mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Pahala mudah 
dengan memberi air

KAGUM saya melihat kegigihan seorang remaja Arab ini. Ketika hampir Isyak beliau bergerak berulang alik di hadapan Kaabah membawa sejumlah cawan plastik dan sebuah bekas air besar lalu diagihkan kepada para jemaah. Khidmat yang mudah seperti ini adalah penyebab pahala yang mudah dan salah satu latihan akhlak mulia yang sangat bagus.

Akhlak adalah buah dan haruman bunga daripada pokok Islam. Petani yang cakna hasil tanamannya akan sentiasa membelai pokok dengan baja dan siraman yang baik demi mendapat buah serta bunga terbaik. Begitulah perumpamaan bagi akhlak yang mulia. Ia perlu dilatih dan dibelai.

Selari dengan budaya Melayu

PERBUATAN mulia seorang remaja Arab yang sanggup berulang alik di hadapan Kaabah untuk mengagihkan air kepada jemaah.

Walaupun nampak mudah dan remeh pada sesetengah pihak, memberi minum air kepada orang atau makhluk Allah mempunyai nilai yang sangat tinggi pada Allah. Lihat sabda Rasulullah SAW ini: “Ketika seorang lelaki berjalan pada sebuah jalan dia berasa sangat dahaga. Dia menemui sebuah perigi lalu turun ke dalamnya dan minum. Setelah keluar daripada perigi itu dia mendapati ada seekor anjing sedang terjelir sambil memakan tanah basah kerana dahaga yang amat sangat. Lelaki itu berkata anjing itu berasa terlalu dahaga seperti apa yang pernah aku rasai. Dia pun turun ke dalam perigi, mengisi kasutnya dengan air lalu menggigit (kasut itu) dengan mulutnya sambil memanjat naik ke atas dan memberi minum (air itu) kepada si anjing. Allah memuji lelaki itu (kepada para malaikat) dan mengampunkan dosanya. Para sahabat lalu bertanya: “Wahai Rasulullah adakah pada binatang pun ada peluang bagi kami mendapat pahala?” Rasulullah menjawab: “(Kebaikan) kepada setiap makhluk yang mempunyai hati yang basah (setiap makhluk hidup) memiliki ganjaran (pahala).” - Sahih Bukhari dan Muslim.

Dalam hadis lain, Rasulullah juga mengulang sebut kelebihan memberi minum kepada sahabatnya Sa’ad bin ‘Ubadah: “Sa’ad bin ‘Ubadah menceritakan, aku berkata: “Wahai Rasulullah! Ibuku sudah meninggal dunia, bolehkah aku bersedekah bagi pihaknya?: Baginda menjawab: “Ya (boleh).” Aku bertanya lagi: “Sedekah apakah yang terbaik?” Baginda menjawab: “Memberi (orang) minum air.” - Musnad Ahmad.

Rupanya berbuat baik dengan memberi air minuman ini pernah ditunjukkan oleh Nabi Musa AS. Kisahnya setelah diburu bangsa Firaun, Musa lari sehelai sepinggang membelah padang pasir ke negeri Madyan. Perjalanannya yang lama tanpa bekal makan dan minum sangat mencabar. Apabila sampai ke Madyan, kebajikan pertama yang baginda lakukan adalah `memberi minum’ kepada ternakan dua gadis walaupun baginda sendiri sangat letih, haus dan kelaparan: “Ketika dia (Musa AS) sampai di telaga air negeri Madyan, dia dapati di situ sekumpulan lelaki sedang memberi minum (binatang ternak mereka), dan dia juga dapati di sebelah mereka dua perempuan yang sedang menahan kambing mereka (berdua). Dia bertanya: “Apa hal kamu berdua?” Mereka menjawab: “Kami tidak boleh memberi minum (kambing kami) sehingga penggembala itu membawa balik binatang ternak mereka dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya.”

Maka Musa pun memberi minum kepada binatang ternak mereka, kemudian dia pergi ke tempat teduh lalu berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan” (al-Qasas [28:23-24]).


AMAL KEBAJIKAN


Abdullah Ibn ‘Abbas pernah ditanya apakah amal kebajikan paling utama dilakukan? Beliau menjawab: “Memberi air (minuman) kepada orang. Mengapa? Tidakkah kamu membaca bagaimana ahli neraka pun mengharapkan curahan air dari ahli syurga.” (Tafsir Ibn Kathir & Tafsir al-Qurtubi). Kata-kata beliau itu dipetik daripada firman Allah: “(Tuhan menerangkan pula kehinaan ahli neraka dengan firmannya): ahli neraka menyeru ahli Syurga (dengan berkata): “Limpahkanlah kepada kami sedikit daripada air atau daripada rezeki (makanan) yang telah dikurniakan Allah kepada kamu”. Mereka (ahli Syurga) menjawab: “Sesungguhnya Allah telah haramkan kedua-duanya kepada orang kafir.” (al-A’raf [7:50]).

Saya dan anda semua mungkin sudah tahu kelebihan memberikan air (minuman) kepada orang, namun hati masih bakhil untuk memaksa tubuh melaksanakan amalan ini. Sungguh, tindakan remaja Arab ini membuka mata hati saya.

Budaya Melayu yang biasa menghidangkan air kepada tetamu rupanya suatu amalan terpuji yang disaran Islam. Selepas ini jika tetamu mengelak daripada menerima walau seteguk air daripada kita, sebutlah: “Saya mahu pahala ini kerana ia adalah Sunah Rasulullah SAW.” Cuma pastikan air yang mahu dihidangkan tidak pula membawa musibah penyakit kepada tetamu anda dengan gula berlebihan. Selamat beramal!

Tags: air, pahala
Subscribe

Posts from This Journal “pahala” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments