mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Istimewanya hari Jumaat

SEGALA puji bagi ALLAH SWT yang menjadikan hari Jumaat sebagai penghulu segala hari. Ia adalah satu perayaan yang ALLAH khaskan buat umat Islam pada setiap minggu. Kelebihan ini tidak dikecap umat terdahulu.

Dalam sebuah hadis, diriwayatkan Bukhari dan Muslim, Nabi Muhammad SAW bersabda: "Kami adalah (umat) yang datang kemudian yang pertama dan yang mendahului pada hari kiamat; walhal kitab diturunkan kepada mereka dahulu. Hari ini adalah hari yang ALLAH fardukan atas mereka tetapi mereka menyelisihkannya lalu ALLAH beri kita hidayah kepadanya. Manusia mengikuti kita dalam hal ini; Yahudi esok (Sabtu) dan Kristian lusa (Ahad)."


Ibadah tertentu

Di antara petunjuk yang ditunjukkan Nabi SAW adalah Baginda SAW mengagungkan hari ini dengan memuliakannya di samping mengkhususkan ibadah tertentu yang tidak dilakukan pada hari yang lain.

Pada solat Subuh di pagi Jumaat, Baginda SAW membaca surah Al-Sajadah dan Al-Insan. Dikatakan Baginda SAW membaca kedua surah ini kerana keduanya menceritakan perihal apa yang telah berlaku dan akan berlaku bermula dengan penciptaan Nabi Adam AS dan kejadian hari kiamat serta kebangkitan manusia pada hari tersebut. Kejadian ini semua telah dan akan berlaku pada hari Jumaat.

Maka dengan membaca kedua surah ini, ia menjadi peringatan buat umat Islam mengenai kejadian besar yang akan berlaku supaya mereka bersiap sedia.

Pada hari Jumaat juga dianjurkan memperbanyakkan selawat ke atas junjungan besar kita Nabi SAW pada waktu siang dan malam sebelumnya. Ini kerana segala kebaikan yang diperoleh umat ini pada hari Jumaat dan hari-hari yang lain daripada kebaikan dunia dan akhirat adalah hasil daripada tunjuk ajar Baginda SAW.

Antara keistimewaan hari ini adalah dianjurkan untuk mandi, membersihkan diri, memakai wangian, menggosok gigi dan memakai sebaik-baik pakaian sebelum menghadiri solat Jumaat. Ini kerana hari Jumaat adalah hari perhimpunan umat Islam dan perayaan mingguan mereka. Maka wajarlah untuk seseorang Muslim itu berada dalam keadaan sebaik-baiknya sebagai tanda menghormati hari tersebut dan mengagungkannya.


Besar ganjarannya

Umat Islam pada hari Jumaat dianjurkan pergi awal ke masjid untuk solat Jumaat dengan berjalan kaki jika mampu. Berjalan kaki ke masjid, setiap ayunan langkah itu akan diberi ganjaran pahala puasa dan solat setahun.

Betapa besarnya pahala dijanjikan ALLAH bagi orang yang berjalan dan pergi awal solat Jumaat. Setiap ayunan langkahnya diberi ganjaran pahala puasa dan solat setahun. Ditambah lagi orang yang hadir awal ke solat Jumaat, sesudah masuk masjid dia melakukan solat sunat, berzikir dan membaca al-Quran dia memperoleh pahala yang sangat banyak. Tidak cukup dengan itu, malaikat terus menerus beristighfar untuknya sepanjang dia berada dalam masjid. Dan dia akan diberi pahala orang yang solat sepanjang dia duduk dalam masjid menanti dikumandangkan iqamat.

Sangat dikesali, kebanyakan manusia pada hari ini seolah-olah tidak mahu mengejar ganjaran pahala ini. Dia hanya hadir bersolat Jumaat pada saat-saat terakhir. Sebahagian yang lain sampai ketika khatib sedang berkhutbah. Tidak kurang juga yang sampai ketika iqamat dikumandangkan. Jelas mereka telah mengharamkan atas diri mereka ganjaran pahala yang sangat banyak gara-gara dilambatkan oleh syaitan.

Betapa perlunya kita bertakwa kepada ALLAH dan berusaha sedaya upaya mendapatkan ganjaran pahala yang berlimpah ruah ini dengan datang awal ke solat Jumaat.


Kata pujian

Juga di antara keistimewaan hari Jumaat, adanya khutbah Jumaat yang mengandungi puji-pujian terhadap ALLAH serta mengagungkan-Nya di samping kesaksian terhadap keesaan-Nya dan perakuan terhadap perutusan Rasul-Nya. Khatib juga akan mengingatkan sidang Jumaat akan hari akhirat serta persediaan yang perlu dilakukan untuknya dengan melaksanakan suruhan ALLAH serta menjauhi larang-Nya.

Khutbah Jumaat adalah antara syarat sahnya solat Jumaat. Kerana itu, menghadiri khutbah Jumaat, diam dan mendengarnya adalah satu kewajipan atas jemaah.

Firman ALLAH: "Dan apabila al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan ia serta diamlah supaya kamu beroleh rahmat." (Surah Al-A’raaf: 204)

Imam Ibnu Kathir RH menjelaskan, kewajipan diam dan dengar dalam ayat di atas adalah ketika khutbah Hari Raya Aidilfitri, Aidiladha, Jumaat dan ketika imam mengeraskan suaranya membaca al-Quran.

Maka diam dan mendengar khutbah Jumaat adalah satu kewajipan. Bahkan barang siapa yang tidak diam ketika khatib berkhutbah dia telah melakukan hal yang sia-sia. Dan barang siapa melakukan hal yang sia-sia, akan luputlah pahala Jumaatnya.

Justeru, menghadiri khutbah Jumaat, diam dan mendengarnya adalah satu tuntutan syarak kerana khutbah tersebut mengandungi peringatan buat hati yang lalai serta pengajaran buat orang yang jahil. Firman-Nya: "Wahai orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati ALLAH dan tinggalkanlah berjual-beli; yang demikian adalah baik buat kamu, jika kamu mengetahui." (Surah Al-Jumu’ah: 9)

Di samping itu, perlu diketahui barang siapa yang datang ketika khatib sedang berkhutbah, tidak boleh baginya terus duduk. Sebaliknya hendaklah dia mengerjakan solat dua rakaat tahiyyatul masjid secara ringkas. Sebagaimana sabda Nabi SAW: "Jika seorang kamu datang solat Jumaat sedang khatib berkhutbah, hendaklah dia solat dua rakaat." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Dalam riwayat Muslim adanya tambahan: "Dan hendaklah dia meringkaskan kedua rakaat tersebut."

Juga antara keistimewaan hari Jumaat adalah solat Jumaat dikira sebagai antara solat yang paling wajib yang perlu didirikan secara berjemaah. Dan barang siapa yang meninggalkannya kerana lalai, ALLAH akan menutup hatinya. Ada pula orang yang menjaga dan mengerjakannya, akan dihapus dosa-dosa kecilnya antara hari Jumaat tersebut dan hari Jumaat yang berikutnya. Adapun dosa besar, hal tersebut tidak akan terhapus kecuali dengan taubat.

Akhirnya, ada baiknya diingatkan sekiranya seseorang itu hanya sempat mengerjakan satu rakaat bersama imam ketika solat Jumaat, hendaklah dia menambahkan satu rakaat lagi bagi menyempurnakan dua rakaat solat Jumaatnya. Tetapi sekiranya dia tidak sempat memperoleh walau satu rakaat sekalipun, hendaklah dia tetap solat bersama imam dan sesudah imam memberi salam perlulah dia menambah empat rakaat dengan niat solat Zohor.

Demikianlah hukumnya sebagaimana yang disebut dalam hadis Nabi SAW. Semoga kita tergolong dalam kalangan mereka yang memperoleh pahala dan fadilat hari Jumaat.

Tags: ibadah, jumaat
Subscribe

Posts from This Journal “jumaat” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments