mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : “Pewakaf; Jutawan Akhirat”

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 06 November 2015: JAIS

“Pewakaf; Jutawan Akhirat”

Kita umat islam perlu sedar bahawa harta yang kita miliki bukanlah hak mutlak kita, tetapi ia merupakan pinjaman yang bersifat sementara dari Allah SWT. Allah Maha berkuasa untuk memberi dan mengambil semula melalui pelbagai cara tanpa diduga. Oleh itu, berwaspadalah kita dalam membelanjakan harta dan menjaga amanah Allah. Setiap sumber harta akan dipersoalkan, dari manakah ia diperolehi dan kemanakah kita membelanjakannya.

Hadis daripada Abi Barzah al-Aslami RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kedua-dua kaki tidak akan berganjak sedikit pun pada hari kiamat sehingga ditanya tentang 4 perkara iaitu; 1- tentang umur, bagaimana ia dihabiskan, 2- tentang masa muda ke mana dia pergunakan, 3- tentang hartanya, dari mana diperolehi dan bagaimana dibelanjakan dan 4- tentang ilmunya, apakah yang dibuat dengannya”. (Riwayat at-Tirmizi).

Baginda Nabi Muhammad SAW dan para sahabat yang digelar jutawan akhirat, kita perlulah memperbanyakkan penyerahan harta yang disayangi ke jalan Allah khususnya dengan cara ibadah sedekah (Wakaf)

Perbuatan Rasulullah SAW merupakan contoh terbaik yang telah menjadi batu asas kepada amalan berwakaf, di mana wakaf yang pertama dalam Islam ialah pembinaan Masjid Quba’ seterusnya diikuti dengan pembinaan Masjid An-Nabawi. Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah membeli tanah tersebut daripada dua saudara yatim piatu iaitu Sahl dan Suhail dengan harga 10 dirham, kemudian Baginda mewakafkan tanah tersebut bagi pembinaan Masjid.

Para sahabat juga turut mencontohi perilaku Nabi dalam berwakaf, Sayyidina Abu Bakar antaranya telah mewakafkan Dinar emas untuk pembinaan Masjid Nabawi (Madinah) pada tahun 622M.

Manakala Sayyidina Uthman yang sering berlumba-lumba bersama Sayyidina Abu Bakar untuk menyerahkan harta di jalan Allah, juga turut mewakafkan perigi “Ruumah” yang dibeli dari seorang yahudi.

Abu Thalhah, seorang Anshar (penduduk asal Madinah), adalah seorang yang paling banyak mawakafkan hartanya yang paling disayangi, iaitu Bairuha. Bairuha adalah kebun kurma yang terletak berdekatan Masjid An-Nabawi. Khalid bin Al-Walid juga turut mewakafkan baju-baju perang serta peralatan perang di jalan Allah.

Institusi Wakaf digunakan untuk membiayai projek-projek kebajikan yang menguntungkan semua rakyat di dalam kerajaan Islam. Antara institusi-institusi awam dan kemasyarakatan yang dibiayai oleh system wakaf adalah sektor pendidikan, Masjid, kesihatan dan ketenteraan. Contohnya, Madrasah al-Nooriyah di Damascus, Universiti alAzhar di Mesir dan beberapa Universiti di Turki serta beberapa buah bank yang dimiliki oleh institusi wakaf.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 261: “Perumpamaan orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah adalah seperti sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai; setiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Allah melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui”.

Di Negara kita umpamanya, beberapa orang hartawan telah berwakaf di Perbadanan Wakaf Selangor (MAIS) dengan wang tunai sebanyak RM53 Juta bagi tujuan wakaf khas pembinaan Ma’ahad Tahfiz dan beberapa buah Masjid. Hal ini akan menjadikan hartawan lain turut sama mengikuti jejak langkah bakal-bakal Jutawan akhirat ini.

Antara pengajaran dan taujihat daripada khutbah hari ini adalah:

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa apa-apa harta yang dibelanjakan dijalan Allah di dunia ini pasti akan diberikan ganjaran yang berganda di hari akhirat hingga melayakkan untuk bergelar jutawan akhirat.

2. Umat Islam hendaklah berwakaf kerana ia dapat melahirkan perasaan kasih sayang, menyemarakkan semangat saling bantu-membantu dan tolong-menolong antara satu dengan yang lain.

3. Umat Islam hendaklah mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan berwakaf untuk mendapatkan keredhaan Allah.

4. Umat Islam dituntut mewakafkan sebahagian harta yang diperolehinya untuk menegakkan ekonomi dan syiar umat Islam.

“Nafkahkanlah (dengan mendermakan) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: "Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal mautku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi di kalangan orang-orang yang soleh ". (Surah al-Munafiqun : 10).

Wallahualam.
Tags: jutawan, khutbah, sedekah, wakaf
Subscribe

Posts from This Journal “wakaf” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments