiwa. Kita tidak boleh klasifikasikan 'hijrah' ikut-ikutan ini sebagai penghijrahan yang sebenarnya.

"'Hijrah' ikut-ikutan ini ada positif dan negatifnya, saya huraikan da0ri sudut negatif  dahulu bagi memudahkan ia difahami. Pertamanya, jika seseorang Muslim itu terikut-ikut dengan perubahan ke arah yang tidak baik natijahnya dirasai sendiri individu itu. Bayangkan, daripada rajin melakukan perkara yang elok tiba-tiba terikut-ikut dengan perlakuan tidak sopan. Tatkala itu, individu sekeliling perlu memainkan peranan. Beri teguran sebelum serius dengan 'hijrah' ikut-ikutannya.

"Kedua, 'hijrah' ikut-ikutan ini tidak akan bertahan lama dan bersifat sementara sahaja,  dia berubah kerana terikut-ikut dengan gaya atau sikap yang mahu diikutnya. Apabila berakhirnya trend itu maka berakhirlah 'hijrah'nya. Sebagai contoh, kita lihat sekarang segelintir wanita contohnya yang tidak bertudung apabila melihat gaya bertudung semakin diterima dan kelihatan cantik di mata, dia mula memakai tudung dan berpakaian sopan. Dilihat di sini dia memakai tudung kerana ingin cantik tetapi dia sebenarnya tidak begitu. Sebaik dia tidak selesa, ditinggalkan." katanya kepada Rehal.

Menurutnya, perkara negatif yang ketiga adalah, berubah ikut-ikutan ini akan memupuk sikap tidak ikhlas terhadap amalan yang dilakukan dan memberi kesan yang tidak elok kepada individu sekeliling. Contohnya, seorang lelaki itu mahu berkahwin dengan wanita yang dicintai. Semasa merisik dan bertunang sehinggalah ke akad nikah dia menunjukkan sikap yang baik di hadapan isteri dan keluarga mertuanya. Selepas itu, hanya ALLAH yang tahu perangai sebenar lelaki itu. Sepatutnya, tonjolkan siapa dirinya yang sebenar dan bukan bersikap hipokrit.

RASULULLAH SAW bersabda: "Sesungguhnya ALLAH cintakan seseorang daripada kamu yang mengerjakan sesuatu dikerjakannya dengan teliti (bersungguh-sungguh)."


Sokongan ramai

Ustaz Mohamad Amiro berkata, setiap yang buruk ada baiknya. 'Hijrah' ikut-ikutan ini turut mempunyai kesan positif kepada individu yang berbuat demikian. Benar pada mulanya dia melihat rakannya bersolat lima waktu dan berpakaian menutup aurat. Lama kelamaan hatinya terpaut lantas dia ber'hijrah' ikut-ikutan seperti rakannya. Bukankah keadaan ini akan menjadikan dia lebih baik daripada sebelum ini.

"Sebagai kawan yang ada dan sering bersama dengan individu yang 'hijrah' ikut-ikutan ini, hendaklah selalu memberi kata perangsang dan dorongan. Jangan pula mengutuk itu dan ini sehingga sanggup 'mendoakan':

"Sekejap je berubah tu, dua tiga hari nanti seksi balik.". Siapa kita untuk mengadili mereka, ucapkan kata-kata positif dan doakan penghijrahannya diredai ALLAH.

"'Hijrah' ikut-ikutan ini juga adalah perkara baru bagi individu tersebut. Dia seolah-olah baru tersedar bahawa apa yang dilakukannya sebelum ini bersalahan sebagai seorang Muslim. Saranan saya kepada mereka supaya sabar dan cuba mengikuti langkah demi langkah secara perlahan, jika terlampau drastik kelak akan memakan diri. Apa yang kita takut adalah try and error. Cuba-cuba untuk berhijrah tetapi cepat berputus asa," katanya.

Menurutnya,  terdapat contoh lain yang boleh dikaitkan dengan 'hijrah' ikut-ikutan ini. Kita lihat di asrama, kebiasaannya warden asrama 'paksa' penghuninya supaya bersolat jemaah. Dan kebanyakan daripada mereka ikut kerana takut dimarahi tetapi di belakang warden sebaliknya. Bab yang berkaitan dengan pendidikan agama tidak boleh dibiarkan dan situasi paksa serta dipaksa akan terjadi. Nabi SAW sendiri pun memberi didikan kepada sahabatnya. Perihal menyuruh orang bersolat bukan sesuatu yang mudah, malah perlu dilakukan secara istiqamah dan memerlukan kesungguhan.

Apabila warden atau pihak asrama menetapkan peraturan itu, dan orang yang melakukan peraturan pasti mendapat kebaikan dan langsung tidak memberi manfaat kepada orang lain, Dan jika dia tidak melakukannya dia yang rugi. Fikir-fikirkanlah kerana anda pastinya seorang yang mukallaf.

Berubah mesti dengan kefahaman ilmu yang mendalam. Bukan didasari dengan sangkaan atau ikut-ikutan. Orang lain buat, kita buat. Kalau majoriti tolak, kita pun tolak. Akibatnya hanya akan membawa kepada masalah yang lebih besar atau lebih buruk daripada itu, ia mengundang fitnah kepada masyarakat, apatah lagi kepada agama Islam yang murni.


Perlu dipuji

Mengupas lanjut mengenai 'hijrah' ikut-ikutan, Ustaz Mohamad Amiro berkata, menyentuh bab pemberian sumbangan kepada individu memerlukan dengan memanggil ramai pengamal media untuk melaporkan dan menyiarkan mengenai sumbangan pemberiannya turut mempunyai timbal balik.

"Dari satu sudut yang lain, tindakan dilakukan individu itu pelu dipuji dan kemungkinan besar dapat mendidik kelompok yang berkemampuan supaya melakukan perkara yang sama. Tetapi jika setiap kali dia menyampaikan sumbangan dan menjadi bualan ramai sehingga mendapat liputan media dengan alasan untuk menunjukkan, tindakan itu dilihat tidak bertepatan dengan konsep memberi yang dituntut Islam.

"Begitu juga dengan trend hadir ke majlis ilmu, sepatutnya perlu dipuji  kerana masyarakat sekarang dilihat berminat untuk mempelajari ilmu agama jelas menunjukkan masyarakat semakin sedar. Soal untuk menunjuk kepada ramai dengan 'hijrah ikut-ikutan' yang dilakukan tidak perlu dipersoal. Kita tidak boleh terus menghukum dengan mengatakan apa yang dilakukan itu tidak elok, tanya diri kita dulu, baikkah perlakuan kita?," ulasnya lanjut.

Ustaz Mohamad Amiro menjelaskan, mana-mana syarikat yang menganjurkan kuliah agama dan bersolat secara berjemaah patut dipuji. Ia bukanlah wajib dan jika tidak menghadiri kelas akan jatuh hukum haram, tidak!. Sebaliknya apa yang dilakukan pihak syarikat adalah untuk mendidik kakitangannya dengan memberikan santapan kerohanian.

Jika difikirkan secara teliti, apabila dibebani dengan urusan kerja yang tidak pernah berkesudahan, seseorang itu langsung tidak ada keluangan untuk menghadiri kelas agama dan jika tempat kerjanya menganjurkan kelas agama perkara itu dilihat sangat bertepatan. Namun, semuanya terpulang kepada diri sendiri.


Teguran berhemah

Daripada Abu Said Al-Khudri, Nabi SAW bersabda: "Barang siapa antara kamu melihat suatu kemungkaran maka hendaklah dia mencegahnya dengan tangannya (kekuasaannya). Jika tidak mampu maka cegahlah dengan lisannya dan jika tidak mampu maka cegahlah dengan hatinya. Dan itu (mencegah dengan hati) adalah selemah-lemah iman." (Riwayat Muslim, At- Tirmidzi & Ahmad Ibnu Hanbal)

Dalam bab untuk memberikan nasihat atau teguran kepada sesiapa sahaja, terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian. Pertamanya, lakukan kerana ALLAH dengan niat untuk membantu dan bukannya untuk mendapat perhatian orang lain. Kedua, tegurlah individu berkenaan menggunakan bahasa yang lemah lembut. Maksudnya kita tidak menghina dan mencacinya. Ketiga, usah tegur di hadapan khalayak kerana ia akan mengaibkannya. Keempat, bagi harapan dan dorongan supaya 'hijrah' ikut-ikutan itu menjadi satu hijrah yang sebenar-benarnya dan dia istiqamah. Kelima, sentiasa mendoakan dirinya supaya dapat banyak manfaat daripada perubahan lantas menarik ramai lagi untuk hijrah bersamanya.

Usah terus menghukum individu yang melakukan penghijrahan dengan mengeluarkan kata-kata yang tidak sedap didengar, sebaliknya lorongkan mereka ke jalan agama yang diredai. Kerana itulah, kita memerlukan masyarakat yang faham dan celik mengenai hijrah. Seterusnya, sebagai ahli dalam masyarakat kita sepatutnya bersyukur kerana masih ada kelompok yang mahu berhijrah walaupun 'hijrah' ikut-ikutan. Doakan untuk mereka, semoga hijrah ini akan menjadi hijrah yang sebenar-benarnya.

Tags: hijrah
Subscribe

Posts from This Journal “hijrah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments