mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Riak dalam amalan

SEORANG lelaki baru selesai mendirikan solat sunat duha di sebuah masjid sekitar tempat kerjanya. Usai berdoa tangannya sibuk meraba kocek seluar untuk mencari telefon pintar miliknya.

Bermulalah aksi selfienya dalam masjid. Lantas dia memuat naik gambar dan status dengan keterangan "Alhamdulillah, ana baru selesai mengerjakan solat sunat duha di masjid ini, ana sudah, anta bila lagi?".

Kebaikan ada sisi kecantikannya. Kebaikan bukan sekadar dilihat baik bahkan kebaikan perlu datang daripada sesuatu yang suci. Maka tidak mustahil apabila Islam begitu mementingkan perkara seperti ini, wujud istilah ikhlas dan riak.

Perbahasan ini wujud dalam al-Quran dan juga hadis Nabi Muhammad SAW. Ulama pula terus menerus membahaskan perkara ini.

Mengapa? Ini menunjukkan betapa sukar untuk mencapai kedudukan ikhlas dan menjauhkan diri daripada sifat riak. Persoalan riak ini yang cuba dibincangkan dan dikupas Rehal secara mendalam.


Ikhlas atau menunjuk?

Dalam Islam, riak dikenali sebagai syirik yang tersembunyi. Rasulullah SAW bersabda: "Syirik yang tersembunyi ialah seseorang yang mendirikan solat dan dia menghiasi solatnya itu agar dapat dilihat lelaki lain.(Riwayat Ibnu Majah & Baihaqi)

Pendakwah, Ustaz Amly Asenar menjelaskan, hari ini, segelintir individu melakukan kebaikan bukan sekadar dilihat oleh seorang sahaja, malah dapat dilihat oleh beribu dan berjuta orang. Hanya beberapa minit sahaja diperlukan. Inilah kehebatan media sosial yang dikenali dengan laman sosial Facebook,  Aplikasi WhatsApp dan sebagainya. Maka kita dapat melihat ada yang mempamerkan kebaikan seperti melakukan solat, bersedekah, menolong orang menukar tayar yang pancit dan sebagainya.

"Semuanya dirakamkan, antaranya dengan selfie. Apakah kedudukan amalan mereka ini? Ikhlas atau tak? Nak buat baik ke nak menunjuk?.

"Jawapannya ialah kita tidak boleh menghukum dengan mudah. Kedudukan amalan antara ikhlas dan riak mempunyai hubung kait yang berbeza-beza. Sebagai contoh, amalan bersedekah. Secara asasnya bersedekah tanpa diketahui adalah lebih baik. Namun jika pemberi sedekah itu boleh menjaga dirinya daripada riak dan ada tujuan yang baik iaitu mahu menjadi inspirasi dan dorongan kepada orang lain pula maka dia boleh memperlihatkan sedekahnya. Kesimpulan contoh ini, ulama membenarkan pada satu ketika dan melarang pada ketika yang lain," katanya.

Menurutnya, hati memainkan peranan utama. Mencari keikhlasan perlu diutamakan. Jika ada keperluan untuk memperlihatkan amalan baik, apakah tujuannya? Sejauh mana cara sebaran yang diperlukan? Sehingga bila? Sebabnya, keterlaluan dalam sebaran akan memberi kesan kepada hati.

Orang yang ikhlas mengetahui perkara ini kerana yang dikejar olehnya ialah reda ALLAH SWT dan bukannya reda manusia. Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh Imam As-Syafie, beliau berkata: "Hanya orang yang ikhlas sahaja kenal sifat riak."

Ini bermaksud orang yang mencari keikhlasan telah bersungguh-sungguh dalam masa yang lama, mereka mencuba, meneliti setiap amalan yang dibuatnya, adakah benar-benar ikhlas.


Helah syaitan

Beliau yang juga penulis menjelaskan lagi, mungkin ada yang dapat mengetahui semua helah syaitan dalam memerangkapnya kepada riak. Mungkin ada yang dapat sebahagian sahaja. Maka usaha sebegini yang menjadikan orang yang berusaha untuk ikhlas mengetahui apa yang dikatakan riak.

"Adapun yang sekadar berkata dia mengetahui riak sedangkan tidak pernah cuba untuk ikhlas maka dia sebenarnya jahil.

"Kita pastinya selalu dengar kata-kata ini "Aku tak riak pun." Adakah yang sering memaparkan aktiviti kebaikan akan bermudah-mudah berkata begini? Adakah dia akan terus melakukan kebaikan yang sama jika tidak disebarkan? Adakah semangatnya berbeza apabila kebaikannya disebarkan?," ulasnya lanjut.

Menurutnya, renunglah dalam-dalam persoalan seperti ini sebelum mengatakan "Aku tidak riak". Orang yang ikhlas akan sentiasa bertanya kepada hatinya. Dia sentiasa cuba menyembunyikan kebaikannya kecuali ada keperluan.

Nikmatnya berbeza apabila hanya ALLAH yang tahu. Tiada kerugian dirasakan olehnya andainya manusia tidak tahu. Begitulah yang mungkin dirasakan oleh pencari keikhlasan.

Akhir kata, riak ialah syirik yang tersembunyi dan niat mempamerkan kebaikan untuk mendapat pujian adalah dilarang sama sekali. Namun, ada ketikanya memperlihatkan kebaikan itu dibenarkan.

Oleh itu, tanyalah hati, apakah rasanya nikmatnya ketika ALLAH melihat atau manusia yang melihatnya. Tepuklah  dada tanyalah iman. Syahidatul Akmal Dunya Sinar Harian Rehal 23 Oktober 2015

Tags: riak, sombong
Subscribe

Posts from This Journal “riak” Tag

  • Pamer sikap riak di laman sosial

    ALHAMDULILLAH, hampir seminggu kita berpuasa. Seperti yang kita maklum, pada bulan Ramadan inilah umat Islam berlumba-lumba ingin melakukan ibadah…

  • Riak, gemar mengungkit hapuskan pahala kebajikan

    FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: "Adakah seseorang di antara kamu suka mempunyai sebuah kebun daripada pokok tamar (kurma) dan anggur yang…

  • Nampak baik tapi riak

    ADAKAH ada antara kita yang suka berpenat-lelah bekerja, malangnya kerja itu tidak memberikan apa-apa hasil pun? Atau setiap hari pergi bekerja,…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments