mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Jauhi perkataan dusta

SEBAGAI seorang Muslim, kita disuruh supaya bertakwa kepada ALLAH SWT dan menjaga diri kita daripada segala keburukan yang dituturkan lidah.

Ini kerana kejahatan lidah sangat buruk. ALLAH memerintahkan agar kita tidak menyebarkan fitnah berita-berita dan tuduhan palsu terhadap orang lain.

ALLAH mengancam orang yang membuat tuduhan palsu dan menyebarkan persepsi negatif terhadap orang lain. Sehinggakan perbuatan seperti itu dikaitkan dengan syirik menyekutukan ALLAH. Firman ALLAH: "Maka jauhilah kekotoran syirik penyembahan berhala, serta jauhilah perkataan-perkataan dusta." (Surah Al-Hajj: 30)

Abu Bakar RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: "Mahukah kalian aku khabarkan dosa yang paling besar?"

Jawab sahabat RA: "Tentu wahai Rasulullah." Kata Nabi SAW: "Syirik menyekutukan ALLAH, menderhakai kedua ibu bapa."

Baginda SAW yang sedang duduk bersandar kemudian duduk tegak dan berkata: "Serta perkataan dusta dan penyaksian palsu."

Kata Abu Bakar RA: "Nabi SAW terus-menerus mengulangi perkataan terakhir itu sehingga kami berkata: Kalaulah Baginda diam." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Fitnah adalah perbuatan melemparkan tuduhan tidak benar yang sengaja diada-adakan untuk memburukkan seseorang.

Ia dilontarkan untuk mencapai matlamat tertentu seperti menjatuhkan lawan dengan menimbulkan persepsi negatif orang ramai terhadap orang yang dituduh dan menyebabkan maruah dan nama baiknya tercalar.

Adakala ia juga dilakukan untuk mendapat habuan bayaran tertentu dan seumpamanya.

Ia dilakukan tanpa memikirkan kesan buruk fitnah tersebut dan tanpa rasa gentar terhadap ALLAH.

Walhal syariat Islam menuntut supaya seorang Muslim itu sentiasa berkata dengan perkataan yang benar. Adapun perkataan yang tidak diketahui kesahihannya dan tidak dapat dipastikan ketepatannya, hendaklah dielakkan. Apatah lagi perkataan berbaur dusta dan bohong.

Firman ALLAH: "Kecuali mereka yang bersaksi dengan kebenaran dalam keadaan mengetahuinya." (Surah Al-Zukhruf: 86)

Mereka hendaklah meyakini, perkataan yang mereka ucapkan itu adalah benar. Lebih-lebih lagi hal yang membabitkan orang lain khususnya saudara seagama. Dalam masa yang sama, perkataan yang diucapkan itu hendaklah dengan niat dan tujuan yang baik.

Adapun mereka yang memutar belitkan berita dan fakta, tidak menceritakan sesuatu kejadian dengan sepenuhnya tetapi memilih bahagian berita yang tertentu dan menyembunyikan yang lain, golongan ini jelas tidak jujur dan berniat jahat.

Mereka ingin memperdayakan pendengar dan pembaca supaya suatu kesimpulan yang tidak baik dibuat terhadap individu yang dimaksudkan.

Mereka ini termasuk dalam kalangan pembohong dan pendusta yang tidak jujur dalam perkataan dan kesaksian mereka.

Firman ALLAH: "Sebenarnya orang yang tergamak berdusta itu hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada ayat ALLAH; dan mereka itu adalah golongan pendusta." (Surah Al-Nahl; 105)

Firman-Nya lagi: "Sesungguhnya ALLAH tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang yang melampaui batas dan berdusta." (Surah Ghafir: 28)

Sesungguhnya antara keburukan orang yang berbohong dan tidak jujur dalam perkataan yang diucapkannya adalah mereka menzalimi orang yang dituduh sehingga menyebabkan darah, harta atau maruah tertuduh dihalalkan.

Tambah lagi, orang yang menimbulkan fitnah atas orang lain telah menghalalkan apa diharamkan ALLAH dengan berdusta dan memakan harta serta menjatuhkan maruah orang secara batil. Akhirnya mereka menimbulkan banyak kejahatan.

PERINGATAN BUAT MEREKA

Wahai golongan pemfitnah! Kamu telah menzalimi orang lain dan menzalimi diri kamu sendiri di samping menjual agama kamu dengan harga yang sangat murah.

Sesungguhnya golongan pemfitnah adalah golongan yang membuat kerosakan di atas muka bumi dan tidak membawa apa jua kebaikan. Mereka adalah pengkhianat yang mengubah sesuatu yang baik menjadi buruk dan sesuatu yang buruk menjadi baik.

Golongan ini sanggup memperdayakan orang ramai serta pemerintah dan bersekongkol dengan penjenayah. Betapa banyaknya kerosakan yang mereka bawa sehingga keamanan bertukar menjadi kekacauan, ketenangan berubah menjadi ketakutan dan hak-hak orang dicabuli.

Kerana itu tidaklah sifat bohong dan suka memfitnah datang melainkan daripada orang yang lemah agama dan akalnya. Orang yang sanggup melanggar batas agama dan norma-norma masyarakat untuk mencapai suatu matlamat tanpa melihat jauh dan memikirkan kesan buruk perbuatannya.

Sungguh fitnah dan lontaran persepsi negatif telah banyak merosakkan masyarakat dan menyebabkan komuniti menjadi keliru antara yang mana benar dan yang mana salah. Adanya teknologi komunikasi dan media sosial baharu terus menambahkan lagi kecelaruan dan kekusutan masyarakat.

Fitnah membuatkan masyarakat hilang keyakinan dan saling tidak percaya sesama mereka. Betapa keadaan ini merosakkan dunia dan agama umat Islam.

PENGGUNAAN MEDIA SOSIAL

Pengguna media sosial baharu seperti laman sosial Facebook, Aplikasi WhatsApp, Twiter dan YouTube perlu berhati-hati ketika menerima suatu khabar berita khususnya berita yang membabitkan saudara seagamanya.

Berita itu perlu dipastikan kesahihan dan kebenarannya sebelum ia diterima dan dipercayai.

Firman ALLAH: "Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan suatu yang tidak diingini akibat kejahilan kamu sehingga akhirnya kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan." (Surah Al-Hujuraat; 6)

Perlu ada sikap bertanggungjawab dalam menerima dan menyebarkan sesuatu berita. Silap langkah, buruk padahnya. Sabda Nabi SAW: "Cukuplah kedustaan seseorang untuk dia menceritakan segala apa yang dia dengar." (Riwayat Muslim)

TINDAKAN TEGAS

Kerana itu pemerintah perlu bertindak keras dan tegas terhadap golongan yang menyebarkan fitnah serta berita yang tidak benar.

Hukuman berat perlu dijatuhkan atas mereka dengan dihebahkan kepada umum agar ia menjadi peringatan buat yang lain dan supaya masyarakat berwaspada terhadap penyebar fitnah itu.

Seorang Muslim disuruh supaya sentiasa jujur dan berkata benar. Sama sekali tidak boleh berkata bohong atau bersaksi atas sesuatu yang tidak benar. Firman ALLAH: "Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana ALLAH dan menerangkan kebenaran." (Surah Al-Maa'idah; 8)

Jangan kerana kebencian atau permusuhan menyebabkan kita sampai sanggup berbuat apa sahaja untuk menjatuhkan lawan kita dengan menyebarkan fitnah serta tuduhan palsu. Sesungguhnya setiap perkataan yang kita ucapkan akan dicatat dan dipersoalkan di akhirat kelak.

Semoga ALLAH memberi taufik dan hidayah-Nya untuk kita sentiasa bersama dengan orang-orang yang jujur lagi benar, menjauhi fitnah dan dusta.

Tags: dusta
Subscribe

Posts from This Journal “dusta” Tag

  • Boleh berdusta dalam tiga perkara

    DARIPADA Ummi Kulsum binti ‘Uqbah bin Abu Mu’ait RA katanya: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda `bukanlah dianggap…

  • Kecaman terhadap para pendusta

    ALLAH SWT telah menjelaskan kehinaan dan seksaan yang dikenakan kepada orang kafir pada hari kiamat nanti. Kemudian Allah SWT menambah perbincangan…

  • Sifat dusta, janji palsu porak-perandakan umat

    Mengotakan janji adalah suatu kewajipan yang perlu dilaksanakan bagi memadamkan tanda munafik pada diri seseorang. Sudah sedia maklum bahawa…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments