mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Kebebasan beragama ikut Perlembagaan

BEBERAPA perkara asas Perlembagaan yang sering dianggap sensitif dan tidak mudah untuk dibincangkan secara terbuka ialah hal berkaitan hubungan antara penganut agama.

Agama adalah satu perkara yang begitu dekat dengan diri dan hati penganutnya. Soal sensitiviti ini amat benar kerana kita sudah saksikan sejarah dunia mengenai persengketaan, bahkan peperangan akibat kegagalan sistem sosial dan perundangan menangani permasalahan antara penganut agama.

Bagi negara dan masyarakat kita, sistem sosial dan perundangan sentiasa mengambil berat perkara ini. Perlembagaan kita yang digubal dalam keadaan di mana soal sensitiviti agama dan perubahan landskap kewarganegaraan begitu terzahir sudah mengambil perhatian yang begitu mendalam mengenai sensitiviti agama.

Perlembagaan mencipta formula penting dalam hubungan antara penganut agama ini. Perlembagaan juga mengambil perhatian mengenai sensitiviti agama masyarakat Islam selaku kumpulan terbesar dari segi bilangan dan penganutnya.

Kebebasan beragama

Dalam soal ini juga Perlembagaan mengambil pendekatan yang begitu baik dalam menjaga sensitiviti masyarakat beragama yang bukan menganut agama Islam.

Mereka dibenar dan dijamin oleh Perlembagaan mengenai hak dan kebebasan menganut dan mengamal agama mereka. Agama sudah membentuk satu konsep penting dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ketika penggubalan Perlembagaan tidak lupa hubungan antara penganut agama. Apatah lagi apabila Perlembagaan kita ini digubal dalam keadaan kesukaran pengaruh komunis yang diketahui sebagai satu fahaman yang menolak ketuhanan.

Dalam proses kemerdekaan itu sudah dizahirkan kebimbangan dalam kalangan penganut agama bukan Islam mengenai hak mereka, terutama hak kebebasan beragama.

Dalam usaha menjaga kedudukan Islam sebagai agama negara, Perlembagaan meletakkan dasar yang sangat jelas mengenai agama dan hubungan antara penganut agama, iaitu setiap agama boleh diamalkan dalam keadaan 'aman dan damai'.

Formula ini disebut dengan jelas dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan mengenai kedudukan agama Islam sebagai agama bagi negara. Formula ini tidak diberikan penjelasan secukupnya dalam dokumen sejarah Perlembagaan.

Walaupun tiada dokumen yang memberikan penjelasan secukupnya mengenai formula itu, saya fikir kita sudah begitu jelas dengan prinsip yang ada, iaitu, setiap anutan atau amalan agama hendaklah sentiasa mementingkan keamanan dan keharmonian atau kedamaian dalam negara.

Keamanan dan kedamaian ini bukan hanya merujuk kepada tanggungjawab yang dipikul oleh penganut agama, termasuk juga hal berkaitan agama Islam.

Walaupun Islam itu adalah agama negara, anutan dan amalan agama berkenaan juga perlu diamalkan dengan aman dan damai sebagaimana ajaran dan kehendak agama Islam itu sendiri.

Kesejahteraan awam

Jika dirujuk kepada ajaran agama Islam, peruntukan Perlembagaan kita adalah menepati prinsip Islam sebenar, iaitu mementingkan kesejahteraan awam dalam menentukan perhubungan antara penganut agama.

Antara kebimbangan yang dizahirkan ketika cadangan Parti Perikatan untuk memasukkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan ialah mengenai paksaan yang mungkin dikenakan oleh Islam ke atas penganut agama lain.

Penzahiran kebimbangan ini diambil perhatian oleh Parti Perikatan dengan menyatakan jaminan mengenai kebebasan beragama. Oleh itu kebebasan beragama disebut dalam Perkara 3 yang menyatakan mengenai bolehnya agama lain diamalkan.

Selain itu, kebebasan beragama juga dijamin oleh Perkara 11. Penzahiran kepada kebimbangan itu dapat menyelesaikan polemik pada ketika itu.

Menurut ajaran agama Islam yang sebenar, masyarakat yang menganut agama lain tidak perlu bimbang kepada 'paksaan' kerana agama Islam tidak membenarkan umatnya membuat paksaan bagi tujuan pemelukan kepada agama Islam.

Dalam ayat suci al-Quran dalam Surah al-Baqarah ayat 157. Pendekatan Islam ini disokong oleh peruntukan Perlembagaan dengan adanya peruntukan dalam perkara 3(1) dan Perkara 11.

Oleh itu, penganut agama lain tidak lagi perlu gusar kepada 'paksaan' ke atas mereka untuk menganut agama Islam. Hak kebebasan itu bukan sahaja dalam ajaran agama Islam, tetapi dimaktub dan seterusnya dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan. Untuk orang Islam,

Perlembagaan menjaga mereka dengan baik untuk menganut dan mengamal agama mereka. Janganlah pula mereka sendiri yang menentang ajaran agama sendiri. Dr Shamrahayu A Aziz Berita Harian Kolumnis 21 Oktober 2015
Tags: agama, bebas, perlembagaan, sejahtera
Subscribe

  • Sifat malu halang kemungkaran

    Ajaran Islam diwahyukan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW adalah panduan hidup yang lengkap untuk manusia mengenal dan mengakui Tuhan yang…

  • Malu bukan penghalang wanita berjaya

    Golongan beriman tahu menjaga kesucian diri lebih dihormati masyarakat Setiap wanita harus bijak mengurus kehidupan sesuai dengan sifat malu yang…

  • Sifat malu benteng elak kemungkaran

    Maksiat dan kejahatan semakin menjadi-jadi, malah pelakunya tiada perasaan malu melakukan perbuatan itu terang-terangan. Apabila hilang perasaan…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments