mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Terima kasih Allah

HATI masih berdebar kencang. Jaraknya saya kira dalam tiga atau lima meter sahaja, namun Allah menyelamatkan kami. Kisahnya, selepas balik haji kami sekeluarga pulang ke Kota Bharu, Kelantan untuk menziarahi pusara bonda mentua kerana semasa beliau dijemput Allah pada 4 Oktober lalu, saya dan isteri masih di Mekah.

Dalam perjalanan balik dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur ketika hampir sampai bandar Gua Musang kami dikejutkan dengan kecuaian sebuah lori. Ketika mendaki bukit pada satu selekoh yang dikira blind spot lori tersebut yang datang dari arah bertentangan memotong kereta di depannya secara berbahaya. Mujur Allah gerakkan saya untuk segera menekan brek dan mengelak ke kiri berhampiran pagar jalan, lalu lori tersebut sempat melepasi kereta kami. Jaraknya sangat hampir dan sekiranya saya tidak membrek dan mengelak pasti kami akan bertembung secara berdepan pada kelajuan 80 kilometer sejam!


Selamatkan kami sekeluarga daripada musibah


SETIAP pemandu perlu sentiasa berdoa keselamatan kepada Allah kerana hanya Dia pelindung sebenar. Itulah intisari Tauhid yang perlu dipasak kemas dalam hati setiap orang beriman. - GAMBAR HIASAN

Selepas itu saya mengucap panjang, lantas segala kesyukuran dipanjatkan kepada Allah. Syukur kerana Allah selamatkan kami sekeluarga. Syukur kerana Allah gerakkan saya untuk berdoa keselamatan sebelum bertolak dari Kota Bharu. Syukur kerana Allah disiplinkan saya membaca zikir pagi dan petang yang menjadi sebab musabab saya sekeluarga dalam perlindungan-Nya.

Sabda Rasulullah SAW: “Seorang hamba yang membaca doa ini sebanyak tiga kali pada waktu pagi dan petang tidak akan ditimpa apa-apa mudarat: “Dengan nama Allah yang tidak akan memberi mudarat (bahaya dan kesusahan) bersama nama-Nya sesuatu apa pun baik di bumi atau (yang turun) dari langit, dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” - Sunan Tirmizi, Sunan Abu Dawud.

Dalam hadis lain disebut: “Seorang lelaki datang mengadu kepada Rasulullah SAW dengan katanya: “Wahai Rasulullah, alangkah sakitnya ketika aku disengat kala jengking semalam.” Baginda menjawab: “ Jika kamu membaca pada waktu petang (doa ini): Aku berlindung dengan Kalimah Allah yang Maha Sempurna dari segala kejahatan makhluk, sudah pasti ia (sengatan jengking itu) tidak akan memudaratkan kamu.” - Sahih Muslim.


ALLAH PELINDUNG MUTLAK

Apa yang ketara, kita sebagai manusia hanya mampu mengawal aspek kemahiran pemanduan sahaja, manakala aspek lain berada luar kawalan kita. Mudahnya sesuatu yang di luar kawalan kita pastinya dipegang erat oleh Allah selaku Tuhan alam semesta. Oleh itu sangat penting untuk kita sentiasa berdoa keselamatan kepada Allah kerana hanya Dia pelindung sebenar. Itulah intisari Tauhid yang perlu dipasak kemas dalam hati setiap orang beriman: “Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Dia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurnia-Nya. Allah melimpahkan kurnia-Nya itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya daripada hamba-hamba-Nya, dan Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Yunus[10:107]).



Kemalangan di Tg.Malim-Behrang

Apabila berbicara soal kuasa memberi keselamatan, Nabi Yaaqub a.s menegaskan hanya Allah sebaik-baik penjaga:“Bapa mereka (Nabi Yaaqub a.s.) berkata: “(Jika aku lepaskan dia iaitu Bunyamin pergi bersama kamu ke Mesir untuk mengambil bekalan makanan), aku tidak menaruh kepercayaan kepada kamu menjaganya melainkan seperti kepercayaanku kepada kamu menjaga saudaranya (iaitu Yusuf) dahulu (yang telah kamu hampakan. Oleh itu aku hanya menaruh kepercayaan kepada Allah), kerana “Allah jualah penjaga yang sebaik-baiknya” (biarlah Allah menjaga Yusuf yang masih hilang), dan Dialah jua Yang Maha Mengasihani daripada sesiapa sahaja yang menaruh belas kasihan.” (Yusuf [12:64]).

Dalam ayat Kursi yang dipanggil sebagai ayat paling agung pun Allah menegaskan kuasa menjaga seluruh alam berada pada Tangan-Nya. Bahkan rahsia pendinding dan keselamatan pada ayat Kursi terkandung pada patah ayat ini:“Luasnya Kursi Allah (ilmu-Nya dan kekuasaan-Nya) meliputi langit dan bumi; dan “tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga dan memelihara kedua-duanya.” Dan Dialah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaan-Nya), lagi Maha Besar (kekuasaan-Nya),” (al-Baqarah [2:255.

Jika Allah mampu menjaga makhluk-Nya yang sebesar langit dan bumi, maka sungguh mudah bagi-Nya untuk menjaga keselamatan insan kerdil seperti saya dan anda semua.


RASULULLAH PEMBAWA RAHMAT


Syukur kepada Allah kerana mengutus Rasulullah SAW mengajar kita semua berbagai doa dan panduan menjaga keselamatan diri secara betul. Inilah antara intisari peranan baginda sebagai “rahmat” kepada seluruh alam:“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (al-Anbiya’[21:107]).

Selepas ini, jangan dilupakan mengamalkan doa dan zikir pagi serta petang yang disaran oleh Rasulullah SAW. Ini bukan sahaja mengundang kasih Allah, memasak kemas Tauhid kepada Allah dan mengikat cinta kepada Rasulullah, tetapi turut memberikan keselamatan kepada kita di dunia dan di akhirat.

Benar sekali firman Allah, segala amal soleh bukan tertumpah faedahnya kepada orang lain, tetapi kepada kita terlebih dahulu.

“Sesiapa yang mengerjakan amal soleh maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hamba-Nya,” (Fussilat [41:46]).

Tags: musibah, rahmat
Subscribe

Posts from This Journal “musibah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments