mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Evolusi perundangan syariah tak berpaksi pengaruh penjajah

UNDANG-UNDANG Islam seharusnya menjadi teras kepada sistem perundangan di Malaysia kerana Perlembagaan Persekutuan memberi kedudukan istimewa kepada Islam sebagai agama bagi Persekutuan seperti termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 3 menegaskan Islam bukan sekadar agama rasmi, tetapi agama bagi Persekutuan. Malah, mahkamah juga telah memberi tafsiran kepada Perkara 3 bagi menjelaskan kedudukan Islam. Kes Mahkamah Tinggi iaitu Meor Atiqurrahman lwn Fatimah Sihi Hakim Mohd Noor memutuskan, "Islam adalah agama bagi Persekutuan, tapi agama lain boleh diamalkan dalam aman dan damai. Islam adalah agama utama di antara agama lain seperti Kristian, Buddha dan Hindu.

Islam bukan setaraf dengan agama lain, bukan duduk berganding bahu dengan agama lain atau berdiri sama tegak. Ia duduk di atas, berjalan dahulu, terletak di tempat medan dan suaranya lantang kedengaran.


MAHKAMAH Syariah melaksanakan perundangan berlandaskan hukum syarak. - Foto hiasan
Islam ibarat pokok jati. Tinggi teguh dan terang. Jika bukan sedemikian Islam bukanlah agama bagi Persekutuan."

Kes Mahkamah Persekutuan iaitu Lina Joy lwn Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan pula, Hakim Ahmad Fairuz memutuskan, "Islam itu bukan suatu himpunan dogma-dogma dan ritual-ritual, tetapi ia juga suatu cara hidup yang lengkap merangkumi semua bidang aktiviti manusia persendirian dan awam, perundangan, politik, ekonomi, sosial, budaya, moral atau kehakiman."

Malah, dua penghakiman terbaharu mahkamah dalam kes ZI Publication Sdn Bhd (kes penerbitan buku Irshad Manji) dan kes Muhammad Juzaili (kes transgender) telah lebih memperkukuhkan kedudukan istimewa Islam selaras keputusan kes terdahulu.

Kedudukan tinggi undang-undang Islam

Dalam aspek lain, tingginya kedudukan undang-undang Islam dapat dilihat daripada peruntukan Perlembagaan seperti Perkara 150(6A) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa legislatif semasa darurat tidak boleh membabitkan perkara berkaitan undang-undang Islam.

Kuasa diperoleh dalam darurat tidak boleh memberi kesan kepada undang-undang Islam tetapi masih perlu dilakukan melalui prosedur khusus dan persetujuan majoriti perlu diperoleh berdasarkan Perkara 159 dan 161E.

Begitulah tingginya kedudukan undang-undang Islam di negara kita. Ini disebabkan sifat Perlembagaan yang mengabsahkan susun atur dan persetujuan masyarakat setempat berdasarkan lunas sejarah serta persetujuan bersama.

Sesetengah golongan masih berpandangan Perlembagaan Persekutuan adalah manifestasi simbol penjajah kerana tiada seorangpun anak watan yang menganggotai Suruhanjaya Reid yang mendraf dan menggubal Perlembagaan Persekutuan sehingga menjadi undang-undang tertinggi di Malaysia.

Memang benar tiada seorangpun anak watan menjadi anggota suruhanjaya itu namun, ia tidak bermakna penjajah yang menginginkan Perlembagaan sedemikian.

Terma rujukan ahli Suruhanjaya antara lainnya meneliti memorandum dan kehendak masyarakat umum ketika itu susun atur yang dipersetujui. Suruhanjaya Reid hanya menterjemah kehendak rakyat dalam bentuk Perlembagaan Persekutuan.

Dalam hal demikian adalah tidak tepat jika dikatakan bahawa undang-undang Islam di Malaysia masih berada di bawah pengaruh kolonial. Mungkin dari sudut format yang mana konsep Westminister itu masih lagi diikuti di Malaysia, tetapi isi kandungan undang-undang itu sebenarnya tidak bertentangan dengan Islam.

Kita juga boleh melihat undang-undang Islam pada zaman penjajah adalah umum dan terhad, tetapi kini pelbagai usaha dilakukan bagi memartabatkan undang-undang Islam.

Umpamanya Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak 1952 di Selangor yang digubal waktu penjajahan telah mengumpulkan hampir semua perkara mengenai Islam dalam enakmen itu seperti penubuhan majlis agama, mahkamah syariah, mufti, kesalahan jenayah syariah, tatacara dan keterangan mahkamah, baitulmal, nikah cerai dan banyak lagi.

Tetapi evolusi perundangan syariah sekarang telah berjaya mengasingkan undang-undang itu mengikut bidang masing-masing supaya menjadi lebih komprehensif. Hasilnya, kita dapati terdapat pelbagai undang-undang mengenai agama Islam seperti Undang-Undang Pentadbiran Hukum Syarak. Undang-Undang Mahkamah Syariah, Undang-Undang Keluarga Islam, Undang-Undang Tatacara Mal, Undang-Undang Tatacara Jenayah, Undang-undang Kesalahan Jenayah Syariah, Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah, Undang-undang Waqaf, Undang-Undang Wasiat dan banyak lagi.

Semua undang-undang yang digubal itu tidak lagi berpaksikan kepada pengaruh penjajah kerana pemikir undang-undang semuanya anak watan yang terlatih dalam bidang masing-masing. Pindaan menggambarkan kehendak masyarakat Perlembagaan Persekutuan juga telah berpuluh kali dipinda untuk disesuaikan dengan kehendak zaman dan semasa.

Pindaan kepada peruntukan

Perlembagaan Persekutuan itu menggambarkan kehendak masyarakat selepas merdeka tanpa campur tangan British lagi.

Persoalan sekarang ialah sama ada kita masih ingin memainkan sentimen retorik iaitu mengetepikan Perlembagaan Persekutuan semata-mata ia digubal oleh bukan anak watan sekali gus membuang peruntukan penting mengenai kedudukan istimewa agama Islam atau kita mahu mengisi falsafah Perlembagaan Persekutuan bagi memberi impak lebih besar ke arah memartabatkan kedudukan istimewa agama Islam.

Memang benar dengan peruntukan yang ada sekarang kedudukan istimewa itu akan terus dicabar di mahkamah, namun dengan tafsiran yang diberikan oleh mahkamah ketika ini ia tidak boleh dipersoalkan lagi oleh mana-mana pihak.

Sudah tiba masanya mahkamah membuat keputusan yang tuntas supaya tiada lagi cabaran terhadap kedudukan istimewa Islam dibuat di mahkamah. Begitu juga hak istimewa orang Melayu dan kedudukan istimewa Raja-Raja Melayu tidak harus lagi dimomokkan dengan pelbagai tohmahan di mahkamah.
Tags: akta, enakmen, mahkamah, syariah
Subscribe

Posts from This Journal “syariah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments