mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Allah sayangkan hamba-Nya, Jadikan musibah pencetus semangat, bukan mati akal

Jadikan musibah pencetus semangat, bukan mati akal

Prinsip hidup sebagai umat beragama Islam adalah 'hidup adalah ujian'. Setiap orang pasti diuji dan setiap ujian pasti ada penyelesaiannya. Sama ada keputusan itu membawa kepada kejayaan mahupun kegagalan, ia mendidik manusia untuk berusaha dan reda kepada ketentuan Tuhan.

Menerangkan mengenai prinsip kehidupan sebagai ujian ini, Ustaz Pahrol Mohd Juoi menerangkan bahawa pemilik ujian adalah Allah SWT dan yang diuji adalah manusia menerusi Program Islam Itu Indah di IKIMfm.

Katanya, kayu ukur kepada kejayaan mengharungi ujian adalah memperoleh reda Allah SWT dan diberi ganjaran syurga-Nya. Sebaliknya, jika gagal akan mendapat murka Allah dan diazab ke dalam neraka-Nya. Sesungguhnya dijadikan mati dan juga hidup untuk menguji manusia.

Ujian berlaku dalam dua bentuk. Bentuk pertama adalah ujian kepada sesuatu yang disukai dan kedua ujian kepada sesuatu yang tidak disukai atau lebih dikenali sebagai musibah.

Ujian kekayaan lebih sukar

Musibah adalah ujian, tetapi tidak semua ujian diklasifikasikan sebagai musibah. Contohnya, antara kaya dengan miskin.

Kaya itu ujian tetapi kemiskinan juga ujian dan tergolong dalam kategori musibah.

Namun, ujian dalam kekayaan itu jauh lebih sukar daripada musibah kemiskinan.

Saat ditimpa musibah perlu kepada sabar. Bagaimanapun, untuk menempuh ujian berdepan kesenangan yang perlu kepada syukur. Sesungguhnya tidak dapat disangkal makam kedudukan syukur lebih tinggi daripada sabar.

Kebanyakan orang yang ditimpa musibah merasakan bahawa hanya dirinya yang dirundung musibah. Mereka beranggapan bahawa diri mereka paling malang, menderita dan teraniaya akibat ditimpa musibah sehingga hilang semangat dan putus asa untuk meneruskan kehidupan.

Elakkan berasa hanya kita seorang saja ditimpa musibah di dunia ini kerana hakikatnya ramai orang menerima musibah dengan cara dan keadaan berbeza.

Percayalah, pada saat diri mula sedar bahawa bukan diri ini saja yang menerima musibah maka akan lahir semangat untuk berjuang melepaskan diri daripada cengkaman musibah itu.

Allah mengubati kesedihan Rasulullah ketika berdepan dengan kematian dua insan tercinta, bapa saudaranya, Abu Talib dan isteri, Siti Khadijah dengan mengutuskannya dalam peristiwa Israk dan Mikraj.

Dalam peristiwa itu, Rasulullah SAW dipertemukan dengan Nabi dan Rasul. Tidak ketinggalan Baginda berjumpa dengan Nabi yang diuji seperti Nabi Musa, Nabi Luth dan lain-lain.

Pertemuan itu adalah cara menghilangkan kedukaan Baginda kerana melalui pertemuan itu, secara tidak langsung ia membina kekuatan Rasulullah SAW.

Persiap diri terima ujian genting

Sentiasa tanamkan dalam diri saat diuji bahawa ada insan yang diuji dengan lebih sukar. Beringat selalu ketika berasa terlalu sukar bertahan, Nabi berdepan sukar yang lebih mencabar.

Bak kata bijak pandai, "Usah mengeluh jika berjalan tanpa kasut, kerana ada yang berjalan tidak berkaki". Rasulullah SAW mendidik sahabat yang paling awal beriman kepada Allah di Makkah, untuk bersedia menerima ujian yang paling genting.

Mengikut sirah, sahabat yang memeluk Islam pada peringkat awal itu terdiri daripada golongan marhain. Sehingga terdapat seorang sahabat bernama Kabab bin Ararat yang menerima ujian yang sangat berat.

Dikisahkan beliau menerima ujian yang benar-benar menguji keimanannya. Beliau adalah seorang hamba dan disebabkan beliau beriman kepada Allah lantas beliau diseksa oleh tuannya dengan membakar tubuhnya sehingga menitiskan lemak di badannya.

Akibat terlalu panas, titisan lemak daripada badannya yang terbakar itu memadamkan api. Apabila berasa terlalu berat dan dahsyat ujian yang diterima, lalu beliau bertemu dengan Rasulullah dan mengadu tentang nasibnya.

Beliau meminta Rasulullah SAW memohon kepada Allah sebarang bantuan yang mampu meringankan beban seksaan dan ujian yang menimpanya.

Seraya Rasulullah menjawab bahawa orang yang terdahulu daripadanya lebih diuji iaitu Nabi Yahya dan Nabi Zakaria yang digergaji sehingga terbelah dua tubuhnya.

Begitulah Rasulullah SAW membesarkan jiwa sahabat dengan cita-cita yang besar kerana cita-cita yang besar akan mengecilkan ujian yang dihadapi.

Fitrah umat Islam bercita-cita besar

Seseorang yang terkesan dengan ujian dengan cara yang negatif akan mudah putus asa dan cepat patah semangat. Itu petanda diri individu terbabit tiada cita-cita yang besar.

Sebagai umat Islam, sememangnya secara fitrah bercita-cita besar iaitu inginkan syurga Allah SWT dan menegakkan Islam di atas muka bumi ini. Pahrol berkata, anak kecil sakit pasti ibu bapa akan memberikan ubat.

Semestinya kanak-kanak tidak menyukai ubat disebabkan rasanya yang pahit dan tidak enak. Namun, ibu bapa akan tetap memaksa anak kecil itu menelan ubat.

Bagi ibu bapa yang penyayang, pengambilan ubat itu akan diteruskan juga dengan seribu daya dan cara walaupun anak itu memberontak dan menangis.

Mustahil ibu bapa mengikut kehendak anak yang enggan makan ubat hanya kerana rasanya pahit. Kasih sayang ibu bapa ada pada ubat yang pahit. Asbab ubat itu akan memberi kesembuhan kepada anak yang mereka sayang.

Memang rasanya pahit tapi itu yang terbaik. Ujian itu pahit, namun kerana Allah itu Maha Penyayang maka diberikan buat hamba-Nya sebagai penawar paling mujarab untuk kehidupan mendatang.

Allah sayangkan hamba-Nya

CUMA tinggal seminggu majlis pernikahannya akan berlangsung. Kini hanya perlu mencukupkan mana-mana yang belum disempurnakan.

Ayah Zaifa sudah tidak sabar-sabar untuk berjabat tangan dengan bakal menantunya. Bukan apa, maklumlah menantu tunggal. Zainal tidak punya ramai anak, Zaifa adalah puteri dan hero.

Setiap sesuatu pasti ada hikmah


MANUSIA yang beriman dapat memahami bahawa setiap ujian adalah tanda Allah sayang kepadanya, malah ia ruang untuknya muhasabah diri sekali gus meningkatkan keimanan. - GAMBAR HIASAN


Namun dalam kegembiraan itu, jauh di sudut hati Zainal perasaan sedih bertandang.

Dia akan kembali hidup berdua sebagaimana dia memulakan hidup bersama isterinya di awal perkahwinan dulu.

Zaifa bukan lagi di bawah tanggungjawabnya, tugasnya bakal diambil alih oleh bakal menantunya.

“Menung panjang nampak,” tiba-tiba Zaifa mengejutkan lamunan si ayah.

Si ayah lantas tersenyum dan berkata: “Tak lama lagi anak ayah akan jadi milik orang. Jadilah isteri yang baik. Jangan ingkar perintah suami.”


Zaifa mengangguk. Dia juga sedih mahu berpisah dengan ayahnya. “Tapi kalau ayah tak ada, Zaifa pandai-pandailah bawa diri. Jangan tinggalkan ibu kerana dia akan keseorangan,” sambung Zainal.

Zaifa kaget. Dia pelik bila ayahnya berkata demikian. “Apa ayah merepek ni. Ayah tak kasihankan Zaifa ke nak kena uruskan semuanya,” tanya Zaifa manja sambal memeluk ayahnya.



Esok kenduri akan berlangsung. Selepas solat Subuh, Zainal mencapai kunci motornya dan memberitahu Zaifa bahawa dia akan ke rumah Tok Kadi. Khuatir kalau-kalau Tok Kadi terlupa!

Asar menjelang. Kelibat si ayah masih tak kunjung tiba. Dalam keresahan menunggu kepulangan si ayah, telefon Zaifa berdering. Seseorang yang tidak dikenali mula menjelaskan satu persatu.

Longlai kaki Zaifa dibuatnya. Air matanya deras mengalir. Dipeluknya si ibu yang ada di sisi. Semua jiran yang datang untuk kenduri esoknya kehairanan.

“Ayah dah tak ada. Ayah kemalangan,” suara Zaifa tersekat-sekat menahan tangis.

Tags: hikmah, iman, mahasabah, musibah, ujian
Subscribe

Posts from This Journal “ujian” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments