mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Tindak balas terhadap ujian ukur tahap keimanan

Hidup umpama layang-layang yang terbang di langit luas terbentang. Dikawal oleh tuannya dengan tali, jika nampak tersasar disentap perlahan-lahan supaya kembali ke arah tujuan.

Tiba masa layang-layang kembali kepada tuannya, disimpan baik-baik di tempat yang elok sebagai tanda kasih tuan kepada layang-layang itu.

Cuba bayangkan jika layang-layang itu terputus talinya, akan terbang bebaslah ia tanpa arah tujuan kerana terlepas daripada kawalan tuannya.

Akhirnya, layang-layang itu akan menerima bahana tersangkut di pokok dalam keadaan koyak-rabak atau terjatuh menjunam ke bumi.

Begitulah ibaratnya, 'tali' itu pegangan agama dan akidah, 'layang-layang' itu ialah kita dan 'tuan' itu ialah Allah SWT. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Kerana itu barang siapa yang ingkar kepada Taghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah memegang tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui." (Surah al-Baqarah, ayat 256)

Seterusnya Allah SWT berfirman lagi yang bermaksud: "Allah pelindung orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kekafiran) kepada cahaya (iman). Dan orang yang kafir, pelindungnya ialah syaitan, yang mengeluarkan mereka daripada cahaya kepada kegelapan. Mereka itu penghuni neraka dan kekal di dalamnya." (Surah al-Baqarah, ayat 257)

Oleh itu, fokuskan fikiran, hati dan tenaga untuk bergantung hanya kepada Allah SWT, maka kita akan menjadi seorang yang kuat, tenang serta yakin diri. Maknanya, pergantungan kepada sesuatu menentukan hidup dan tahap ketenangan kita.

Jika bergantung selain daripada Allah SWT, sesungguhnya kita sedang bergantung dengan sesuatu yang sangat lemah. Hanya Allah Yang Maha Perkasa, Yang Maha Tinggi dan Yang Maha Hebat.

Apabila sesuatu berlaku sama ada kita suka atau tidak, orang yang bergantung hanya kepada Allah SWT akan menerima takdir ditetapkan kepadanya kerana yakin kepada Pemberi Takdir dan itu tanda kasih sayang Allah SWT.

Contohnya, orang yang sakit jika bergantung kepada doktor bukan kepada Allah SWT akan bertanya kenapa penyakit tidak sembuh. Sedangkan duit yang banyak sudah dibelanjakan untuk perubatan tetapi penyakit semakin teruk. Kita akan merungut, menyalahkan, mempersoalkan dan mengumpat mencari kelemahan orang lain.

Kita lupa melihat kelemahan sendiri dan lebih buruk lagi, lupa untuk memperakui kekuasaan Allah SWT, bahawa dalam genggaman-Nya semua takdir kita (Dia Pemberi).

Semua bencana dalam rencana dan perancangan Allah SWT, tidak ada siapa boleh menghalang. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Tiadalah menimpa sesuatu daripada bencana di bumi dan tidak pula di atas diri kamu, melainkan semuanya itu sudah ada dalam kitab Allah sebelum Kami melaksanakannya. Sesungguhnya hal yang demikian itu atas Allah amatlah mudah." (Surah al-Hadid, ayat 22)

Penerimaan terhadap ujian

Allah SWT menguji untuk mengetahui sejauh mana keimanan dan kebergantungan kita kepada-Nya. Ujian itu perlu kerana manusia ada dua jenis sikapnya (dua macam kehidupan).

Pertama, orang yang resah gelisah apabila diberi ujian dan berdoa memohon pertolongan serta ihsan Allah SWT. Tetapi setelah mendapat jalan penyelesaian kita lupa Allah SWT.

Kedua, orang yang tatkala senang dan susah sentiasa mengingati Allah SWT, bersujud kepada-Nya dan bermohon pertolongan Allah SWT dengan sikap kasih sayang serta Maha Pemurah-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Ataukah orang yang bertekun pada tengah malam dalam keadaan sujud dan berdiri kerana takut akan hari kiamat dan mengharapkan rahmat Tuhannya?" (Surah az-Zumar, ayat 9)

Mengukur tahap kebergantungan kepada Allah SWT dan bagaimana mengekalkan perasaan itu ialah dengan melihat tindak balas spontan apabila berdepan ujian.

Adakah kita mengadu kepada Allah SWT atau selainnya untuk menyelesaikan masalah. Reaksi spontan itulah paradigma dan tahap keimanan kita.

Contoh, jika kita membuat sesuatu pekerjaan yang biasa dilakukan kerana memang pakar dalam bidang itu, tiba-tiba berlaku kesilapan. Apakah reaksi pertama kita. Adakah kita menyalahkan orang, diri sendiri, marah atau menyedari itu semua ketentuan Allah SWT yang mengizinkan perkara tidak disukai itu berlaku?

Kita perlu bermuhasabah diri, tidak menyalahkan orang lain. Lihat adakah terdapat kesombongan dan riak terhadap kehebatan sendiri semasa melaksanakan tugasan hingga kita lupa hendak bergantung kepada Allah SWT serta bertawakal kepada-Nya.

Sesiapa yang terlalu yakin kepada kepandaian dan kebolehan diri akan melihat kesilapan atau kegagalan sesuatu yang diusahakan disebabkan kelemahan atau kecuaian orang lain.

Mula-mula memanglah kita rasa macam hendak menangis sebab kecewa tetapi 'reset minda', hapuskan 'fail lama' dalam fikiran kerana kita tidak mahu hidup yang semalam.

Tetapi, kita mahu berhadapan dengan hidup sekarang dan masa hadapan. Perkara tidak elok yang telah berlaku itu dijadikan pedoman dan panduan untuk melihat apakah yang Allah SWT hendak beri peringatan kepada kita.

Ada mesej yang hendak ditinggalkan sebenarnya dan Allah SWT ingin menegur bahawa itu bukan kehebatan kita. Kita hanya alat atau perantaraan dan kuasa Allah SWT yang menurunkan rahmat serta kuasa untuk menjayakan atau menggagalkan sesuatu. Oleh sebab itu, tidak ada kegagalan tetapi hanya satu maklum balas daripada Allah SWT.

Perbanyak taubat, doa

Ketiga, perbanyakkan taubat, berdoa dan berzikir. Amalkan doa yang diajar Rasulullah SAW kepada sahabat untuk memperkuatkan hati supaya dibuka dan dimudahkan Allah SWT beribadah kepada-Nya: "Ya Tuhan! Bantulah aku atas melakukan zikir (mengingati Engkau) dan bersyukur kepada Engkau dan melakukan sebaik-baik ibadat kepada Engkau."

Pergantungan yang lemah kepada Allah SWT umpama sarang labah-labah apabila disinggung atau dirempuh angin, boleh binasa.

Sesungguhnya, bumi dan makhluk dijadikan Allah dengan rahmat kasih sayangnya. Ibu sayang kepada kita dan kita sayang anak kita semuanya dengan rahmat dan kasih sayang yang Allah SWT letakkan pada hati kita.

Namun begitu, kasih sayang sesama makhluk ini hanya 1 peratus sahaja, sedangkan kasih sayang Allah kepada kita 99 peratus.

Apabila kita yakin akan kasih sayang Allah SWT, kehidupan akan tenang. Jadikan diri hanya berhajat kepada Allah SWT bukan manusia. Mengadulah kepada Allah SWT, bukan luahkan kesedihan kepada sesama manusia, insya-Allah selamat hidup kita dunia dan akhirat.

Dr Muhaya Mohamad Berita Harian Kolumnis 1 November 2015
Tags: doa, iman, taubat, ujian
Subscribe

Posts from This Journal “ujian” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments