mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Salah faham sunnah

KALAU hadis ini palsu, mengapa ia ada dalam kitab? Ramai penceramah yang membacanya. Ustaz yang masuk televisyen pun selalu baca hadis ini. Sejak dari dulu lagi kita faham ia hadis yang Nabi Muhammad SAW sebut. Mengapa baru sekarang ia dianggap palsu?

Mungkin inilah antara kekeliruan yang timbul dalam kalangan orang awam. Seperti duit palsu, ia sukar untuk dikenal pasti dengan mata kasar. Perlu bertanya kepada pakar atau menggunakan alat khas.

Berhati-hati

Hadis palsu juga begitu. Bagi orang awam, yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang hadis, memang sukar untuk membezakannya. Bahkan golongan ustaz dan agamawan sekali pun, jika tidak berhati-hati, kadang-kadang terjebak juga dalam membaca dan berhujah dengan hadis palsu.

Oleh itu, sikap berhati-hati dan menyemak terlebih dahulu kesahihan fakta sebelum disebarkan amat dituntut. Jangan sampai terlalu sibuk memenuhi undangan ceramah, sehingga tidak sempat untuk membuka kitab-kitab tafsir al-Quran dan huraian hadis. Kalaulah penceramah tidak sempat untuk merujuk kitab-kitab rujukan utama, maka bagaimana untuk diangkat kualiti kefahaman agama dalam kalangan masyarakat?

Islam tidak difahami hanya dengan lirik-lirik lagu, gurindam, pantun, sajak dan sebagainya. Elemen-elemen ini boleh dimasukkan dalam sesi ceramah atau penulisan sebagai daya tarikan sampingan. Islam tidak memusuhi nilai-nilai seni yang ada. Namun, sumber utama Islam perlu didahulukan. Justeru, semaklah dahulu ayat al-Quran dan hadis yang ingin disampaikan sebelum menghafal lirik lagu, pantun, sajak atau gurindam yang mahu didendangkan.

Islam adalah agama wahyu yang terikat dengan dalil dan hujah. Hujah yang paling utama dalam Islam ialah al-Quran dan sunnah. Apa sahaja yang mahu dikaitkan dengan Islam, perlu ada sandaran yang kukuh daripada al-Quran atau pun sunnah. Bukan hanya berdasarkan cakap-cakap tok guru, pesan tuan syeikh atau mimpi sang habib.    

Beramal berdasarkan ilmu bukan melulu

Takut-takut apa yang disampaikan dan disandarkan kepada Islam, rupa-rupanya tidak tepat. Bimbang sesuatu yang disandarkan kepada Rasulullah SAW, hakikatnya ia adalah sandaran yang palsu.

Sebagai contoh, antara hadis palsu yang tersebar dan menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat ialah:

"Aku melihat bahawa Abd al-Rahman bin ‘Auf masuk syurga secara merangkak."

Sarjana hadis menghukumkan hadis ini sebagai palsu kerana dalam rangkaian sanadnya terdapat seorang rawi bernama ‘Umarah bin Zadhan. Dia adalah seorang yang lemah di sisi mereka. Hal ini seperti yang dinyatakan oleh Al-Syaukani di dalam kitabnya Al-Fawaid Al-Majmua’h.

Syeikh Al-Islam Ibn Taimiyah di dalam Majmua’t al-Fatawa dengan tegas menyatakan: "Apa yang disebutkan bahawa Abd al-Rahman masuk syurga secara merangkak adalah palsu dan tidak ada asal usulnya."

Ibn Al-Jauzi memasukkan hadis ini dalam senarai hadis-hadis palsu di dalam bukunya Al-Maudhua’t.

Hadis ini jika terus disebarkan, masyarakat akan terus mendapat kefahaman yang salah. Disangkakan Islam tidak menggalakkan umatnya menjadi kaya. Islam memusuhi harta benda. Orang kaya akan masuk lewat ke dalam syurga seperti Abdul Rahman bin ‘Auf dan pelbagai lagi tafsiran yang salah.

Nilai secara betul

Contoh lain ialah hadis yang menceritakan kisah Alqamah yang dikatakan menderhakai ibunya. Kisah ini begitu banyak sekali diceritakan dengan tujuan untuk mengingatkan orang ramai supaya hormat dan tidak menderhakai ibu bapa.

Tetapi, malangnya hadis ini dinilai sebagai hadis lemah atau palsu oleh sebahagian ulama hadis. Ibn Al-Jauzi menghukumkan kisah ini sebagai palsu dan menyenaraikannya di dalam bukunya Al-Maudhua’t.
Al-’Uqaili juga menyenaraikan kisah ini dalam Al-Dhu’afa al-Kabir. Kisah ini juga dihukumkan lemah oleh sarjana lain seperti Al-Baihaqi di dalam Syua’b al-Iman, Al-Munziri di dalam al-Targhib wa al-Tarhib, Ibn ’Arraq di dalam Tanzih al-Syariah dan sebagainya.

Menurut kesimpulan yang dibuat oleh Syeikh Al-Albani, beliau menghukumkan hadis ini sebagai palsu seperti yang dinyatakan di dalam bukunya Silsilah Ahadith al-Dhaifah.

Contoh hadis lain ialah: "Berkahwinlah dan janganlah kamu semua bercerai talak. Sesungguhnya talak itu menggegarkan ’Arasyh."

Walaupun hadis ini popular, tetapi ia dinilai sebagai hadis palsu oleh ulama hadis. Sarjana hadis menghukumkan hadis ini adalah palsu kerana di dalam rangkaian sanadnya terdapat seorang rawi bernama ’Amr bin Jami’. Dan menurut Yahya bin Mai’n: "Beliau adalah seorang pendusta dan tidak thiqah." Al-Khatib al-Baghdadi di dalam buku Tarikh Baghdad juga menyatakan dia adalah seorang pendusta.

Al-Suyuti juga menyatakan pendapat yang sama di dalam bukunya Al-Lali’ al-Masnua’h fi al-Ahadith al-Maudhua’h. Al-Shaghani menyenaraikan hadis ini di dalam kumpulan hadis palsu. Begitu juga dengan Al-Albani memasukkan hadis ini dalam buku  Silsilah Ahadith Al-Dhaifah wa al-Maudhua’h.

Tidak ada asal-usul

Antara contoh lain yang lebih dekat dengan masyarakat adalah: "Sesiapa yang merayakan hari kelahiranku, maka aku akan menjadi pemberi syafaat (pertolongan) kepadanya pada hari kiamat. Dan sesiapa yang memberi sedekah satu dirham untuk maulidku, maka seolah-olah dia telah memberi sedekah satu gunung emas semata-mata untuk jalan ALLAH."

Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan Abu Sulaiman, ketika ditanya mengenai hadis ini, beliau mengatakan: "Ini adalah pendustaan kepada Rasulullah SAW yang hanya dibuat-buat oleh golongan ahli bidaah."

Hadis ini tidak ada asal usulnya. Namun, sebahagian orang menjadikan hadis palsu ini sebagai hujah untuk mengatakan sunnah untuk meraikan hari kelahiran junjungan besar, Rasulullah SAW.

Selain itu, dalam buku kecil Majmuk Syarif yang banyak tersebar dalam kalangan masyarakat, disebutkan mengenai kelebihan membaca doa di akhir dan awal tahun mengikut kiraan Hijrah. Malang sekali, amalan dan kelebihan yang dinyatakan tersebut tidak bersumberkan hadis sahih dan ia adalah palsu.

Jamaludin al-Qasimi di dalam Islah al-Masajid berkata: "Doa ini ialah doa yang direka dan tidak berasal daripada Nabi SAW, tidak juga berasal daripada golongan sahabat, tabiin dan tidak direkodkan di dalam buku-buku musnad sehinggakan ia tidak wujud dalam buku maudhuat (buku yang mengumpulkan hadis-hadis palsu). Doa ini hanya dicipta oleh syeikh jadi-jadian. Dan perkataan "berkatalah syaitan kesusahanlah bagiku dan sia-sialah pekerjaanku pada setahun ini dibinasakan dengan satu saat jua dengan sebab membaca doa-doa ini" adalah suatu pembohongan yang sangat besar ke atas ALLAH dan Rasul-Nya."

Kebenaran dalam Islam diukur berdasarkan kekuatan dan kesahihan dalil dan hujah yang dibentangkan.  Bukan siapa yang membentangkannya. Semua manusia terdedah kepada kesilapan melainkan Rasulullah SAW yang maksum, dipelihara ALLAH. Walau yang membentangkannya bergelar ustaz, mufti, imam mahupun habib. Kesahihan ajaran Islam bukan diukur dengan gelaran-gelaran, tidak juga dengan pakaian, jubah dan serban.

Kesahihah

Selagi mana tidak dibawakan dalil dan hujah dengan cara pendalilan yang betul, maka kita berhak untuk bertanya apakah asas kepada kepercayaan atau amalan ini. Apakah dalilnya? Apakah hujahnya? Apakah amalan ini dilakukan oleh Rasulullah SAW dan sahabat?

Siapakah ulama muktabar Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ) yang mentafsirkan ayat atau menghuraikan hadis ini dan sebagainya.

Kita bertanya kerana kita mahu berpegang dan beramal dengan ajaran Islam yang sahih. Bukan sekadar bertaklid buta tanpa dihiraukan hujah dan fakta. Kita hendak beramal berdasarkan ilmu bukan hanya ikut melulu.

ALLAH berfirman: "Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya." (Surah Al-Isra’: 36)

Kekuatan ajaran Islam berteraskan kekuatan dalil dan hujah bukan sekadar kecantikan serban dan jubah atau keasyikan alunan qasidah. Mantapkan ilmu, perkuatkan hujah, giatkan dakwah, bersama menelusuri jalan sunnah.

Tags: hadis, ilmu, nas, sunnah
Subscribe

Posts from This Journal “sunnah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments