mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Hijrah bukan sekadar lintasan sejarah

SEHARUSNYA kehangatan sambutan tahun baharu hijriah diberi sentuhan luar biasa dan bukan seperti semaraknya menyambut tahun baharu Masihi.

Kita sedia maklum, fenomena sambutan di Malaysia itu sendiri menjadi kebiasaan untuk umat Islam berarak, menganjurkan majlis ilmu, penceritaan semula hijrah Nabi Muhammad SAW, nasyid  dan sebagainya.

Namun, adakah sambutan ini cukup dan mengarah kepada pengertian hijrah yang sebenar (dengan cara syarie)?

Peristiwa hijrah Nabi SAW adalah satu  momentum penting dalam lintasan sejarah perjuangan Islam. Dengan hijrahlah, Islam sebagai sebuah ideologi dan sistem boleh ditegakkan dalam institusi negara ketika itu, iaitu daulah Islamiyah.

Sejak keruntuhan  daulah Islamiyah yang terakhir (khilafah Uthmaniyah pada tahun 1924M), kaum Muslim berada dalam kongkongan ideologi dan sistem jahiliah moden.


Masih seperti dulu

Pasca kejatuhan sistem khilafah ini menyaksikan keadaan umat yang tidak jauh berbeza dengan sebelumnya, tahun 2015M (1436H) dilewati dengan permasalahan sosial masyarakat yang memilukan. Sistem demokrasi dari Barat yang diadopsi oleh hampir semua negeri Islam, asalnya memberikan kebaikan dan kemajuan, beralih menjadi alat penjajahan menakutkan.

Misalnya apa yang berlaku kepada Afghanistan, Iraq dan Palestin dan yang terbaru, Syria juga berjaya dicerobohi oleh Rusia hasil buah tangan Barat dan sekutunya atas alasan melawan terrorism. Walhal orang awam termasuk wanita, warga tua dan anak-anak menjadi mangsa atas serangan pukul rata pihak Rusia.

Selain itu, dapat juga kita saksikan berita di pelbagai belahan dunia memaparkan kezaliman dan diskriminasi terhadap Muslimah. Muslimah tidak dapat mengenakan hijab syarie sebagaimana yang dituntut syarak dengan bebas. Muslimah menjadi mangsa bunuh, diskriminasi di sekolah dan tempat kerja serta menjadi mangsa Islamphobia.


Buah tangan Barat

Jangan pernah kita lupa, kerana buah tangan Barat dalam Perjanjian Balfourlah  Palestin terpecah dan berjaya dicerobohi Israel. Bahkan, umat Islam dibunuh dan dilecehkan sewenang-wenangnya. Muslim Rohingya dan Palestin diusir dan dibantai namun kita hanya diam dan tidak mampu  menolong.

Tahun ini menyaksikan beberapa pembunuhan zalim ke atas Muslimah di Palestin, dunia masih diam. Tentulah berdosa bila kita hanya diam.

Demokrasi juga menjadi alasan untuk golongan kapitalis menjadi rakus mengeksploitasi kekayaan sumber alam negeri lain serta menganiaya orang lain, atas nama pelaburan dan pasar bebas,  seperti yang terjadi pembakaran hutan  di Indonesia dan sumber minyak di Iraq. Sistem kapitalisme global yang dipraktikkan hari ini secara sistematik  memiskinkan umat manusia, termasuk umat Islam.

Negeri Islam, pada dasarnya adalah negeri yang kaya dengan sumber alam dan minyak rakyatnya hidup dalam kemiskinan.

Melalui sistem demokrasi ini juga Barat menyebarkan idea liberalisme yang membahayakan berbagai aspek kehidupan masyarakat.  Agenda liberalisme agama membuatkan agama menjadi hal yang remeh, ajaran yang menyesatkan pun berkembang dengan dalih kebebasan berkeyakinan.

Di Malaysia contohnya, budaya liberalism juga bercambah dalam negeri, ia didalangi pejuang idea liberal yang berusaha mengelirukan dan menyesatkan pemikiran umat Islam, seperti  Sister in Islam dan gerakan Islam Moderat. Muslimah disogokkan dengan budaya hedonism dan tatacara berpakaian yang tidak syarie, serta memandang hijab syarie bukan tuntutan agama.

Seterusnya ajaran liberalism memberi impak kepada  tingkah laku sehingga melahirkan perilaku bagaikan binatang seperti budaya zina / seks bebas, pornografi, jenayah seksual dan kes buang bayi berleluasa. Tambah merunsingkan apabila pelbagai kes rompak di pelbagai negeri, kes bunuh dan kes pengabaian kanak-kanak juga semakin meruncing.


Bangkit

Umat Islam seharusnya berusaha untuk melepaskan diri dari semua keperitan ini. Caranya tidak lain dengan kembali berhijrah menuju daulah Islamiyah. Saat ini Islam tidak lagi diterapkan secara menyeluruh dalam sesebuah negara, tugas seluruh kaum Muslimlah untuk mewujudkan kembali Islam kaffah di tengah-tengah mereka.

Muslim yang tidak mahu melakukan usaha hijrah tanpa ada alasan syarie, tak ubah seperti seseorang yang tidak lagi peduli  terhadap agamanya. Sedangkan Muslim sejati adalah orang yang peduli terhadap kesempurnaan ibadahnya kepada ALLAH SWT.

Seperti bila dia menyedari pekerjaan dan muamalatnya bertentangan dengan syariat, dia akan segera meninggalkan semua itu dan berpindah menuju kepada  pekerjaan dan muamalat  yang  Islami.

Selain itu juga, dia akan  berusaha sekuat  tenaga untuk mengubah kehidupan sistem  kufur  tersebut, dan  diganti dengan aturan Islam, agar dia boleh menjalankan semua perintah ALLAH tanpa ada halangan lagi.

Dengan kata lain, dia selalu memikirkan berbagai usaha dan cara agar keadaan masyarakatnya yang kufur itu berubah (berpindah) menuju masyarakat yang Islami. Orang mukmin itu  tidak akan hanya menunggu tegaknya daulah Islamiyyah di negeri lain, sehingga dia boleh berhijrah ke sana, akan tetapi dia pasti berusaha keras untuk menegakkan kekuasaan Islam di negerinya.

Seperti halnya hukum Islam yang lain, hijrah adalah bahagian  integral daripada ketakwaan seorang Muslim kepada ALLAH.

Hijrah itu instrumen hukum yang ditetapkan untuk melindungi agama dan jiwa kaum Muslim dari ancaman musuhnya. Dengan hijrah, seorang Muslim akan dihantar menuju tempat atau keadaan yang menjadikan dirinya aman dan tenang dalam menjalankan taklif syariat.

Tidak hanya itu, seorang Muslim juga akan berasakan betapa luasnya bumi ALLAH; sehingga dia rela meninggalkan negeri yang dicintainya menuju negeri yang menjamin keselamatan agama dan jiwanya. Dengan hijrah juga, kesempitan dalam menjalankan perintah ALLAH akan berganti dengan kelapangan.

Oleh itu, hijrah akan sentiasa realistik, bahkan menjadi keperluan  bagi seorang Muslim yang peduli dengan keselamatan jiwa dan agamanya. Atas dasar itu, merealisasikan hijrah dalam konteks sekarang mestilah dimaknai dengan perjuangan untuk melanjutkan kembali kehidupan Islam dalam ranah individu, masyarakat, dan negara.

Dengan kata lain, hijrah sekarang mestilah diwujudkan dengan berjuang menegakkan kembali kekuasaan Islam yang menjamin terlaksananya hukum hijrah itu sendiri. Sebab, hijrah dalam konteks berpindahnya kaum Muslim dari darul kufr menuju darul Islam hanya  boleh ditegakkan jika di tengah-tengah kaum Muslim berdiri Khilafah Islamiyyah.

Dan hanya dengan Khilafah Islamiyyah semata, kaum Muslim boleh berpindah (hijrah) dari sebuah keadaan dan negeri kufur menuju keadaan dan negeri Islami. Dengan begitu, tujuan utama hijrah yakni penjagaan atas jiwa dan agama kaum Muslim boleh diwujudkan secara faktual.

Tags: hijrah, sejarah
Subscribe

Posts from This Journal “hijrah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments