mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Pengajaran daripada krisis Syria

Kunta Kinte nak mula dengan minta ampun banyak-banyak kalau apa yang Kunta Kinte kata nampak macam menghina umat Islam. Kunta Kinte rasa, kita boleh cemuh umat Islam asalkan kita tak sentuh kesucian agama Islam.

Kunta Kinte dah selalu tulis pasal umat Islam, negara Islam dan pemimpin Islam. Tapi nampaknya bukan tambah baik tapi makin hari makin teruk dalam semua hal.

Maaf cakaplah kalau Kunta Kinte kata, hari ini kesempurnaan, keagungan dan kegemilangan Islam hanya dalam khutbah Jumaat dan dalam kuliah-kuliah di masjid saja.

Kalau tak percaya, lepas sembahyang subuh dan selepas dengar rancangan agama di TV, cuba baca surat khabar atau layari portal-portal berita. Berita berkenaan dunia Islam tak banyak.

Bila ada, boleh kata semuanya buruk - masjid kena letup, sekolah kena serang, berek tentera kena bom dan berjuta-juta umat Islam jadi orang pelarian di negara-negara kafir.

Siapa yang buat? Orang Islam sendiri yang buat. Pasal apa? Pasal banyak pemimpin Islam berselindung di sebalik label Islam untuk jadi pemimpin yang gila kuasa, rasuah, pecah amanah dan berkelakuan buruk.

Bila gagal mereka sanggup perang sesama sendiri untuk terus berkuasa. Mereka takut kalau mereka jatuh, mereka akan dihukum. Tak cukup perang sesama sendiri, mereka panggil pula orang kafir tolong macam di Syria sekarang.

Perbezaan Sunah-Syiah

Kita pun tak pasti lagi siapa yang perang dengan siapa di negara Arab itu. Yang kita tahu, ia bermula pada tahun 2011 sebagai sebahagian daripada revolusi Musim Bunga Arab (Arab Spring). Mula-mula mereka turun ke jalan raya atas alasan demokrasi tapi yang sebenarnya adalah kerana perbezaan Sunah-Syiah.

Bila kerajaan balas tunjuk perasaan itu dengan kekerasan, bermulalah konflik senjata. Tak cukup dengan rakyat Syria sendiri yang berperang antara satu sama lain, pihak-pihak luar ikut masuk campur.

Yang buat perang saudara Syria jadi tambah rumit dan kejam adalah kemasukan kumpulan pengganas ekstrem yang gelar diri mereka Negara Islam di Iraq dan Syria atau dalam bahasa Inggeris Islamic State of Iraq and Syria (ISIS).

Sekarang perang saudara Syria dah jadi perang Timur-Barat apabila Russia campur tangan secara langsung. Iran dah lama campur tangan sokong Presiden Bashar atas dasar agama, iaitu bantu orang Syiah.

Russia guna kapal terbang pejuang canggih untuk bedil pemberontak, manakala Amerika Syarikat dan Eropah pula bantu pemberontak. Tapi Russia, Amerika dan Eropah sepakat lawan ISIS.

Mereka juga sepakat tidak serang satu sama lain. Iran dan Russia sokong pihak Presiden Bashar al-Assad. Amerika dan Eropah sokong pemberontak. ISIS mengaku mereka Sunah tapi mereka bunuh sesiapa saja yang tak ikut ideologi ekstrem mereka. Kita kata perang di Syria adalah perang saudara.

Tapi bagi Kunta Kinte, bukan saudara lagilah bila saudara berbunuhan antara satu sama lain. Malah perang jenis ini lebih kejam daripada perang antara negara sebab sasarannya adalah rakyat jelata dan orang yang dulunya bersaudara.

Dalam krisis Syria ini, tak kurang dari 50 negara, pasukan dan kumpulan terbabit. Jadi tak peliklah kalau sengketa itu lebih teruk daripada yang berlaku di Mesir, Libya atau Tunisia misalnya.

Malangnya yang jadi mangsa adalah orang awam. Orang yang tak ada senjata. Merekalah yang terbunuh, cedera, hilang rumah tangga dan terpaksa lari cari perlindungan di negara orang. Kita pun tak tahu angka sebenar yang terbunuh di kalangan pejuang dan orang awam.

Pemberontak kata antara 140,000 dan 340,000 orang tapi anggaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kata 60,000. Yang mati matilah, tapi penderitaan mutakhir adalah di kalangan orang awam.

Pesuruhjaya Tinggi bagi Pelarian Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCHR) anggarkan 7.6 juta orang awam telah kehilangan tempat tinggal manakala empat juta sudah jadi pelarian.

Merempat di negara jiran

Kalau kita baca surat khabar atau tonton TV, kita tentu dah dengar macam mana ada pelarian yang sanggup bayar berpuluh-puluh ribu dolar Amerika untuk diseludupkan ke Eropah, manakala yang tak mampu terpaksa merempat di negara-negara jiran macam Turki, Lubnan dan negara-negara Teluk.

Kunta Kinte tak nampak krisis macam yang berlaku di Syria boleh diselesaikan melainkan melalui rundingan. Presiden Bashar al-Assad tak akan jatuh selagi dibantu oleh Russia dan Iran.

Pihak-pihak yang tentang beliau pula tak akan kalah selagi dibantu oleh Amerika dan Eropah serta secara diam-diam oleh negara-negara Arab pro-Sunah.

Akhirnya Syria akan jadi padang jarak padang tekukur dan sebuah lagi negara umat Islam yang gagal (failed state).

Kita di Malaysia janganlah seronok sangat dan sangka apa yang sedang melanda negara-negara Islam macam Afghanistan, Pakistan, Somalia, negara-negara Asia Barat dan Afrika Utara tak akan berlaku kepada kita.

Kita pun boleh jadi macam mereka kalau kita biar polemik agama yang bukan-bukan meracuni fikiran umat Islam dan kita ingkar perintah Allah.

Satu lagi, Kunta Kinte tertanya-tanya apa peranan kita sebagai negara Islam dan anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam mendamai dan mensejahterakan dunia Islam?

Apakah kita tak ada sebarang pengaruh untuk bantu cari penyelesaian kepada krisis di Syria dan di tempat-tempat lain di mana umat Islam teraniaya? Nama kita pernah harum.

Kita main peranan penting dalam usaha cari penyelesaian kepada perang etnik dan agama di negara-negara bekas Yugoslavia pada pertengahan tahun 1990-an.

Kunta Kinte harap kita masih komited kepada OIC dan kepada idealisme menjadikan Malaysia negara Islam contoh yang bukan saja maju di segi ekonomi tetapi juga maju di segi tamadun dan kemanusiaan. Wallahuaklam.

Kunta Kinte Berita Harian Kolumnis 31 Oktober 2015
Tags: sunnah, syiah
Subscribe

Posts from This Journal “sunnah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments