mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

“Jangan keluar air mata!”

“Jangan keluar air mata! Jangan keluar air mata! Jangan menangis!”

Saya terpegun seketika apabila terdengar suara kuat seorang lelaki mengingatkan ahli keluarga si mati supaya jangan menangis. Kisahnya, arwah dijemput Allah secara mengejut semasa sedang bekerja. Sebelum dihantar ke kubur, para waris dan keluarga mahu menatap wajah arwah buat kali terakhir. Pada ketika itulah suara si lelaki dengan tegas melarang air mata keluar. Soalnya mengapa perlu dilaungkan kata-kata yang sangat menongkah fitrah itu?

Tangisan sedih bukan boleh ditahan keluarnya. Apabila tiba masa, ia akan mencurah keluar bak hujan yang menjunam turun dari awan. Masakan mampu ditahan deruan itu. Menangis dan ketawa adalah “rasa” yang menunjukkan kehebatan Allah:“Dan bahawa sesungguhnya, Dialah (Allah) yang menyebabkan (seseorang itu bergembira) tertawa, dan menyebabkan (seseorang itu berdukacita) menangis,” (al-Najm [53:43]).


FAHAMAN SILAP

Tangisan bakal menyeksa mayat?

RASULULLAH SAW menjelaskan bahawa tangisan yang lahir daripada fitrah kasih sayang dibenarkan Islam selagi ia tidak membawa kepada ratapan dan raungan seperti yang dilakukan orang jahiliah. - GAMBAR HIASAN

Walau bagaimanapun, rupanya ada hadis menyatakan tangisan orang hidup akan menyeksa mayat. Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya mayat benar-benar akan diseksa kerana tangisan keluarga ke atasnya,” - Sahih Muslim.

Lalu ramailah orang Melayu berpaut erat pada hadis ini sehingga menampakkan Islam sebagai agama yang kaku, keras, tiada kasih sayang dan kedekut air mata. Orang yang berpegang hanya pada hadis itu belajarnya hanya ‘sekerat’. Lalu dengan ilmu separuh masak itu dia berlagak alim sehingga menyinggung perasaan keluarga si mati. Jika bertemu dengan si alim sekerat seperti kisah ini, tanyakan kepadanya mana mahu kita letakkan banyak hadis lain yang menunjukkan Rasulullah SAW sendiri pun menangis dan menitiskan air mata apabila berlaku kematian.

Jabir bin Abdullah r.a. menceritakan: “Ketika ayahku meninggal dunia aku menutup wajah ayahku dengan kain dan menangis. Kaumku lalu menegahku daripada menangis sedang nabi tidak pula melarangku. Berikutan itu ibu saudaraku Fatimah turut menangis. Nabi pun bersabda: “(Sama sahaja) jika kamu menangis atau tidak menangis kerana para malaikat tetap menaunginya dengan sayap mereka sehinggalah kamu semua mengangkat jenazahnya,” - Sahih Bukhari.


RASULULLAH TURUT MENANGIS

Pada ketika lain Rasulullah SAW sendiri menangis ketika melihat kewafatan cucunya (bayi kepada Zainab binti Rasulullah SAW). Ketika baginda menangis, Sa’ad bin ‘Ubadah r.a. bertanya mengapa baginda menangis. Rasulullah SAW bersabda: “(Tangisan) ini adalah tanda kasih sayang yang Allah letakkan ke dalam hati para hamba-Nya. Sesungguhnya Allah senantiasa merahmati hamba-Nya yang pengasih,” - Sahih Bukhari dan Muslim.

Menarik sekali ulasan Imam al-Nawawi terhadap hadis ini. Sa’ad bertanya kenapa baginda menangis “kerana beranggapan semua jenis tangisan kepada kematian adalah haram.”

Berikutan itu Rasulullah SAW menjelaskan tangisan yang lahir daripada fitrah kasih sayang dibenarkan Islam asal sahaja ia tidak membawa kepada ratapan dan raungan seperti yang dilakukan orang jahiliah (Syarh Sahih Muslim oleh Imam al-Nawawi).

Ketika bayi Rasulullah yang bernama Ibrahim wafat, baginda menangis. Lalu Abdul Rahman bin ‘Awf r.a. turut bertanya: “Engkau pun turut menangis wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Wahai Ibn ‘Awf ia adalah tanda kasih sayang.” Baginda menyambung lagi: “Sesungguhnya mata mengalirkan airnya, hati juga boleh bersedih dan kami tidak berkata sesuatu melainkan yang diredai Tuhan kami, dan sesungguhnya kami sangat bersedih dengan pemergianmu wahai Ibrahim,” - Sahih Bukhari.

Ketika anak perempuan Rasulullah iaitu Ummu Kalthum r.a. wafat (isteri Uthman bin ‘Affan r.a.), baginda turut menitiskan air mata. Ia diceritakan sendiri oleh Anas bin Malik r.a. (Sahih al-Buhari).

Pernah Rasulullah SAW bersama para sahabatnya datang menziarahi Sa’ad bin ‘Ubadah r.a. yang sedang sakit. Pada ketika itu Rasulullah dan semua yang hadir menangis. Baginda pun bersabda: “Tidakkah kamu semua mendengar. Sesungguhnya Allah tidak akan menyeksa (seseorang) kerana tangisan mata, tidak juga kerana kesedihan hati. Akan tetapi Dia menyeksa seseorang kerana ini. Baginda kemudiannya mengisyaratkan kepada lidahnya,” - Sahih Bukhari dan Muslim.

Pelik sekali hadis di atas. Satunya melarang tangisan kerana ia bakal menyeksa mayat, manakala hadis lain pula menyebut baginda SAW sendiri berulang-ulang menangisi kematian insan yang baginda cintai. Tunggu dahulu dan jangan cepat menggaru kepala sebagai tanda kehairanan. Rupanya hadis larangan menangis itu tidak dipersetujui oleh Aishah r.a. kerana beliau berhujahkan ayat ini: “Dan (ketahuilah), seseorang pemikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain,” (Fatir[35:18]).

Seakan Aishah r.a. menyanggah, mengapa pula Allah nak menghukum si mati yang tidak bersalah kerana tangisan ahli keluarganya? Para ulama kemudiannya menjelaskan, Aishah benar dalam pendapatnya tidak mempersetujui hadis tersebut dan sahabat yang meriwayatkan hadis tentang mayat terseksa juga benar.

KESIMPULAN

Mayat akan terseksa dengan tangisan ratapan ahli keluarganya jika tangisan itu adalah wasiat si mati sebelum kematiannya. Sukar untuk kita fahami? Memang sukar kerana ia adalah budaya jahiliah kerana orang Arab jahiliah biasa berpesan agar kematiannya diratap secara bersungguh-sungguh. Wasiat ini menjadi wasiat mungkar lagi berdosa yang menyebabkan si mati diseksa Allah (Syarh Muslim oleh Imam al-Nawawi).

Kesimpulannya, tangisan yang dilarang adalah tangisan ratapan yang sangat hodoh rupanya. Mayat pula akan terseksa dengan tangisan itu jika ia memang wasiat si mati sebelum kematiannya.

Jika tangisan itu berpunca daripada kasih sayang yang masih terkawal seperti lagak laku Rasulullah SAW dalam hadis terdahulu ia masih dibenarkan. Apa perasaan kita jika ketika hati sedang bersedih dan jiwa mendesak agar air mengalir keluar dari mata kerana kasih sayang yang murni, tiba-tiba datang seseorang berlagak alim berkata “jangan menangis! jangan keluar air mata!” Demi Allah! Ia sangat tidak patut dan menongkah fitrah manusia.

Islam itu indah dan meraikan fitrah kasih sayang manusia. Janganlah dirosakkan keindahan ini dengan kejahilan kita yang memiliki ilmu “separuh masak.” Bimbang nanti wajah Islam yang indah terpalit dengan kelakuan yang mengeraskan jiwa.

Tags: mati, menangis
Subscribe

Posts from This Journal “mati” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments