mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Pelarian manusia dari perspektif Islam

PELARIAN manusia adalah satu fenomena yang sentiasa berlaku apatah lagi jika wujud krisis dalam negara tertentu. Konvensyen Geneva 1951 mendefinisikan seseorang pelarian ialah seorang yang berada di luar negara asalnya, mempunyai perasaan takut yang berasas atas sebab-sebab bangsa, agama, kewarganegaraan, pandangan politik atau keahlian dalam sesuatu kumpulan sosial dan disebabkan perasaan takut tersebut, mereka tidak dapat atau tidak sanggup mendapatkan perlindungan negara itu.

Terkini, konflik keganasan dan peperangan di negara Syria menjadi punca kebanjiran pelarian rakyat Syria ke negara jirannya seperti Jordan, Iraq, Lubnan, Turki dan juga ke seluruh dunia khasnya ke Eropah.

Malaysia juga tidak terkecuali daripada menjadi potensi destinasi pelarian Syria apabila pihak berkuasa memberi harapan kepada 3,000 pelarian Syria untuk berlindung di Malaysia dalam tempoh tiga tahun akan datang. Selain itu, di Malaysia sudah ada pelarian dari negara Myanmar, Somalia, Sri Langka dan Afghanistan.

Syariat Islam melihat perlindungan kepada manusia adalah satu keperluan asas. Ini termasuk perlindungan kepada pelarian atau orang berhijrah di atas pelbagai sebab, khasnya yang melibatkan ancaman keselamatan diri dan nyawa.

Orang Islam yang memberi perlindungan kepada golongan berhijrah disifatkan sebagai orang yang beriman. Ini seperti termaktub di dalam al-Quran, surah al-Anfal, ayat 74 yang bermaksud: “Dan orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah, dan orang yang memberi tempat kediaman dan memberi pertolongan, mereka itulah orang yang benar-benar beriman. Mereka memperoleh keampunan dan rezeki (nikmat) yang mulia”.

Sejarah Islam mencatatkan bahawa Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda meninggalkan Mekah setelah kaum Quraish iaitu penguasa Mekah pada zaman jahiliah mengancam keselamatan mereka. Baginda SAW dan para sahabat diberi perlindungan memenuhi keperluan hak asasi mereka oleh penduduk Madinah.

Ini adalah teladan terawal sejarah manusia dalam perhubungan di antara pencari perlindungan dengan pemberi perlindungan. Hak asasi pencari perlindungan dihubungkaitkan dengan kewajipan yang perlu dilaksanakan oleh pemberi perlindungan.

Islam menggesa umatnya memberi perlindungan bukan sahaja kepada pencari perlindungan dalam kalangan orang Islam bahkan juga bukan Islam.

Pencari perlindungan yang diberi aman tidak boleh dipaksa untuk menukar agama mereka, tidak boleh diabaikan hak keperluan asas mereka, perlu ditolong untuk menyatukan ahli keluarga mereka dan dijamin nyawa serta harta benda mereka. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan jika seorang di antara orang musyrikin itu meminta perlindungan kepadamu, maka lindungilah dia supaya dia sempat mendengar firman Allah, kemudian hantarkanlah dia ke tempat yang aman baginya. Demikian itu disebabkan mereka kaum yang tidak mengetahui.” - (Surah al-Taubah, ayat 6)

Bahkan mereka tidak boleh dipulangkan ke negara asal jika menghadapi ancaman keselamatan diri di dalam negara mereka sendiri.

Jika dilihat dalam perlembagaan atau Piagam Madinah yang dibina oleh Nabi Muhammad SAW pada tahun pertama Hijrah, bersamaan dengan 622 Masihi, hak bukan Islam adalah dijamin dan dilindungi. Piagam Madinah mengandungi peraturan berasaskan syariat Islam bagi membentuk negara Islam yang mengandungi pelbagai kaum termasuk golongan bukan Islam.

Di antara terma dalam piagam berkenaan ialah semua penduduk Madinah bebas mengamalkan adat istiadat dan upacara keagamaan masing-masing. Keselamatan orang Yahudi adalah terjamin selagi mereka taat kepada perjanjian yang tercatat dalam piagam tersebut. Ini memberi petunjuk bahawa Islam menuntut agar perlindungan merangkumi semua pihak termasuk orang bukan Islam.

Dalam arena antarabangsa semasa, Pertubuhan Negara Islam (OIC) turut mengeluarkan ketetapan tentang hak asasi tentang pelarian yang mencari perlindungan. Artikel 12 Deklarasi OIC menyatakan setiap orang berhak, dalam rangka syariah, bergerak bebas dan memilih tempat tinggal sama ada di dalam atau di luar negara serta jika dianiaya, berhak mencari suaka di negara lain.

Negara tersebut perlu memastikan perlindungannya sehingga dia di tahap selamat, kecuali suaka didorong tindakan yang syariat Islam menganggapnya sebagai jenayah.

Undang-undang antarabangsa mengenai hak pelarian dan peminta suaka politik adalah sesuai dengan norma syariat Islam. Banyak persamaan yang wujud di antara kedua-duanya kerana Islam adalah agama fitrah. Ia menepati kehendak naluri manusia. Pada masa sama, agama Islam kukuh dengan prinsip-prinsipnya yang benar.

Ketua Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR), Antonio Guterres, pernah menyatakan bahawa syariat Islam memperkukuhkan lagi prinsip hak kemanusiaan dalam persaudaraan, persamaan, dan bertolak ansur sesama bangsa manusia. Mengurangkan penderitaan, membantu dan memberi perlindungan, menjamin keselamatan kepada golongan yang memerlukan walaupun pihak musuh, adalah sebahagian daripada syariat Islam.

Elemen ini telah pun wujud berabad-abad lamanya mendahului perjanjian-perjanjian antarabangsa mengenai hak asasi manusia termasuk hak pelarian dan prinsip tiada eks­tradisi yang boleh mengancam keselamatan pencari perlin­dungan. Ini adalah satu pengiktirafan kepada prinsip-prinsip Islam dalam isu-isu pelarian dunia ketika ini.

Secara kesimpulannya, Islam menunjukkan kepada manusia keperluan asas mereka dan hak-hak manusia yang perlu ditunaikan termasuk kepada pencari perlindungan.

Negara kita telah pun menunjukkan komitmen positif kepada pelarian atau pencari perlindungan. Pelarian yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) dibenarkan tinggal sementara di negara ini selain dikecualikan daripada penguatkuasaan undang-undang imigresen.

Sudah tentu langkah bijaksana telah diambil kira oleh pihak berkuasa dalam menangani isu pelarian, sehingga hak kemanusiaan yang dianjurkan oleh Islam dapat diambil menjadi teladan. - Mohamad A'sim Ismail Pandangan IKIM Utusan Malaysia Rencana 30 November 2015 6:05PM

Tags: manusia
Subscribe

Posts from This Journal “manusia” Tag

  • Malas berdoa sifat orang angkuh

    SELAGI hidup, selagi itu kita tidak akan terlepas daripada menghadapi masalah. Ramai orang apabila ditimpa masalah menjadi tertekan, tidak dapat…

  • Sebaik-baik jin, sejahat manusia?

    “SEBAIK-BAIK jin adalah sejahat manusia”, tanggapan ini yang lazimnya tersebar dalam kalangan masyarakat Melayu hingga menjadi asas…

  • Kompas timbal baik, buruk

    MANUSIA dan akal tidak dapat dipisahkan. Akal adalah syarat bagi manusia itu dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan perintah ALLAH SWT. Jika…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments