mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Sembang dunia dalam masjid

BOLEHKAH bercakap hal keduniaan di dalam masjid?

Ada satu hadis yang disebarkan sebagai ancaman supaya jangan bersembang urusan dunia dalam masjid: "Sesiapa yang bercakap mengenai urusan dunia dalam masjid, ALLAH akan menghapuskan amalannya empat puluh tahun."


Hadis palsu

Apakah kedudukan hadis ini? Adakah ia sahih?


Menurut Al-Saghani, hadis ini adalah palsu. Pendapat ini dipersetujui oleh 'Ali al-Qari dalam bukunya Al-Asrar Al-Marfua'h fi Akhbar Al-Maudhua'h.

Hadis ini antara hadis palsu yang banyak tersebar dalam masyarakat kita sama ada melalui ceramah-ceramah, penulisan dan sebagainya. Malah, ada sesetengah masjid yang menulisnya dalam bentuk khat yang cantik dan digantung di dalam masjid sebagai perhiasan.

Semua ini dilakukan dengan tujuan memberi peringatan kepada orang yang hadir ke masjid supaya tidak bercakap perihal urusan dunia. Ancaman yang diberikan ialah perbuatan tersebut boleh menyebabkan amalan selama empat puluh tahun akan terhapus.

Namun, setelah dikaji oleh sarjana hadis, amaran ini tidak sahih untuk dikaitkan dengan larangan yang dikeluarkan oleh Rasulullah SAW. Ia adalah sandaran yang palsu kepada Baginda SAW. Walaupun dengan niat yang baik, kita tidak boleh sewenang-wenangnya menyandarkan sesuatu perkara itu kepada Rasulullah SAW. Perbuatan ini termasuk sebagai pendustaan kepada Baginda SAW.


Sumber tidak kukuh

Betulkah kita tidak dibenarkan langsung bercakap urusan dunia dalam masjid? Bagaimana kita hendak bezakan yang itu perkara dunia dan yang ini urusan akhirat?

Kalaulah kita dilarang bercakap mengenai urusan dunia di dalam masjid, bagaimana pula kita hendak faham perihal hadis 'Aisyah yang menceritakan mengenai orang Habsyah bermain pedang dalam masjid. Rasulullah SAW melihatnya dan tidak langsung menghalang perbuatan mereka. Hadis ini adalah sahih dan diriwayatkan oleh Al-Bukhari no 5236 dan Muslim no 892.

Jika hendak dibandingkan, perbuatan sahabat yang bermain pedang dalam masjid ini juga boleh dianggap sebagai urusan dunia dan ia lebih berat lagi daripada bercakap hal dunia dalam masjid. Tetapi, Baginda SAW tidak menghalang mereka.

Jadi, larangan bercakap urusan keduniaan dalam masjid adalah larangan yang tidak bersumberkan asas yang kuat. Namun begitu, keharusan untuk bercakap soal keduniaan dalam masjid tidak boleh digunakan sebebas-bebasnya. Ia masih terikat dengan beberapa adab lain seperti tidak sampai menimbulkan gangguan kepada orang yang sedang solat, atau yang sedang membaca al-Quran atau yang sedang menuntut ilmu.

Topik perbualan juga tidak boleh menyentuh perkara yang diharamkan oleh syariat. Walaupun begitu, mengurangkan bercakap dalam masjid dan menumpukan ibadah kepada ALLAH SWT ketika di dalam masjid tetap dikira sebagai perbuatan yang lebih baik.


Perlahankan suara

Bagi mereka yang membaca al-Quran dalam masjid pun perlu juga menghormati orang yang sedang menunaikan solat. Perlahankan suara agar tidak mengganggu solat mereka. Hal ini seperti yang dipesan oleh Rasulullah SAW.

Abdullah bin Umar RH meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya orang yang solat itu bermunajat kepada Rabbnya, maka hendaklah dia memperhatikan apa yang dia bisikkan kepada-Nya. Janganlah sebahagian kalian melantangkan bacaan al-Quran atas yang lain." (Riwayat Malik no 178 dan Ahmad no 5326. Disahîhkan al-Albani dalam Shahîh al-Jami' no 1951)

Membaca al-Quran adalah ibadah. Namun, Rasulullah SAW tetap melarang supaya diperlahankan bacaan sekiranya ada orang sedang solat. Ia sama jika hendak dikiaskan dengan zikir selepas solat. Menghairankan apabila ada sesetengah imam yang tanpa rasa bersalah berzikir selepas solat dengan suara yang kuat menggunakan mikrofon sedangkan di belakangnya masih ada makmum yang masbuk sedang menyempurnakan solat mereka.

Beruntunglah mereka yang memahami dan beramal dengan sunnah. Selesai solat, zikir dilakukan secara individu. Imam pula tidak menyaringkan suaranya. Mereka yang masih solat dapat menghabiskan solat dengan tenang.

Ringkasnya, larangan bercakap hal dunia di dalam masjid adalah larangan yang tidak mempunyai asas daripada dalil yang sahih.

Namun begitu, terdapat beberapa larangan lain berkaitan masjid yang disebut secara khusus oleh Rasulullah SAW. Antaranya ialah:

a) Larangan melakukan urusan berjual beli dalam masjid, sehingga Rasulullah SAW mengatakan: "Jika kamu melihat sesiapa yang berniaga dalam masjid, maka hendaklah kamu ucapkan: "Semoga ALLAH tidak menguntungkan perniagaan kamu...." (Riwayat al-Tirmizi, hasan)

b) Larangan membuat iklan untuk mencari barang yang hilang dalam masjid. Rasulullah SAW berkata: "Sesiapa yang mendengar seseorang membuat pengumuman untuk mencari barang yang hilang dalam masjid, maka ucapkan: "Semoga ALLAH tidak mengembalikan barang tersebut kepada kamu. Sesungguhnya masjid bukan dibina untuk urusan ini." (Riwayat Muslim) Imam Nawawi dalam kitab Al-Majmu’ (Dar al-Fikir, juz 2 hal. 177) menjelaskan: "Diperbolehkan membicarakan sesuatu dengan perkataan yang harus dan juga membicarakan urusan dunia dan hal-hal lain yang harus dalam masjid, meskipun perbicaraan tersebut sampai menimbulkan ketawa dan semisalnya selama masih dalam batas perkara yang harus. Ketentuan ini didasarkan pada hadis yang diriwayatkan Jabir bin Samuroh RH, beliau berkata: "Rasulullah SAW tidak berganjak dari tempat solat yang Baginda SAW gunakan untuk mengerjakan solat Subuh, sampai matahari terbit. Setelah matahari terbit Baginda SAW baru berganjak pergi," -Jabir berkata: "Mereka membicarakan beberapa hal sampai hal-hal yang terjadi pada masa jahiliah hingga mereka tertawa, dan Nabi SAW tersenyum mendengarnya." (Riwayat Muslim)

Oleh itu, mari kita hidupkan masjid dengan fungsinya yang pelbagai. Bukan hanya sekadar tempat untuk solat sahaja. Masjid perlu menjadi paksi dan tempat rujukan masyarakat setempat. Mereka yang diberikan amanah untuk menguruskan masjid perlu memahami dan menjiwai gagasan ini.

Masjid adalah hak masyarakat bersama. Masjid boleh dihidupkan dengan aktiviti pelbagai. Sudah pasti ia dilakukan dengan meraikan adab-adab masjid yang perlu diutamakan.

Tags: hadis, masjid
Subscribe

Posts from This Journal “hadis” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments