mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat ~ Sempatkah Kita Bertaubat

Sedutan Petikan Teks Khutbah Jumaat  20 November 2015M/ 8 Safar 1437H JAWI

Sempatkah Kita Bertaubat


Sering kali kita mendengar kes-kes kematian mengejut berlaku di seluruh dunia. Ada yang menemui ajal ketika sedang bersukan, ketika sedang memandu, juga ketika dalam tidur. Kematian sentiasa mengejar dan membayangi kita.

Manusia sering leka dan lalai. Manusia juga sering terperangkap dalam kesilapan, dosa dan kemungkaran yang dilakukannya sendiri. Manusia selalu terjerat dalam langkahnya yang sumbang. Itulah manusia.

Sebagai manusia biasa, agak sukar bagi kita mengelakkan diri daripada melakukan kesilapan sama ada secara sengaja ataupun tidak sengaja. Dalam erti kata yang lain, tiada seorang pun dari kalangan kita yang tidak melakukan dosa. Perbezaannya cuma bagaimanakah sikap kita setelah berbuat dosa. Adakah kita segera bertaubat atau melengah-lengahkannya.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Jumu’ah Ayat 8:-Bermaksud: “Katakanlah (Wahai Muhammad): Sesungguhnya maut yang kamu melarikan daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu DIA memberitahu kepada kamu apa yang telah kamu lakukan (serta akan membalasnya).”

Segala dosa dan noda yang kita lakukan akan menjadi kotoran yang menghitamkan hati. Hanya taubat sahajalah yang mampu menyucikan segala kekotoran di dalam hati kita.

Rebutlah peluang kemurahan kasih sayang Allah menerima taubat hambaNya sepertimana dinyatakan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim RH daripada Abu Musa al-Asy’ari RA Bermaksud: “Sesungguhnya Allah ‘Azzawajalla ‘menghulurkan tangannya’ (bersedia menerima taubat) pada waktu malam agar orang yang melakukan kejahatan pada waktu siang bertaubat; dan Allah ‘menghulurkan tangannya’ (bersedia menerima taubat) pada waktu siang agar orang yang melakukan kejahatan pada waktu malam bertaubat; sehinggalah matahari terbit dari barat” .

Bertaubat adalah suruhan Allah dan amalan rutin Rasulullah SAW yang wajib dilaksanakan dengan segera tanpa berlengah.

Sesungguhnya orang yang sengaja melambat-lambatkan bertaubat akan berdepan dengan dua bahaya besar, iaitu:

Pertama : Hatinya menjadi keras dan gelap. Sukar untuk menerima nasihat dan kebenaran. Inilah akibat perbuatan maksiat dilakukan kepada Allah sehingga menjadi sangat susah untuk mengikis dan menghapuskannya.

Kedua : Maut dalam kemurkaan Allah. Kematian datang sebelum sempat ia bertaubat, lalu ia menemui Allah SWT dalam keadaan hatinya penuh dosa dan pasti menyeretnya kepada suasana hidup yang tidak selamat di akhirat nanti.

Oleh itu, apabila menyedari telah melakukan dosa, maka segeralah memohon ampun kepada Allah SWT dengan bertaubat. Orang yang bertaubat dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh hendaklah yakin Allah SWT pasti menerima taubatnya.

Dr ‘Aidh Abdullah al-Qarni ada menyebut di dalam bukunya yang bertajuk “Pesanan Untuk Orang Berdosa”, bahawa jalan menghampiri taubat atau mendorong untuk bertaubat ialah tidak panjang angan-angan.

Firman Allah SWT dalam Surah Faatir ayat 37: Bermaksud: “dan mereka menjerit-jerit di dalam neraka itu (sambil merayu): “wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami (dari azab ini), kami akan mengerjakan amal-amal yang soleh, yang lain dari apa yang kami pernah kerjakan.” (lalu Allah menempelak mereka): Bukankah KAMI telah melanjutkan umur kamu dan member masa yang cukup untuk berfikir dan beringat padanya oleh sesiapa yang suka berfikir dan beringat? Dan kamu pula telah didatangioleh Rasul (KAMI) yang memberi amaran.”

Hayatilah kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah pada hari yang mulia ini:

Pertama : Tiada alasan untuk kita menjawab di hadapan Allah SWT nanti dengan mengatakan kita tidak tahu, terlupa atau tidak sedar kerana semua amalan dan maksiat akan dicatat dan dihisab walau sebesar zarah;

Kedua : Hanya dengan Taubat Nasuha sahajalah yang akan membersihkan kita daripada segala noda dan dosa yang telah dilakukan seterusnya memperoleh keampunan Allah SWT; dan

Ketiga : Taubat hendaklah dilakukan dengan segera dan istiqamah sebaik sahaja tersedar telah melakukan dosa, kerana ajal mungkin berkunjung tiba dikala lafaz taubat belum sempat dipinta.

Marilah sama-sama kita merenung peringatan Allah SWT di dalam Surah Asy-Syura Ayat 25:-Bermaksud: “Dan Dialah Tuhan yang menerima taubat dari hamba-hamba-Nya (yang bertaubat) serta memaafkan kejahatan (yang mereka lakukan) dan Dia mengetahui akan apa yang kamu semua kerjakan.”

Wallahualam.
Tags: taubat
Subscribe

Posts from This Journal “taubat” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments