mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Imam Abu Al-Hassan Al-Asy'ari sesat?!

ISU ini mungkin sudah lama. Tetapi fitnah keji dan penyelewengan fakta ini masih lagi disebarkan dalam kalangan umat Islam. Malang dan menyedihkan. Imam yang dihormati dan besar jasanya kepada umat dan agama dizalimi dan difitnah oleh lidah-lidah kotor mereka. Mereka yang bencikan Ahli Sunnah wal Jamaah atau pun mereka yang berpura-pura berselindung di sebalik nama Ahli Sunnah, tetapi seruan mereka penuh dengan cercaan kepada tokoh-tokoh ulama Ahli Sunnah.

Latar belakang

Abu Al-Hasan Al-Asy'ari atau nama penuhnya Ali bin Ismail adalah daripada keturunan Abu Musa Al-Asy'ari (sahabat Rasulullah SAW). Dilahirkan di Basrah pada tahun 270H dan meninggal pada tahun 324H di Baghdad.

Sejarah hidup beliau agak unik. Secara umumnya, terdapat tiga fasa penting yang beliau lalui sepanjang hayatnya.

Fasa pertama: Sewaktu beliau bersama dengan Abu Ali Al-Jubbaie (bapa tiri beliau), seorang tokoh ulama dalam muktazilah. Pada peringkat awal ini, Abu Al-Hasan banyak belajar dengan beliau sehingga menjadi tokoh dan tempat rujukan dalam aliran muktazilah. Abu Al-Hasan kekal berpegang dengan fahaman muktazilah selama 40 tahun.

Fasa kedua: Peringkat ini adalah fasa perubahan pegangan beliau daripada Muktazilah kepada fahaman baharu beliau yang lebih menenangkan hatinya. Selepas berfikir, istikharah dan mengasingkan diri di dalam rumahnya selama 15 hari, akhirnya beliau tampil dan mengumumkan yang beliau tidak lagi berpegang dengan ajaran muktazilah.

Pada peringkat ini beliau menetapkan (ithbat) tujuh sifat aqliyah bagi ALLAH SWT iaitu al-hayat, al-'ilm, al-iradat, al-qudrat, al-sama', al-basar dan al-kalam. Manakala sifat-sifat khabariyah bagi ALLAH seperti wajah, dua tangan, telapak kaki dan betis, beliau masih mentakwilkan (mentafsirkan dengan maksud lain) yang bertepatan dengan akal.

Fasa ketiga: Peringkat ini beliau menetapkan (ithbat) keseluruhan sifat ALLAH tanpa takyif (menjelaskan bagaimana), tanpa tasybih (menyamakan dengan makhluk), tanpa ta'til (menafikan maksud), tanpa tahrif (menyelewengkan maksud) dan sebagainya.

Pada peringkat inilah Imam Abu Al-Hasan Al-Asy'ari menghasilkan karyanya  iaitu al-Ibanah ‘an Usul al-Diyanah yang menjelaskan prinsip dan pegangan beliau yang selari dengan pegangan salafussoleh. Beliau berpegang dengan akidah ini sehinggalah ke penghujung hayatnya.

Imam Abu Al-Hasan Al-Asy'ari banyak meninggalkan sumbangannya kepada umat dan agama Islam. Sempat menghasilkan sebanyak 68 karya dalam menjelaskan dan mempertahankan akidah yang sahih dan membela sunnah Nabi Muhammad SAW. (Lihat: Al-Mausu'ah al-Muyassarah, Dar al-Nadwah al-‘Alamiyah, 2003, 1/83)

Diperlekehkan

Walaupun Imam Abu Al-Hasan adalah tokoh umat yang banyak berjasa kepada umat, namun masih ada mulut celupar yang memperlekeh dan menghina beliau. Antara yang begitu lantang dan terang-terangan mencerca beliau ialah Hassan Al-Saqqaf yang berada di Jordan.

Hasan Al-Saqqaf ketika menolak bantahan Imam Abu Hasan Al-Asy'ari, beliau berkata: "Jika dia (Imam Abu Hasan Al-Asy'ari) memaksudkan kepada Muktazilah yang dikatakan dia telah belajar dari mereka selama 40 tahun, sedangkan mereka (Muktazilah) tidak menyatakan sedemikian. Ini mengesahkan kisah-kisah yang dihikayatkan bahawa dia (Imam Abu Hasan Al-Asy'ari) mengetahui perincian mazhab Muktazilah adalah kisah-kisah khurafat, ataupun orang yang disebut dalam kisah itu (Imam Abu Hasan Al-Asy'ari) seorang yang bodoh, dari sudut dia telah duduk bersama suatu mazhab selama 40 tahun, tetapi tidak tahu pandangan mereka dan pemikiran mazhab tersebut. Kami juga melihat pada hari ini ramai dalam kalangan syeikh yang dinisbahkan kepada nama Asy'ari (pengikut mazhab Asy'ari), dan umur mereka menghampiri 76 tahun, kebanyakan mereka sejahil-jahil manusia dengan mazhab Asy'ari dan Asya'irah." (Al-Ibanah, tahqiq Hassan Al-Saqqaf,  ms: 192)

Tuduh sesat & kufur

Bukan setakat memperlekehkan Imam Abu Al-Hasan Al-Asy'ari, bahkan Hassan Al-Saqqaf sampai ke tahap menuduh beliau berpegang dengan fahaman yang sesat lagi kufur iaitu tajsim (menjisimkan ALLAH) dan tasybih (menyamakan ALLAH dengan makhluk).

Kata Al-Saqqaf: "Kenyataan-kenyataan ini memberi faedah bahawa beliau (Imam Abu Hasan Al-Asy'ari) memahami al-Quran berkaitan ayat-ayat sifat adalah secara zahir. Ia perkataan yang sama dengan al-Musyabbihah dan al-Mujassimah. Dan dia di sisi kami secara pasti sememangnya dalam kalangan mereka." (Al-Ibanah, tahqiq Hassan Al-Saqqaf,  ms:200)

Sikap biadab Hasan Al-Saqqaf juga boleh dinilai melalui komennya terhadap Imam Abu Al-Hassan yang membantah golongan yang berkecuali dari menyatakan al-Quran itu makhluk atau bukan makhluk. Kata Imam Abu Al-Hasan: "Katakan kepada mereka: "Adakah ALLAH telah firmankan kepada kamu semua dalam kitabnya: "Berkecualilah (tawaqquf) kamu semua dalam persoalan ini...".

Semasa mengulas pendirian Imam Abu Al-Hasan ini, Al-Saqqaf menulis: "Bantahan yang buruk tiada nilai padanya. Ini mengesahkan penulis kitab ini (Imam Abu Al-Hasan Al-Asy'ari) seorang bermazhab Hanbali yang tiada akal atau yang berpura-pura lagi munafik untuk mendapat reda dari al-Barbahari yang tidak diperolehinya." (Lihat: Nota kaki Hasan Saqqaf dalam Al-Ibanah. ms: 162)

Imam Abu Al-Hassan iktiraf khilafah Abu Bakar. Dalam bab terakhir kitab Al-Ibanah, Imam Abu Al-Hassan Al-Asy'ari mengulas secara khusus mengenai khilafah Abu Bakar Al-Siddiq. Beliau membawakan beberapa dalil daripada al-Quran dan hadis yang memberikan isyarat kepada benarnya pelantikan Abu Bakar sebagai khalifah pertama selepas Rasulullah SAW.

Dalam bab ini juga Imam Abu Al-Hassan mematahkan hujah golongan Rafidhah (Syiah) yang menyatakan sepatutnya khalifah yang dilantik selepas Rasulullah SAW ialah Ali bin Abi Talib. (Lihat: Al-Asy'ari, Abu Al-Hassan, Al-Ibanah, Dar Al-Kutub, ms: 90)

Cuma, apa yang menghairankan, ketika mengulas hujah yang diutarakan oleh Imam Abu Al-Hassan, Hassan Al-Saqqaf seakan-akan tidak bersetuju dengan pelantikan Abu Bakar. Sedangkan kita sedia maklum tidak ada yang mempertikaikan pelantikan Abu Bakar sebagai khalifah melainkan Syiah sahaja.

Hasan Al-Saqqaf telah menuduh Imam Abu Hasan dan orang seumpamanya yang mendakwa pelantikan Abu Bakar dan Umar RA terdapat dalil daripada al-Quran, mereka dirasuki dengan perkataan Umar.

Bersihkan fitnah ke atasnya

Imam Abu Al-Hassan Al-Asy'ari adalah tokoh yang lahir dari keturunan sahabat yang mulia. Pengalaman hidup beliau dari seorang pengamal kuat Muktazilah kemudian beralih kepada Ahli Sunnah seperti yang dibawakan oleh salafussoleh patut menjadi pengajaran dan pedoman buat kita semua.

Bersihkan nama baik beliau daripada sebarang fitnah. Alhamdulilah, tembelang Hassan Al-Saqqaf yang banyak menghina dan memperlekehkan tokoh ini dan ramai lagi ulama lain akhirnya disedari dan berjaya dibongkarkan. Disebabkan oleh itu, dilaporkan kerajaan Jordan telah mengawasi aktiviti kuliah beliau bagi membendung ajaran jahat dan sesat yang cuba disebarkan.

Cuma, kita harus waspada kerana anak muridnya juga ada di Malaysia. Jika gurunya berpendirian menyeleweng seperti itu, bagaimana pula dengan anak muridnya?

Tags: sesat, tokoh
Subscribe

Posts from This Journal “tokoh” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments