mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Keluarga didahulukan, integriti diutamakan

SAMBUTAN Bulan Keluarga Kebangsaan 1Malaysia adalah satu inisiatif terancang di bawah gerakan 1Malaysia FamilyFirst (1MFF) iaitu agenda keluarga negara demi meningkatkan kebertanggungjawaban dan integriti dalam usaha mendidik serta membimbing masyarakat tanpa mengira latar belakang agama, budaya dan kaum sama-sama mengimarahkan dan memperkasakan nilai-nilai amalan integriti dalam institusi keluarga masing-masing. Integriti bermula dari rumah.

Rumah tempat bermulanya sistem pendidikan formal dan tidak formal, sistem kesedaran dan sistem bimbingan praktikal yang akhirnya setiap ahli keluarga terpancar sifat keperibadian sebagai Role Model atau Ikon Integriti kepada anak-anak.

Dengan tema: “Saya Sayang Keluarga saya”, maka keluarga yang berintegriti juga sebagai asas kepada pembangunan insan madani mempunyai tingkah laku beretika bagi membentuk sebuah negara yang sejahtera lagi membangun serta makmur. Kerajaan memperuntukkan bagi syarikat swasta yang menganjurkan hari keluarga untuk pekerja-pekerja mereka, rebat atau potongan 100 peratus untuk semua perbelanjaan keraian.

Definisi keluarga menurut Kamus Dewan, adalah seisi keluarga yang terdiri daripada suami, isteri dan anak, manakala bahagia pula bermaksud suasana senang dan aman. Islam pula agama yang selamat dan secara keseluruhan maksudnya ialah pembinaan sebuah kehidupan yang bahagia berlandaskan tuntutan agama yang benar demi membina Keluarga Sakinah, Mawaddah Warahmah.

Firman Allah SWT: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” (Surah Al-Rum: 30: 2)

Antara amanah yang dipikul setiap kepala keluarga adalah membersihkan rumahnya daripada kemungkaran dan mengharuskan anggota keluarga mengamalkan kewajipan dan perkara Sunnah dalam agama.

Rasulullah SAW selaku uswatun hasanah yang patut dicontohi telah membimbing umatnya dalam hidup berkeluarga agar mencapai sebuah impian kehidupan rumah tangga yang sakinah mawaddah warahmah. Baginda sentiasa menggalakkan suami isteri saling ta’awun (tolong-menolong) dan bekerjasama dalam bentuk saling menasihati dan saling mengingatkan dalam kebaikan dan ketakwaan, sebagaimana sabda baginda:

“Nasihatilah isteri-isteri kamu dengan cara yang baik, kerana sesungguhnya para wanita diciptakan daripada tulang rusuk yang bengkok dan yang paling bengkok adalah bahagian atasnya, maka jika kamu (para suami) keras dalam meluruskannya (membimbingnya), pasti kalian akan mematahkannya. Dan jika kamu membiarkannya (yakni tidak membimbingnya), maka tetap akan bengkok. Nasihatilah isteri-isteri (para wanita) dengan cara yang baik.”(Riwayat Abu Hurairah)

Dalam pembinaan keluarga bahagia ini, dasarnya perlu selari dengan kehendak syarak agar memberi kesan yang baik kepada diri dan keluarga. Di samping itu, beberapa perkara perlu diambil perhatian iaitu:

* Pertama, meletakkan akidah yang kukuh dan mantap kepada Allah SWT sebagai asas utama pembinaan keluarga bahagia.

* Kedua, mematuhi garis panduan yang diajar oleh Islam dalam memahami tanggungjawab dan amanah yang dipikul.

* Ketiga, mengakui dan bersedia melaksanakan ketaatan sebagai suami, isteri dan anak-anak.

* Keempat, menjadikan diri sebagai contoh dan teladan yang terbaik. Kelima, sentiasa memupuk rasa kasih sayang dan silaturahim dalam suasana ceria.

Imam Ibnu Katsir menyatakan Allah SWT menganugerahkan satu nikmat yang sangat besar untuk hamba-Nya yang beriman, di mana anak-anak atau ahli keluarga mereka akan dihimpunkan semula oleh Allah SWT bersama ibu bapa mereka di dalam syurga. Perhimpunan ini adalah penyempurnaan nikmat Allah SWT ke atas mereka yang pernah berkumpul di dunia ini sebagai sebuah keluarga yang diasaskan dengan keimanan, meskipun mereka berbeza dari segi amalan.

Allah SWT menjelaskan di dalam Surah at-Thur ayat 21 yang bermaksud: “Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikit pun daripada pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya.”

Apakah peranan kita sebagai ibu bapa dalam melunaskan tanggungjawab mendidik, membimbing dan mengajar setiap ahli keluarga kita?

i. Bertutur bicara dan berkomunikasi dengan sopan dan lemah lembut. Jangan sesekali mengeluarkan kata-kata kesat, kotor dan menyumpah kerana itu adalah doa untuk anak.

ii. Anugerahkan nama yang baik-baik kepada anak-anak mengikut Sunnah Rasulullah SAW. Anak lelaki berilah nama Muhammad pada awalnya atau pilihlah nama-nama sahabat, ulama dan perkataan bahasa Arab yang memberi erti baik.

iii. Berusaha memastikan rezeki diraih halalan toyyiban agar sumber makanan halal dan berkat serta dijauhi oleh api neraka.

iv. Memupuk semangat cinta kasih pada agama dalam jiwa sanubari anak-anak. Agama bakal menjadi pendinding dan benteng hamba Allah yang bertakwa.

v. Berusaha mendidik anak menjadi soleh dan solehah.

vi. Memantau dan mengawal tingkah laku anak-anak demi menunjukkan tahap kepedulian yang tinggi terhadap aktiviti harian mereka.

vii. Tempat tidur anak-anak hendaklah diasingkan daripada ibu bapanya apabila usianya meningkat tujuh tahun.

Pada hemat penulis, institusi keluarga yang telah dibina de­ngan penuh integriti dapat menghidupkan suasana persekitaran yang kondusif, aman damai dan sejahtera serta melimpahkan keberkatan kepada masyarakat serta negara. Mudah-mudahan negara kita akan menjadi sebuah negara yang maju, makmur, cemerlang dan berintegriti.

Mudah-mudahan Allah memberikan taufik-Nya kepada kita semua untuk membentuk dan memperbaiki rumah tangga kita agar penuh ketenangan dan kecintaan, seraya mengamalkan etika dan integriti menurut syariat Islam. - Hamilye Sham Harun Utusan Malaysia Rencana 26 November 2015 6:25 PM

Tags: integriti, keluarga
Subscribe

Posts from This Journal “integriti” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments