mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat ~ "Memburu Redha Ilahi"

Sedutan Teks Khutbah Jumaat 13 November 2015M/ 1 Safar 1437H JAWI

Memburu Redha Ilahi

Sesungguhnya orang yang beriman diibaratkan seperti satu jasad. Setiap anggota saling bantu membantu antara satu sama lain. Salah satu amal ibadah yang dapat membentuk masyarakat sebegini ialah amalan bersedekah. Sedekah adalah amalan mulia yang sangat dituntut.

Firman Allah SWT yang dibacakan pada permulaan khutbah tadi bermaksud: “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa Yang kamu sayangi. dan sesuatu apa jua yang kamu nafkahkan maka Sesungguhnya Allah mengetahuinya”

Hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi daripada Abu Zar al-Ghifari RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: “Kamu senyum kepada saudaramu adalah sedekah, kamu melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar adalah sedekah, kamu menunjukkan jalan seseorang yang tersesat adalah sedekah, dan kamu membuang batu, duri dan tulang dari jalan adalah sedekah, juga kamu mengosongkan timbamu untuk mengisi timba saudaramu itu juga sedekah”.

Bertuahlah bagi mereka yang melazimi amalan bersedekah. Diceritakan bahawa seorang dermawan, al-Laith bin Saad yang mempunyai pendapatan hasil tanamannya sebanyak lebih dari tujuh puluh ribu dinar setahun yang semuanya disedekahkan. Pada suatu ketika dia membeli sebuah rumah yang dilelong lalu wakil beliau pun pergi untuk menerima rumah itu. Didapati di dalamnya anak-anak yatim dan kanak-kanak yang masih kecil. Apabila berita ini diketahui oleh al-Laith, beliau dengan segera menghantar utusan memberitahu mereka bahawa rumah tersebut adalah hak mereka dan pada setiap hari mereka akan mendapat apa yang mereka perlukan.

Kekayaan yang dianugerahkan ini tidak melekakan atau melalaikan dirinya hanyut dalam kemewahan dunia. Walaupun memiliki harta yang banyak, ia tidak menjadikannya seorang yang sombong atau kedekut. Beliau sentiasa bersedekah tanpa rasa takut menjadi miskin atau hartanya semakin berkurangan. Malah amalan ini lebih mendekatkan dirinya kepada Allah SWT.

Hayatilah firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 265: Maksudnya: “Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan apa yang kamu lakukan.”

Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah RA : Bermaksud : “Apabila matinya manusia, maka terputuslah amalannya melainkan tiga perkara iaitu sedekah yang digunakan terus menerus atau ilmu yang dimanfaatkan atau anak soleh yang sering mendoakannya.”

Para Tetamu Allah yang diberkati, beberapa kesimpulan yang dapat diambil sebagai renungan kita bersama ialah:

Pertama: Sedekah adalah amalan mulia yang sangat dituntut. Konsep bersedekah adalah luas, membabitkan perkara-perkara yang membawa kebaikan sama ada dalam bentuk rohani atau jasmani.

Kedua: Orang yang bersedekah akan diberikan ganjaran oleh Allah SWT di dunia mahupun di akhirat.

Ketiga: Lakukanlah amalan bersedekah ini dengan hati yang ikhlas kerana Allah SWT, bukan disebabkan habuan atau kepentingan tertentu.

Firman Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah ayat 272 : Maksudnya: “Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadiKan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa yang dikehendakinya (menurut undang-undang peraturanNya). Dan apa jua harta yang halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan.”

Wallahualam.
Tags: allah, khutbah, redha
Subscribe

Posts from This Journal “redha” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments