mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat ~ Pengurusan dan Pengisian Masa Cuti Sekolah

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 27 November 2015:JAIS

Pengurusan dan Pengisian Masa Cuti Sekolah


Cuti sekolah kembali lagi. Inilah masa yang ditunggu-tunggu oleh anakanak yang bersekolah lantaran mereka tidak lagi terikat dengan buku-buku pelajaran, aktiviti kokurikulum atau pun kelas tambahan.

Hadis daripada Ibnu Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Dua nikmat yang sering memperdaya manusia; Kesihatan dan kelapangan masa”. (Riwayat Imam Bukhari)

Masa itu ibarat emas.  Perkara yang paling berharga setelah memiliki iman dan islam dalam diri adalah masa.

Umat Islam yang tidak tahu menghargai masa, tidak mungkin akan menjadi umat yang maju malah menjadi umat yang rugi.

Firman Allah SWT dalam surah al-Asr ayat 1-3:“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar”

Ibubapa yang bijak akan menguruskan masa anak-anak dengan sebaik-baiknya. Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Maka kedua-dua ibu bapanyalah yang akan menjadikan anak itu seorang Yahudi, Nasrani atau Majusi”. (Riwayat al-Bukhari).

Sebagai perkongsian pandangan kepada para jemaah khususnya yang mempunyai anak-anak bersekolah, khatib pada hari ni menyenaraikan aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan sepanjang cuti sekolah.

1. Mempelajari al-Quran dan kelas-kelas Fardu Ain yang menjadi kewajipan kepada mereka dalam usaha untuk mencari ilmu yang tidak terhad pada waktu persekolahan semata-mata bahkan ia boleh diperolehi tanpa mengira tempat dan masa.

2. Melancong dan berkelah; Melalui aktiviti ini, ia dapat memberi peluang kepada mereka untuk mengenali dunia luar sekali gus melihat keindahan alam ciptaan Allah s.w.t. Kata orang, jauh berjalan, luas pandangan. Melawatlah ke mana-mana sahaja. Asalkan tempat itu bukanlah tempat maksiat dan juga tempat yang boleh merosakkan aqidah dan akhlak.

3. Kem Cuti Persekolahan; Program seperti ini biasanya dianjurkan oleh pihak sekolah, syarikat swasta, NGO-NGO, komuniti setempat termasuk di sesetengah masjid. Program ini biasanya memuatkan pelbagai aktiviti yang berasaskan motivasi, sahsiah, agama, kerohanian, akhlak, ibadah, jati diri, sosial dan seumpamanya. Di samping mendapat ilmu baharu, anak-anak boleh mengenali rakan-rakan baharu di kem-kem yang disertai.

4. Kelas tambahan; Ia merupakan cadangan yang positif terutamanya kepada anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan awam seperti UPSR, PT3 dan SPM pada tahun berikutnya.

5. Kursus jangka pendek; Bagi meningkatkan kemahiran anak-anak, ibu bapa boleh mendaftarkan mereka ke institusi-institusi yang menganjurkan kursus jangka pendek mengikut minat mereka seperti kelas ICT, kelas Bahasa Inggeris, kelas seni bela diri, kelas renang dan seumpamanya.

Kemahiran-kemahiran seperti ini sangat bermanfaat sebagai satu kaedah dalam memperkembangkan bakat anak-anak seiring dengan pencapaian akademik.

Khatib juga ingin berpesan kepada anak-anak, janganlah sama sekali menghabiskan masa cuti sekolah dengan perkara yang tidak berfaedah.

Perkara-perkara negatif sebenarnya tidak membantu dalam memperkembangkan potensi diri bahkan memberi kemudharatan kepada diri sendiri. Contohnnya; Menonton siaran dan program di televisyen tanpa pengawasan, bermain permainan video dan telefon pintar tanpa had masa, berjumpa kawan-kawan tanpa mengira siang dan malamserta mengabaikan solat, juga menghabiskan masa di kafe cyber dan pusat membeli belah dan lain-lain lagi.

Sesungguhnya, setiap mukmin yang bertaqwa akan menghargai setiap detik dan masa.  Salah satu daripada lima perkara yang telah dipesan oleh Rasulullah SAW iaitu ‘ingatlah masa lapangmu sebelum masa sibukmu’ perlulah direnungkan bersama-sama agar di akhirat nanti kita tidak akan kerugian.

“Wahai orang-orang Yang beriman! bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa Yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari Akhirat). dan (sekali lagi diingatkan): bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuannya akan Segala Yang kamu kerjakan”. (Surah al-Hasyr : 18)

Wallahualam.
Tags: khutbah, masa, pengurusan
Subscribe

Posts from This Journal “pengurusan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments