mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Hukum haram menghisap vape, Fatwa hanya untuk pameran? Penggunaan vape perlu kawal selia

RAMAI orang membuat pelbagai kenyataan mengenai rokok elektronik (e-rokok) atau vape sejak kebelakangan ini. Kenyataan kadangkala keliru dengan realiti penelitian mengenainya. Saya ingin berkongsi antara hal yang saya bahas di Parlimen Belia apabila diminta mengulas isu penggunaan vape di Malaysia daripada aspek kesihatan.


KERATAN laporan berkaitan kecederaan dialami pengguna e-rokok pada muka depan akhbar BH, 11 November.
Rakyat Malaysia harus menyokong hasrat Kementerian Kesihatan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara bebas asap menjelang 2035. Ini baik untuk kesihatan dan memberi manfaat positif kepada alam persekitaran.

Membahas isu cadangan pengharaman vape kerana khuatir ia menjadi ancaman kesihatan, pihak berwajib mesti terlebih dulu memeriksa beberapa hasil penelitian yang dibuat selama ini.

Penilaian ilmiah

Semua maklum, satu-satu hasil penelitian yang baik berkaitan dengan kesihatan manusia bergantung kepada banyak faktor.

Sebagai contoh ia termasuk jumlah sampel dan tempoh lamanya satu-satu penelitian dibuat. Jenis penelitian juga memainkan peranan penting yang mampu mempengaruhi hasil penelitian.

Antara penelitian mengenai vape yang boleh diguna pakai dalam membuat penilaian ilmiah terhadap kesan penggunaannya kepada manusia adalah penelitian yang dijalankan oleh University College London, ASH, dan ITC UK diguna pakai dalam Laporan Kesihatan Awam England.

Penelitian ini menggunakan ramai responden dan penelitian paling lama dibuat mengenai kesan vape terhadap manusia iaitu sejak 2006, dua tahun selepas ia dicipta di China.

Dalam laporan terbaru E-Cigarette: Evidence Update, terbitan Ogos 2015 oleh Public Health England yang berpandukan penelitian tadi, ada beberapa kesimpulan iaitu:

Perokok yang mencuba kaedah berhenti merokok tetapi masih gagal berhenti merokok disarankan beralih kepada rokok elektronik;

Menggalakkan perokok yang gagal berhenti atau tidak mahu berhenti merokok kepada e-rokok mampu mengurangkan risiko mereka terdedah kepada bahaya penyakit asap rokok atau kematian;

Tidak ada bukti e-rokok mengganggu peratusan orang untuk berhenti merokok, malah kemungkinan ia mampu membantu meningkatkan kadar henti rokok.

Kajian dalam kalangan bukan perokok pula membuktikan peratusan yang sangat kecil e-rokok menyebabkan orang mula merokok;

Kajian membuktikan e-rokok membantu perokok untuk berhenti merokok atau mengurangkan jumlah rokok yang dihisap setiap hari;

Apabila digunakan mengikut ketetapan, e-rokok tidak menyebabkan keracunan nikotin pada pengguna;

Persepsi bahawa penggunaan e-rokok sama bahaya seperti kesan rokok adalah tidak tepat dan pakar mengeluarkan kenyataan bahawa e-rokok adalah 95 peratus lebih selamat daripada rokok; dan

Penelitian mendalam mengenai e-rokok adalah disarankan bagi mengetahui lebih lanjut kesannya pada manusia.
(Butiran terperinci terhadap setiap kesimpulan di atas dapat disemak di laman web rasmi Kerajaan UK. (www.gov.uk)

Mitos bahaya e-rokok mungkin boleh dijawab secara ilmiah melalui laporan itu. Jika ada pihak yang ingin mempertikai hasil laporan kononnya ia didalangi pihak tertentu, bantahan mesti secara ilmiah bersandarkan hasil penelitian yang boleh mencanggah, bukan sekadar persepsi.

Bagaimanapun, ada beberapa perkara perlu diambil perhatian supaya penggunaan vape selamat untuk semua. Justeru, seperti yang digesa oleh Parlimen Belia, undang-undang kawal selia penggunaan e-rokok di Malaysia adalah sangat penting. Sebagai contoh, peraturan bagi cecair vape mesti mendapat kelulusan pihak berkaitan selepas pemeriksaan sewajarnya.

Apabila hal ini tidak dikawal, pengusaha cairan vape mungkin mencampur pelbagai bahan bagi menghasilkan cecair yang laris. Hal ini pernah berlaku antaranya penemuan beberapa jenis dadah, perasa yang tak dibenarkan dan gam pelekat yang dicampur dalam cecair vape. Ini membahayakan nyawa.

Contoh lain adalah hak penjualan vape. Jika cecair dengan pelbagai bahan kimia ini boleh dijual sewenang-wenangnya, kesan jangka panjang seperti 'over-dose' mungkin berlaku.

Cecair yang mengandungi nikotin tertakluk kepada Akta Makanan dan penjualannya mesti dikawal. Perkara ketiga adalah kawalan umur pengguna e-rokok atau vape.

Kita bimbang anak seusia tujuh tahun mula terjebak dengan gejala ini. Larangan menggunakan e-rokok/vape di kawasan awam atau kawasan tertentu mesti dipertimbangkan dalam peraturan kawal selia e-rokok supaya hak bukan merokok juga dapat dijaga.


Orang awam diutama

Tanpa peraturan, orang yang menggunakan e-rokok kini bebas menghembuskan asap rokok elektronik mereka di tempat awam dan tempat larangan merokok hingga mengganggu orang lain.

Hal ini dibincangkan pada sesi persidangan Parlimen Belia yang lalu dan akhirnya Dewan bersetuju untuk menggesa kerajaan mewujudkan undang-undang bagi mengawal selia penggunaan e-rokok atau vape di Malaysia.

Tindakan Kementerian Kesihatan merampas cecair vape di premis jualan selepas kerajaan memutuskan ia tidak akan diharamkan adalah terburu-terburu dan menimbulkan kemarahan ramai pihak.

Justifikasi mesti dikeluarkan oleh kementerian kerana seperti yang dikatakan oleh ramai orang, jika bahaya kesihatan masih tidak jelas oleh cecair vape yang dipermasalahkan, ke napa tidak rampas rokok tembakau yang jelas menimbulkan pelbagai bahaya kesihatan.


Fatwa hanya untuk pameran?

HANYA barang-barang terbaik dan berkualiti tinggi sahaja digunakan. Ikan, ayam, daging, kelapa dan santan, ulaman yang tidak segar langsung tidak dipertimbangkan. Ini kerana matlamat utamanya adalah untuk menghasilkan hidangan nasi kerabu tumis terbaik yang tiada tolok bandingan.

Tukang masaknya bersengkang mata bangun awal pagi untuk menyiapkan segala bahan-bahan ramuan. Kebersihan dan sukatan bahan-bahan yang tepat diutamakan. Hinggakan arang bagi membakar ayam dan daging ditempah khas bagi memastikan isinya masak sekata dan empuk.

Tidak lupa juga segala urusan memasak ini turut diuar-uarkan di laman sosial, jiran-jiran dan kenalan turut dimaklumkan. Akhirnya hidangan istimewa ini siap sepenuhnya dan sedia dihidangkan, kesemua para jemputan sudah kecur mulut, tidak sabar-sabar untuk menjamahnya.

Malangnya, dengan selamba tukang masak itu memaklumkan bahawa hidangan itu bukannya untuk dimakan, tetapi sebaliknya hanya untuk dipamerkan bagi memaklumkan kepada umum bahawa inilah nasi kerabu tumis terbaik. Soalannya, apa perasaan tetamu yang sudah mengerumuni hidangan itu? Kecewa tetapi tidak mampu berbuat apa-apa kerana ia adalah hak mutlak tukang masak berkenaan!.

Minta maaf, senario itu seolah-olah sama dengan fatwa-fatwa di negara ini dalam menjelaskan hukum-hukum yang tidak terdapat dalil dan nas jelas untuk membimbing masyarakat Islam.

Diakui pada masa ini terdapat segelintir masyarakat yang menganggap diri mereka ‘moden dan terpelajar’ apabila tanpa segan silu mempertikai dan mempersenda fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh para mufti. Gambaran yang diberikan ialah mufti mengeluarkan fatwa secara semberono..

Secara asasnya terdapat dua kategori fatwa iaitu diwartakan dan sebaliknya. Baru-baru ini, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh mufti dan diwartakan adalah sah dalam kerangka undang-undang negara dan bukannya tidak berperlembagaan

Keadaan ini berlaku kerana fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti Terengganu berhubung kes Ayah Pin pernah dicabar di mahkamah. Di dalam kes Sulaiman bin Takrib melawan Kerajaan Negeri Terengganu, Mahkamah Persekutuan dihujahkan bahawa fatwa-fatwa mufti yang telah diwartakan itu adalah tidak berperlembagaan dan terbatal. Ini adalah kerana institusi kefatwaan didakwa tidak mempunyai kuasa legislatif di dalam membuat undang-undang.

Itu bagi fatwa yang diwartakan, bagaimana pula dengan yang tidak diwartakan? Difahamkan bahawa beberapa tahun lalu terdapat cadangan untuk mewujudkan model 1Malaysia 1Fatwa yang bertujuan menyeragamkan fatwa di setiap negara. Apa statusnya sekarang?

Perbezaan pendapat akan tetap wujud pada setiap masa terutamanya dalam urusan ijtihad, namun alangkah baiknya sekiranya perbezaan itu tidak dijadikan sebagai penghalang kepada model ini, sebaliknya sekiranya ia dapat diharmonikan, disatukan, diselaraskan nescaya kejayaan itu bakal menjadi cerminan kepada imej dan kewibawaan kredibiliti institusi agama di negara ini.

Sebenarnya terdapat banyak contoh mengenai tiadanya pematuhan terhadap fatwa-fatwa yang dikeluarkan di negara ini, sekadar menyebut sebahagian daripadanya - pengharaman vape oleh Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, pengharaman tarian poco-poco dan larangan penjualan Air Musoffa yang boleh membuka ruang kepada penyelewengan akidah, khurafat dan penipuan. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-72 yang bersidang pada 23 Januari 2006 memutuskan bahawa penjualan Air Musoffa secara komersial adalah dilarang.

Kini produk berciri sama masih wujud, cuma nama dan modus operandinya sahaja ditukar. Contohnya seperti produk makanan dan minuman tertentu yang ‘dihafizkan’ dengan bacaan al-Quran. Lebih teruk lagi kerana pada masa ini terdapat iklan yang tersebar dalam alam maya - kononnya terdapat peniaga vape menjual perisa yang diperdengarkan dengan bacaan 30 juzuk al-Quran.

Mungkin keberanian mereka membuat lawak itu kerana sedar bahawa fatwa di negara ini tiada ‘taring’. Seeloknya fatwa dikuatkuasakan dan tidak hanya sekadar garis panduan semata-mata. Kerajaan dan pihak berkuasa agama perlu melakukan sesuatu yang konkrit. Jika wujud kekangan, permudahkanlah kerana apa yang lebih penting ialah ‘syariah perlu didahulukan, akidah diutamakan’. - Tarmizi Abdul Rahim Utusan Malaysia Rencana Agama 12 November 2015


Hukum haram menghisap vape

ISU mengenai menghisap vape atau e-rokok menjadi perdebatan hebat kini. Dengan kenaikan harga rokok yang mendadak, menghisap vape dikatakan lebih jimat dalam jangka masa panjang. Tambahan pula, ada dakwaan mengatakan vape adalah cara untuk berhenti merokok. Namun sehingga kini, tiada kajian konkrit yang mengesahkan dakwaan ini,

Baru-baru ini Kabinet telah membuat keputusan untuk tidak mengharamkan vape walaupun Kementerian Kesihatan telah membuat kajian awal bahawa nikotin yang terdapat dalam cecair vape berbahaya kepada kesihatan manusia untuk jangka masa panjang. Nikotin boleh menyebabkan penyakit seperti darah tinggi, serangan jantung, kecacatan bayi, rabun, putus haid awal dan kesan sampingan lain. Pengambilan nikotin yang berlebihan dan tidak terkawal juga boleh membawa kepada penyakit barah.

Persoalannya, apakah hukum menghisap vape? Memandangkan kehadiran vape di pasaran Malaysia agak baru, hukum menghisap vape masih tidak banyak diperkatakan. Buat masa sekarang, hanya seorang mufti iaitu Datuk Dr. Zulkifli al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan yang mengeluarkan hukum ke atas vape. Itu pun belum difatwakan secara rasmi lagi.

Mengambil hasil beberapa kajian yang telah dibuat oleh saintis dan pusat kajian kesihatan di Amerika Syarikat, Eropah dan Malaysia yang mendapati menghisap vape boleh membawa kemudaratan kepada tubuh badan penghisapnya, Dr. Zulkifli berpendapat hukum menghisap vape adalah haram dengan beberapa alasan:

(1). Mengqiyaskan menghisap vape dengan menghisap rokok sebenar.

(2). Pandangan pakar yang mengatakan kemudaratan menghisap vape adalah lebih teruk daripada merokok.

(3). Pembaziran duit dengan membeli alat vape dan cecair yang mahal.

(4). Meniru cara amalan hidup orang Barat.

(5). Amalan yang tidak bermaruah.

(6). Mengambil kaedah Sad al-Zari’ah (menutup pintu kerosakan).

Dr. Zulkifli menambah bahawa Tan Sri Dr. Abd. Syukur Husin, Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan telah membuat kenyataan bahawa penggunaan e-rokok dan vape adalah haram mengambil keputusan pengharaman rokok (1995) dan shisha (2013) kerana berbahaya, membazir dan memudaratkan kesihatan.

Begitu juga fatwa individu seperti Syeikh Muhammad Salih al-Munajjid mengatakan penggunaan e-rokok dan vape adalah haram mengambil pendekatan hukum sama dengan rokok tradisional. Manakala pandangan oleh Syeikh Uthman al-Khamis bahawa e-rokok dan vape membawa kepada kemudaratan, dan setiap yang mudarat hukumnya adalah haram. Tambahan pula, Islam menuntut penganutnya menjaga kemaslahatan dan menolak kemudaratan.

Pandangan di atas sangat tepat melihat kepada konteks maqasid syariah kerana ia berperanan untuk memberi kebaikan kepada manusia sejagat dan menyelamat mereka dari sebarang kemudaratan.

Para sarjana dan fuqaha Islam menggariskan bahawa sesuatu tindakan itu mesti berlandaskan maqasid syariah yang meliputi tiga keutamaan iaitu dharuriyyat (essential), hajiyyat (complimentary) dan tahsiniyyat (embellishment).

Di bawah keutamaan dharuriy­yat, perkara yang menjadi sandaran manusia sama ada bersifat keagamaan dan keduniaan akan menjadi pincang seandainya ia tidak dilaksanakan. Justeru memelihara agama, nyawa, intelek, keturunan dan maruah serta harta menjadi lima nilai keutamaan dalam segala tindak tanduk manusia di dunia ini.

Dalam konteks ini, mengambil kira keutamaan dharuriyyat, menghisap vape merungkai pemeliharaan lima perkara di atas.

Ini bersesuaian dengan firman Allah SWT: “Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.” (al-Baqarah: 195).

Dalam ayat lain, Allah SWT berfirman: “....dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk dan membuang daripada mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka...,” (al-A’raf: 157).

Dari segi Sunnah pula, Nabi Muhammad SAW bersabda: “La dharar wala dhirar” yang bermaksud “Tidak boleh melakukan perbuatan yang berbahaya dan membahayakan” (Riwayat oleh Ahmad, Malik, Ibn Majah & al-Daraquni). Dalam satu Kaedah Fiqh (Islamic legal maxims): “dar’ul mafasid muqaddamun ‘ala jalbi al-masoleh” yang bermaksud “menolak kemudaratan hendaklah didahulukan daripada melakukan kebaikan”. Dengan melakukan qiyas ke atas pengharaman merokok dan vape yang membawa kemudaratan, maka hukum menghisap vape boleh dikategorikan haram.

Dalam komentarnya baru-baru ini, Datuk Dr. Lokman Hakim Sulaiman, Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan membuat satu kenyataan keras ke atas amalan menghisap vape.

Menurut beliau, buat masa ini, tidak seperti rokok, tiada terdapat satu undang-undang dan peraturan khusus yang mengawal selia amalan vape sementara satu jawatankuasa teknikal Kementerian Kesihatan te­lah membuat penyelidikan yang menyeluruh akibat penggunaan vape. Beliau menambah bahawa terdapat kajian di peringkat global yang menyimpulkan bahawa amalan e-rokok dan vape adalah berbahaya kepada tubuh badan.

Rentetan itu, Jawatankuasa Teknikal Kementerian Kesihatan menyusulkan supaya vape diharamkan. Jawatankuasa tersebut beranggapan bahawa kajian oleh WHO (Organisasi Kesihatan Sedunia) di mana pada tahun 1960-an didapati merokok menyebabkan barah paru-paru walaupun amalan merokok telah berleluasa lebih 100 tahun yang lalu.

Sesungguhnya, pengharaman peng­gunaan vape telah diambil di negara maju seperti di Amerika Syarikat dan sesetengah negara Eropah. Bahkan tindakan yang sama telah diambil oleh beberapa negara jiran seperti Thailand dan Kemboja.

Dengan kuasa yang ada, Kementerian Kesihatan telah membuat serbuan dan merampas alat dan cecair vape ke atas lebih 300 pengusaha dan pengedar. Ini menimbulkan rasa tidak puas hati kerana rata-rata mereka orang Melayu yang tidak diberi masa yang cukup dan peraturan tidak jelas. Walaupun begitu, Kementerian Kesihatan mengatakan bahawa tindakan yang diambil adalah selari dengan Akta Racun 1952 (Pindaan 1989) kerana nikotin adalah barang yang terlarang.

Majlis Fatwa Kebangsaan masih belum lagi mengeluarkan satu fatwa khusus ke atas penggunaan vape seperti yang telah dibuat ke atas rokok (1995) dan shisha (2013). Kenyataan umum bahawa vape adalah sama dengan rokok tidak memadai.

Ini kerana, amat mengejutkan kenyataan yang dikeluarkan semasa Konvensyen Vaporizer di Kuala Lumpur pada Jun lalu bahawa industri vape dan cecair berjumlah lebih setengah bilion ringgit, kedua terbesar di dunia setelah Amerika Syarikat, dan yang paling besar di Asia dengan jumlah pengguna vape mencapai lebih sejuta orang.

Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jawatankuasa Fatwa Negeri-negeri hendaklah mengeluarkan fatwa khusus mengenai penggunaan vape. Pihak kerajaan pula hendaklah mengambil tindakan tegas ke atas penggunaan nikotin yang tidak terkawal dalam vape.

Pihak kerajaan juga perlu memperkenalkan satu undang-undang dan peraturan khusus berkenaan vape sebelum ia tidak lagi terkawal. Satu kempen secara besar-besaran seperti merokok perlu diadakan bagi membanteras amalan yang cukup berbahaya kepada kesihatan.

- Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil Utusan Malaysia Rencana Agama 11 November 2015 6:10 PM
Tags: fatwa, haram, rokok
Subscribe

Posts from This Journal “fatwa” Tag

  • Ilmuwan disekat, si jahil diangkat

    ANTARA musibah yang menimpa umat ialah apabila hilangnya golongan ulama. Ulama yang ikhlas mendidik dan membimbing umat untuk hidup di atas jalan…

  • Mufti tak bersendirian keluar fatwa

    Setiap fatwa yang dikeluarkan mufti bukan dilakukan secara bersendirian. Mufti terlebih dulu akan memanggil Jawatan Kuasa Perundingan Hukum Syarak…

  • Meremajakan peranan fatwa

    AGAMA Islam adalah suatu sistem kehidupan. Islam bukanlah agama yang mementingkan ritual sahaja atau hanya sesuai ditempatkan di rumah ibadah…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments