mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Dengar azan lebih asyik sewaktu jadi sami — Kuo Yong Kooi

28 NOVEMBER — Apakah yang perlu diamalkan seorang penganut yang dedikasi kepada agamanya? Amalan yang berada di dalam hati atau di luarnya?

Kalau kita hanya mengatur dan memperbaiki apa yang di luar kita, maka kita akan mengalihkan perhatian ke atas perkara luaran yang tidak semestinya boleh memperbaiki hati.

Ajaran semua agama bertujuan memperbaiki tingkah laku dan hati penganutnya. Syarat-syarat dalam agama sebagai panduan kita memantapkan hati kita. Ayat-ayat suci dalam semua buku agama di dunia bertujuan untuk membuka hati supaya penganutnya dapat menikmati keindahan dunia sebagai insan yang berhati nurani.

Ada sedikit sebanyak persamaan syarat-syarat ini antara Islam dan Buddhisme. Umpamanya, lima syarat dasar Buddhisme dalam bahasa Pali dipanggil pancasila. Dasar ini tiada persamaan dengan pancasila politik yang diidami presiden Sukarno di Indonesia.

Dasar ajaran Buddhisme

Pancasila ajaran dasar moral Buddha seperti berikut:

1) Aku bertekad melatih diri untuk menghindari pembunuhan

2) Aku bertekad melatih diri untuk tidak mengambil sesuatu yang tidak diberikan (mencuri)

3) Aku bertekad melatih diri untuk tidak melakukan perbuatan yang tidak tertib atau tidak sopan (hubungan luar nikah)

4) Aku bertekad untuk melatih diri menghindari ucapan yang tidak benar (berbohong), omong kosong, berdusta dan fitnah.

5) Aku bertekad untuk melatih diri menghindari segala makanan dan minuman yang mampu mengurangkan kewarasan, melemahkan pertimbangan, memabukkan dan melalaikan (termasuklah yang menyebabkan ketagihan seperti rokok atau arak)

Jika seseorang itu ingin lebih mendalami agama Buddhisme, maka dia perlu meningkatkan lagi disiplinnya kepada lapan dasar. Tiga dasar tambahan adalah:

6) Aku bertekad melatih diri menghindari makanan setelah tengah hari (berpuasa dari tengah hari ke subuh, dan hanya dibolehkan meminum air dan jus sahaja, dan bukan susu atau sup)

7) Aku bertekad melatih diri menghindari tarian, nyanyian, bermain muzik, hiburan, perhiasan bunga-bungaan untuk diri, wangian, dan mencantikkan diri dengan kosmetik

8) Aku bertekad melatih diri menghindari daripada tidur atau berehat di tempat yang tinggi dan besar atau mewah.

Jika kita lihat dasar yang kelapan ini, ia sudah hilang ertinya dalam konteks sekarang. Di zaman Gautama Buddha, 2558 tahun dahulu, hanya orang kaya yang menggunakan tempat duduk dan tempat tidur yang tinggi.

Maka jika kita ingin menafsirkannya dalam konteks zaman kini, ia bermaksud kehidupan yang sederhana atau yang menyenangkan hati. Apakah lapan syarat utama Buddhisme ini tidak sama dengan syarat Islam?

Hidup menjadi sami Buddha

Jika seseorang ingin mendalami lagi ajaran Buddha, maka dia boleh menjadi sami Buddha. Untuk berikrar menjadi sami Buddha, terdapat 227 syarat lagi bagi sami lelaki dan 311 syarat bagi sami perempuan.

Dalam lingkungan syarat-syarat tambahan ini, sami tidak boleh mengadakan hubungan seks atau menyentuh seseorang yang berlainan jantina.

Sebelum penulis menjalani hidup sebagai seorang sami selama dua tahun di Myanmar dan Thailand dari 1997 ke 1998, penulis rasa syarat-syarat ini terlalu keras. Kadangkala syarat-syarat ini seperti ketinggalan zaman, contohnya syarat asas kelapan yang dibincangkan tadi.

Setelah lama bermeditasi, penulis baru memahami keperluan syarat-syarat keras itu.

Ia menyempurnakan tugas sami supaya gaya hidup ini, melalui meditasi, mampu membangkitkan kebebasan daripada cengkaman samsara, atau kesengsaraan.

Menanggapi perbezaan agama

Sebagai manusia, fikiran, perasaan dan tingkah laku seseorang tiada yang unik antara satu bangsa dengan yang lain. Semua bangsa ada baik buruknya.

Bahasa agama hanya menyelaras kefahaman seseorang supaya mampu memahami isi hati sendiri dan bertindak sebagai insan yang bertanggungjawab.

Fikiran dan tindakan yang memberi kesan negatif kepada hati sendiri atau orang lain, itulah yang perlu diperbaiki sebagai seorang manusia, tidak kira apa jua bahasa atau agamanya.

Misalnya pengalaman sendiri, penulis sewaktu kecil diindoktrinasikan bahawa azan yang berkumandang dari pembesar suara itu mengacau ketenteraman. Sebagai seorang remaja, penulis biasanya tidak senang apabila terhentinya program televisyen kerana waktu solat.

Hati penulis selalu berasa bahawa waktu solat itu hanya mengganggu aliran program yang disukai ramai. Kawan-kawan serta masyarakat juga kecewa, maka pengalaman ini memperkuatkan lagi tanggapan negatif tentang waktu solat.

Apabila penulis bermeditasi sebagai sami Buddha di Myanmar, terdapat juga pembesar suara dari masjid di situ. Pandangan penulis terhadap suara azan ketika itu bertukar apabila hati tenteram hasil meditasi berpanjangan.

Ketenteraman hati meningkat lagi apabila terdengarnya suara merdu azan itu. Pada masa itulah perasaan penulis berubah daripada kekecewaan kepada keghairahan apabila terdengarnya suara azan.

Walaupun penulis tidak memahami erti ayat-ayat yang dibacakan itu, keasyikan yang dialami tidak mengenali batasan bahasa mahupun agama. Pengalaman ini membuka hati penulis bahawa manusia di seluruh dunia sejak zaman dahulu hingga sekarang sebenarnya mencari keindahan suara hati sebagai seorang insan.

Penulis berpeluang menikmati perubahan pendirian daripada yang buruk kepada yang indah, dan ini adalah satu keindahan pengalaman yang susah dicari jika kita tidak meluangkan masa untuk memahami hati sendiri.

Perihal hati dan agama

Dari pengalaman itu penulis berasa ayat-ayat suci semua agama adalah pedoman hati bagi penganut-penganutnya. Jika kita berkeras hati seperti penulis ketika remaja, hati kita tidak dapat dibuka untuk mengalami keasyikan itu. Melembutkan hati dengan amal ibadat atau bermeditasi berpotensi membuka hati kita kepada penghayatan yang lebih mendalam terhadap agama.

Apabila kita memahami bahawa apa yang perlu diperbaiki adalah hati, kita senang menanggapi bahawa isu-isu seperti pengasingan troli halal, penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi Bahasa Melayu, demonstrasi membantah tanda salib di gereja Taman Medan dan lain-lain adalah sandiwara sampingan yang bermatlamat untuk pecah dan perintah masyarakat majmuk kita.

Kenyataan bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah bahawa patung Hindu dan Buddha tidak harus dipamerkan kepada awam kerana didakwa bertentangan dengan Islam adalah satu muslihat berbaur politik perkauman.

Penulis tidak berasa tindakan itu sejenis penghinaan ke atas agama lain. Malah kenyataannya mengelirukan penganut-penganut agama sendiri, seolah-olah mereka tidak perlu berusaha mendalami kefahaman, keyakinan dan kelembutan hati sendiri.

Pengalaman setiap insan tidak boleh diseragamkan. Setiap insan memerlukan masanya sendiri untuk membuka hati kepada apa jua ajaran agama mereka. Jika kita bersikap memaksa bahawa inilah pandangan yang perlu diikuti, maka paksaan itu menjadi halangan besar kepada pengalaman yang perlu dilalui hati seseorang.

Biasanya ajaran itu dalam bentuk pedoman, yang mengajak hati kita dalam satu pengembaraan. Mendekati ajaran agama dengan cara ini membolehkan hati seseorang terbuka menghayati agama dengan lebih mendalam lagi.

Penganut sendiri perlu mencari guru atau mufti yang bersikap begini, barulah ajaran agama yang sejati dapat difahami. Seperti kata Ali bin Abi Talib: “kalau kau mahu hapuskan kejahatan daripada hati orang lain, hapuskan ia daripada hatimu dahulu.”

* Kuo Yong Kooi seorang penyajak tamu di glombng.wordpress.com

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pandangan Malay Mail Online. - Malay Mail Online Pendapat 28 November 2015
Tags: agama, azan
Subscribe

Posts from This Journal “agama” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments