mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Bila wanita faham al-Quran

BAYANGKAN diri anda sebagai seorang bapa, suami dan anak tatkala melihat ibu, isteri atau anak perempuan khusyuk membaca al-Quran lengkap dengan terjemahan.

Kelihatan juraian air mata di pelupuk mata mereka saat berbicara dengan ALLAH SWT. Damai berasa di hati berdepan suasana itu.

Segelintir Muslimah hari ini menunjukkan minat mendalami al-Quran. Ramai dalam kalangan mereka sanggup mengikuti kelas pada hujung minggu atau selepas Maghrib.

Adakah wanita di luar sana mahu belajar dan yakin al-Quran itu mudah diamalkan dan berasakan al-Quran itu sedang berbicara dengannya?

Jauh dari sudut hati, pasti ada wanita yang berimpian untuk faham dan menjiwai al-Quran sepenuhnya. Biarlah seluruh kehidupan dipandu dengan petunjuk dan panduan al-Quran. Mereka juga mengharapkan agar cahaya al-Quran sentiasa menyinari hati. Kerana hanya dengan cahaya al-Quran, mereka tidak akan sesat selama-lamanya.

Hakikatnya, al-Quran bukan seperti buku lain. Setiap perkataan yang terkandung dalam kitab ini adalah daripada ALLAH dan kefahaman kita sebagai wanita terhadap kitab ini juga datang daripada ALLAH. Dalam memahami kitab ini, usaha dan kegigihan amat diperlukan.

Atas dasar itulah, satu seminar khusus untuk wanita bertajuk Bila Wanita Faham Al-Quran diadakan baru-baru ini anjuran Akademi Sinergi Ikhlas. Kisah yang dipaparkan dalam al-Quran ini diharapkan menjadi ibrah kepada wanita moden hari ini yang 'dahaga'kan santapan minda seperti ini.


Didiklah anak-anak berlandaskan acuan dan cara didikan yang diterapkan Baginda SAW.

Seminar pada 17 Oktober lepas ini diadakan di Auditorium Sultan Muhammad keempat, Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam, Selangor dihadiri lebih 100 peserta. Seminar berkenaan menampilkan empat panel antaranya pendakwah dan penulis, Ustaz Syaari Abdul Rahman; Ketua Eksekutif dan pengasas bersama Akademi Sinergi Ikhlas, Tuan Fazrul Ismail; Pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan ahli jawatankuasa Persatuan Ulama Malaysia (Pum), Asmak Husin dan pakar perunding Obstetriks & Ginekologi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Dr Harlina Halizah Siraj.


Faham  IBRAH

ALLAH berfirman: wahai Adam, beradalah kamu, nikmatilah syurga ini yang kami sediakan untuk kamu bersama isterimu...(Surah Al-Baqarah: 35)

Ustaz Syaari menjelaskan, dalam al-Quran, ALLAH disebutkan secara konsisten dalam banyak surah bahawasanya Nabi ALLAH Adam mesti menikmati syurga bukan keseorangan. ALLAH ciptakan bukan sekadar syurga tetapi turut menciptakan Hawa (diciptakan khas kepada Nabi Adam). Ini menunjukkan kejadian syurga itu bukan untuk lelaki sehaja, tetapi wanita juga.

"Saya ambil perkataan ibrah itu I.B.R.A.H dan kongsikan dengan anda semua bagaimana formula ini dapat membantu kita untuk berfikir dan  memahami pengajaran daripada kisah wanita dalam al-Quran. Dalam al-Quran ada 17 kisah wanita yang ALLAH ceritakan (14 yang baik dan tiga tidak baik).

"Tanya pada diri kita, di manakah kedudukan kita hari ini? bagaimanakah pandangan kita terhadap al-Quran?. Adakah kita hanya sekadar baca al-Quran itu, kita baca dan belek terjemahannya, baca berulang kali dan cuba untuk memahami setiap ayatnya dan kita membaca dengan hati sehingga menangis. Kita harus memahami apa itu konsep faham. Faham itu ertinya bukan sekadar baca dengan laju, bukan sekadar baca dan tahu terjemahan tetapi  membaca dengan penuh persoalan," katanya.

Beliau menyentuh bila wanita faham al-Quran adalah dengan fahamnya cerita-cerita  perihal wanita yang diceritakan dalam al-Quran. Selain itu, Ustaz Syaari berkongsi tiga wanita daripada 17 wanita dalam al-Quran dengan menggunakan pendekatan menimbulkan persoalan. Seorang wanita akan kagum dengan ayat-ayat al-Quran perihal kisah wanita sekiranya mereka membaca dengan penuh persoalan dan berjaya mendapatkan jawapan yang memuaskan.


Jadikan teladan dalam al-Quran, wanita zaman Nabi SAW sebagai ikutan

USTAZ Syaari turut membawakan satu contoh daripada cerita mengenai kakak Nabi Musa dalam al-Quran. Kenapa ALLAH tidak menyebut namanya, kenapa ALLAH membawa ceritanya dengan sangat ringkas. Kisah kakak Nabi Musa sarat dengan tiga kualiti seorang wanita muda yang tangkas bergerak, proaktif memahami arahan dan seorang yang sangat berani.

Rata-rata peserta yang menghadiri seminar tidak berpuas hati malah mahukan ulasan lanjut dengan penjelasan beliau, sebaliknya itulah tujuan seminar bagi menimbulkan keinginan yang lebih kuat kepada peserta bagi mendalami al-Quran itu secara khususnya.

Ustaz Syaari berjaya membuktikan bahawasanya cerita-cerita dalam al-Quran bukan  sahaja untuk menerangkan mengenai sejarah, ia mempunyai ibrah, motivasi dan pengajaran kepada wanita di luar sana yang dahagakan ilmu al-Quran.


Penggoncang dunia

Dr Harlina ketika mengupas tajuk: Wanita yang menggoncang dunia menjelaskan kenapa seminar Bila wanita faham al-Quran diadakan? Objektifnya adalah untuk menyuntik motivasi melalui contoh- contoh wanita yang memberi impak kepada masyarakat pada zaman sahabat dan zaman moden ini. Ciri-ciri yang ada pada mereka amat diperlukan wanita kini bagi menjadi mereka yang mampu menggoncang dunia.

"Al-Quranul Karim adalah sumber dalam memberikan perkhabaran gembira dan peringatan duka, al-Quran sebagai peringatan, sebagai penawar, rahmat dan juga ancaman kepada yang ingkar. Ia juga menjelaskan kepada umat manusia mengenai wanita (adakah mereka diciptakan untuk menghuni syurga atau neraka) dan turut menerangkan siapakah wanita penggoncang dunia, siapakah penghuni syurga, bagaimana dan apakah caranya untuk mengorak langkah ke syurga (apa bekalan wanita).

"Kaum wanita juga boleh menjadi salah satu fitnah terbesar bagi umat ini. Itu terjadi jika tuntutan al-Quran dan as-Sunnah diacuhkan, aturan Ilahi dilecehkan. Sabda Rasulullah SAW: "Aku melihat ke dalam syurga maka aku melihat kebanyakan penghuninya adalah fuqara' (orang-orang fakir) dan aku melihat ke dalam neraka maka aku menyaksikan kebanyakan penghuninya adalah wanita." (Riwayat Bukhari & Muslim)," jelasnya lagi.

Menurutnya, hanya Maryam disebutkan namanya (sebanyak 30 kali secara jelas), malahan satu surah khusus atas namanya. Nama-nama wanita yang lain tidak disebutkan nama secara terperinci, melainkan disandarkan kepada suami, bapa atau anak mereka dan atas kisah yang khusus.


Ikon solehah

Wanita sekalian, berperibadilah seperti ikon wanita solehah yang bertaraf 'lima bintang' iaitu isteri Nabi SAW, Siti Khadijah (al-Kubro) Khuwailid. Keperibadian Siti Khadijah lengkap dengan lima kategori sebagai ikon solehah iaitu akidah sahih, berkeperibadian yang luhur, kecerdasan akal, kejernihan hati dan kecergasan fizikal.

Sehinggakan Nabi SAW memberi penghargaan kepada Siti Khadijah dengan bersabda: "ALLAH tidak memberikan pengganti untukku yang lebih baik daripada Khadijah. Dia percaya kepadaku tatkala orang lain mengingkariku, dia membenarkanku tatkala orang lain mendustakanku, dia menyerahkan hartanya kepadaku tatkala orang lain menghalangiku dan ALLAH mengurniakan keturunanku melalui rahimnya tatkala aku tidak memperolehnya daripada perempuan lain."

Dalam masa yang sama, wanita Islam  di luar sana juga menuntut:

Komitmen daripada kaum lelaki untuk mencontohi Rasulullah SAW dalam semua aspek kehidupan.

Sokongan dan dokongan masyarakat untuk menjalankan tugas dan peranan keibuan dengan cemerlang.

Perlaksanaan syariah Islam yang akan menjamin keadilan dan layanan saksama terhadap semua.


Wanita hari ini

Kehidupan wanita moden hari ini sangat berbeza dengan gaya hidup wanita sebelumnya. Pagi-pagi lagi jalan raya sudah sesak dengan ramai wanita yang keluar bekerja dengan tujuan untuk membantu suami menambah pendapatan. Apabila meningkatnya kos sara hidup, makin ramailah wanita berpusu-pusu keluar mencari pekerjaan.

Ustazah Asmak ketika membentangkan kertas kerjanya bertajuk Wanita: Antara kerjaya dan rumah tangga menjelaskan, wanita bekerjaya hari ini mempunyai banyak cabaran iaitu cabaran imej, cabaran keagamaan, cabaran keseimbangan hidup dan cabaran kerjaya.

"Wanita hari ini terperangkap dengan dua imej iaitu wanita Barat yang dilihat berkerjaya hebat dan profesional dan wanita Melayu terakhir yang dilihat duduk di rumah bagi menguruskan rumah tangga sepenuh masa.

Wanita juga berdepan dengan konflik antara rumah dan kerjaya, bagaimana untuk menyeimbangkan keperluan dunia dan akhirat. Keadaan ini bakal mengakibatkan wanita menghadapi kemurungan.

 "Golongan wanita hari ini perlu kuat. Mereka bukan hanya bergelar pekerja, sebaliknya  ibu dan isteri. Kerana itu, teladanilah ikon wanita pada zaman Baginda SAW seperti Zainab Binti Jahshiy (isteri Rasulullah SAW), Asma' binti Abu Bakar (penjaga, pemungut dan penjual kurma), Sahl binti Saad (menanam lobak manis di ladang) dan Shifa' Binti Abdullah (Umar Al-Khatab selalu mendapatkan buah fikirannya dalam pentadbiran negara)." katanya.

Menurut beliau lagi, ciri wanita yang faham al-Quran adalah mereka memahami kesaksamaan hak, diangkat dengan kapasiti khalifah, pengukuhan kepakaran fitrah, pendidikan tertinggi dan ada maruah serta peribadi terpelihara.

Beliau turut memberikan tip untuk menyeimbangkan kerjaya dan rumah tangga iaitu:-

1-  Bijak menggunakan masa

2-  Spritual

3-  Emosi

4-  Fizikal

Jadilah Muslimah solehah, jika anda seorang daripadanya syurgalah tempat abadimu. "Apabila seorang wanita solat lima waktu, puasa sebulan (Ramadan), menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya, maka dikatakan kepadanya: Masuklah engkau ke dalam syurga dari pintu mana saja yang engkau sukai." (Riwayat Ahmad)

Tags: al-quran, wanita
Subscribe

Posts from This Journal “wanita” Tag

  • Khutbah Jumaat: Menghargai Pengorbanan Wanita

    Petikan Khutbah Jumaat: 15 September 2017M /24 Zulhijjah 1438H JAKIM Menghargai Pengorbanan Wanita Allah SWT telah meletakkan kedudukan…

  • Ke mana wanita ingin pergi?

    WANITA Islam di Malaysia tidak terpinggir! Itu hasil kajian sedekad yang lalu untuk melihat keterlibatan wanita dalam proses pembangunan negara…

  • Wanita Syurga Permata Dunia

    SETIAP manusia beriman mengimpikan syurga sebagai kediaman abadi mereka. Namun, masih ramai yang tidak tahu mengenai jalan menuju ke syurga bahkan…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments