mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat ~ Subur Harta, Bahagia Jiwa

Sedutan Petikan Teks Khutbah Jumaat 6 November 2015M/ 24 Muharram 1437H JAWI

Subur Harta, Bahagia Jiwa


Harta dan kekayaan bukan penentu mutlak bagi kebahagian seseorang individu, Sedarkah kita semua, bahawa di dalam harta yang kita miliki itu sebenarnya terdapat hak orang lain.

Justeru, berikanlah hak-hak harta tersebut kepada mereka yang berhak sama ada melalui zakat mahupun sedekah seperti mana yang disyariatkan dan dianjurkan oleh Islam. Sesungguhnya, mengeluarkan zakat atau bersedekah itu sesekali tidak akan menjadikan kita miskin, sebaliknya ia akan membuatkan hati kita lebih tenteram dan hidup kita lebih diberkati.

Hayatilah firman Allah s.w.t dalam surah At-Taubah ayat 103 yang telah dibacakan oleh khatib di permulaan khutbah sebentar tadi. Maksudnya: Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Usahlah biarkan diri kita diperhambakan oleh harta yang kita miliki. Harta kekayaan bukanlah untuk ditunjuk-tunjuk kepada orang lain dengan tujuan untuk bermegah-megah.

Marilah kita jadikan harta yang kita miliki itu sebagai wasilah untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Antaranya ialah dengan mengeluarkan zakat dari sebahagian harta tersebut supaya ianya dapat dirasai oleh mereka yang kurang bernasib baik. Sesungguhnya zakat, selain ia adalah suruhan Allah s.w.t yang wajib dipatuhi, ia juga adalah bukti ketaatan dan ketaqwaan seorang hamba yang hakikatnya fakir kepada Yang Maha Kaya.

Ketahuilah, bahawa ukuran kekayaan yang sebenar tidak terletak pada berapa banyak harta yang kita miliki, tetapi pada hati yang sentiasa merasa cukup dengan apa yang dikurniakan oleh Allah s.w.t.

hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: " ل ي س ال غ ن ى ع ن كث ر ة ال ع ر ض و ل ك ن ال غ ن ى غ ن ى ال ن ف س " Maksudnya: “Bukanlah kekayaan itu kerana banyak harta tetapi kaya yang sebenarnya ialah kaya jiwa.”

Kesedaran untuk menunaikan zakat di kalangan orang Islam hendaklah disemai dan disuburkan dengan mempraktikkan langkah-langkah berikut:

Pertama: Membuat potongan zakat secara bulanan.
Kedua: Menginsafi kesusahan yang dialami orang lain.
Ketiga: Usah berkira-kira terhadap harta yang dizakatkan.

Firman Allah s.w.t dalam surah Ar-Rum ayat 39: Bermaksud: “Dan (ketahuilah bahawa) sesuatu pemberian atau tambahan yang kamu berikan, supaya bertambah kembangnya dalam pusingan harta manusia maka ia tidak sekali-kali akan kembang di sisi Allah (tidak mendatangkan kebaikan). Dan sebaliknya sesuatu pemberian sedekah yang kamu berikan dengan tujuan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, maka mereka yang melakukannya itulah orang-orang yang beroleh pahala berlipat kali ganda.”

Tunaikanlah kewajipan berzakat dan perbanyakkanlah amalan bersedekah untuk membantu saudara seislam kita yang kurang bernasib baik. Berlumba-lumbalah untuk memastikan diri kita termasuk dalam golongan yang disebutkan oleh baginda Rasulullah s.a.w sebagai “golongan pemberi” yang mempunyai kelebihan berbanding “golongan yang menerima”.

hadith yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan Muslim daripada Ibnu Umar r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: سف َل َىَه َي َ ال سائ َل َة" سف َل َى. و ال ي د َال ع ل ي اَه َي َ ال َم َن َف َق َة،َو َال "ال َ ي َد َ ال َع َل َي َاَخ َي َر َ م َن َ ال َي َد Bermaksud: “Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah.Tangan di atas adalah yang memberi manakala tangan di bawah adalah yang meminta-minta.”

Pertama: Harta yang dimiliki bukanlah penentu bagi kebahagiaan hidup seseorang individu jika tidak digunakan pada jalan yang diredhai Allah s.w.t.

Kedua: Sentiasalah memerhati dan memikirkan akan kehidupan mereka yang kurang bernasib baik supaya timbul keinsafan dalam diri.

Ketiga: Kewajipan berzakat dan amalan bersedekah hendaklah disuburkan dalam diri umat Islam supaya dapat membantu mereka yang kurang bernasib baik.

Keempat : Marilah kita mendoakan kebaikan dan keberkatan hidup kepada mereka yang menunaikan kewajipan berzakat.

Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Nahl ayat 52:  Maksudnya: Dan kepunyaanNyalah segala yang ada di langit dan di bumi; dan kepadaNya sahaja ibadat dan ketaatan selama-lamanya; (sesudah kamu mengetahui yang demikian) maka tidaklah patut kamu takut kepada yang lain dari Allah.

Wallahualam.
Tags: khutbah, sedekah, zakat
Subscribe

Posts from This Journal “sedekah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments