mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Istiqamah pada jalan ALLAH

KETAHUILAH ALLAH SWT memerintah hamba-Nya secara am dan Nabi-Nya secara khas supaya beristiqamah sebagaimana Firman ALLAH: "Hendaklah kamu istiqamah dan beristighfar kepada-Nya." (Surah Fussilat: 6)

BANYAK GANJARAN

Buat mereka yang istiqamah pada jalan-Nya, ALLAH menjanjikan ganjaran pahala yang melimpah ruah.

Istiqamah membawa erti berdiri teguh atas jalan-Nya yang berkait dengan kata-kata, perbuatan dan niat. Maka ia adalah kata nama yang membawa erti yang luas. Kerana itu, ketika seorang lelaki datang kepada Nabi SAW dan berkata: "Wahai Rasulullah, katakan kepada aku dalam Islam suatu kata-kata yang aku tidak perlu bertanya kepada orang lain sesudah engkau." Kata Nabi: "Katakan aku beriman kepada ALLAH lalu beristiqamahlah kamu." (Riwayat Muslim)


Beristiqamahlah dalam mengerjakan amal kebaikan.

Maka istiqamah bererti teguh di atas jalan agama yang lurus tanpa condong ke kanan atau kiri; tanpa menambah atau mengurang; dan tanpa bersikap melampau atau mengambil mudah.

GODAAN SYAITAN

Ternyata syaitan mampu menghidu hati manusia dan mengujinya. Jika ia melihat seseorang itu berpaling daripada agama atau malas melakukan ketaatan kerana ingin bermudah-mudahan dan bermalas-malasan, syaitan ketika itu akan terus menggodanya supaya meninggalkan kewajipan dan melakukan yang terlarang sehingga orang tersebut memutuskan hubungan agamanya dan bergelumang dalam liku-liku kebinasaan.

Adapun jika syaitan melihat seseorang itu prihatin terhadap agamanya sehingga sukar untuk dihalang, ia akan menggodanya dan menyerunya supaya terus berlebih-lebihan dan melampaui batas kesederhanaan. Syaitan akan berbisik kepadanya:

"Sesungguhnya ini adalah kebaikan dan ketaatan, maka bersungguh-sungguhlah untuk mencapai kesempurnaan dan janganlah kamu berpaling bersama orang yang berpaling tadah atau tidur bersama orang yang lena."

Syaitan akan terus-menerus menggodainya sehinggalah orang tersebut bersikap melampau melebihi batas istiqamah.

Inilah yang menimpa golongan Khawarij pada zaman Khalifah Ali bin Abi Talib RA di mana golongan yang beristiqamah atas jalan agama dalam kalangan sahabat Nabi SAW menganggap sedikit solat mereka berbanding solat yang dikerjakan golongan Khawarij. Begitu juga dengan puasa dan bacaan al-Quran mereka. Tetapi Nabi SAW menyebut perihal golongan Khawarij ini dalam hadis Baginda SAW: "Mereka terkeluar daripada agama sebagaimana anak panah terkeluar daripada sasarannya." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Kedua-dua kelompok adalah tercela. Kedua-duanya telah menyalahi sunnah Nabi SAW dan menyelisihkan jalan istiqamah. Kelompok pertama telah menyimpang kerana mengambil mudah urusan agama. Adapun kelompok kedua, mereka juga menyimpang kerana sikap berlebih-lebihan dan melampaui batas.

Kata ulama salaf: Tidaklah ALLAH menurunkan satu perintah melainkan syaitan mempunyai dua jalan untuk menyesatkan manusia. Sama ada jalan supaya manusia mengambil mudah dan bersikap sambil lewa terhadap perintah ALLAH tersebut. Atau jalan supaya manusia bersikap keras dan berlebih-lebihan. Mana-mana yang dipilih oleh manusia antara dua jalan kesesatan tersebut tidak menjadi masalah buat syaitan.

Maka segala kebaikan adalah dengan menelusuri jalan pertengahan dalam melakukan ketaatan dan kebaikan sebagaimana yang digariskan sunnah Nabi SAW. Segala kejahatan pula adalah dengan menyimpang daripada sunnah Nabi SAW sama ada dengan memilih jalan mudah sambil lewa atau jalan melampau berlebih-lebihan.

Sebahagian mendakwa mereka beriman kepada ALLAH tetapi mereka tidak istiqamah atas jalan agama. Mereka hanya mendakwa dengan kata-kata sahaja.

TIDAK BERSABAR

Ternyata mereka tidak dapat bersabar dengan gangguan tersebut. Mereka menyimpang daripada jalan yang lurus akibat ditimpa semudah-mudah ujian. Mereka juga sesat akibat semudah-mudah syubhah atau syahwat. Merekalah golongan yang tidak mengotakan kata-kata mereka. Agama mereka adalah apa yang menepati nafsu dan keinginan mereka. Mereka tidak kenal apa itu suruhan dan apa itu larangan.

Merekalah golongan yang tidak melazimkan erti kata: "Kami beriman kepada ALLAH." (Surah Al-Baqarah: 8)

Perkataan ini seolah-olah tidak mempunyai makna dan tidak memberi kesan pada tingkah-laku mereka.

Walhal, keselamatan daripada api neraka dan kejayaan masuk syurga tidak akan dapat dicapai kecuali dengan kedua-duanya. Mengucapkan perkataan iman ini dan istiqamah di atas maknanya.

Realitinya, jika ucapan kata-kata adalah memadai dan boleh memberi manfaat kepada orangnya, tentu sahaja ia akan memberi manfaat kepada orang munafik yang mengulang-ulang perkataan: "Kami beriman kepada ALLAH." (Surah Al-Baqarah: 8)

Tetapi ALLAH mendustakan mereka dengan firman-Nya: "Tetapi mereka tidak beriman. Mereka bermuslihat terhadap ALLAH dan orang-orang beriman." (Surah Al-Baqarah: 8-9)

Mengapa? Kerana mereka tidak istiqamah atas ucapan kata-kata mereka: "Kami beriman kepada ALLAH." (Surah Al-Baqarah: 8)

Tidak dinafikan kesempurnaan istiqamah atas jalan agama tanpa melakukan sebarang kesalahan atau kesilapan dalam mentaati ALLAH adalah suatu perkara yang mustahil. Ini kerana manusia sinonim dengan melakukan salah dan silap.

Dalam masa yang sama, atas sifat ALLAH Yang Maha Mengasihani lagi Maha Pengampun, disyariatkan atas manusia supaya beristighfar meminta keampunan Ilahi untuk menampung kekurangan dan kecacatan yang ada dalam kita beristiqamah pada jalan ALLAH.

Firman ALLAH: "Hendaklah kamu istiqamah serta beristighfar kepada-Nya." (Surah Fussilat: 6)

Ayat di atas mengandungi isyarat mengenai akan berlakunya kekurangan dan kecacatan dalam melaksanakan tuntutan istiqamah. Dan kekurangan ini akan dapat ditampung dengan beristighfar.

PESAN NABI SAW

Betapa indahnya jalan istiqamah menuju ALLAH dan betapa cantiknya jalan pertengahan di antara dua jalan yang saling bertentangan. Tanpa mengambil mudah atau bersikap melampau. Tanpa menjatuhkan maruah diri daripada kedudukan agama yang ALLAH muliakan manusia dengannya.

Dan tanpa melampaui batas, bersikap keras dan menyusahkan urusan agama sehingga hal sunat diangkat menjadi wajib serta hal makruh dianggap haram manakala hal yang diharuskan syarak yang berupa kecantikan dan kemanisan dunia yang ALLAH datangkan buat manusia dilarang.

Dalam satu peristiwa, tiga sahabat RA di mana salah seorang mereka bertekad untuk mengerjakan qiamullail sepanjang malam, manakala seorang lagi berazam untuk berpuasa setiap hari tanpa ada hari berbuka dan sahabat yang ketiga berjanji untuk tidak berkahwin selama-lamanya.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Demi ALLAH, aku lebih takut kepada ALLAH dan lebih bertakwa kepada-Nya; tetapi aku berpuasa dan berbuka, aku solat malam dan tidur, di samping itu juga aku berkahwin dengan wanita. Barang siapa berpaling daripada sunnahku maka dia bukan terdiri daripada golonganku." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Semoga ALLAH mengurniakan kita  istiqamah teguh di atas jalan agama-Nya serta patuh pada sunnah kekasih-Nya, Nabi Muhammad SAW.

Tags: istiqamah
Subscribe

Posts from This Journal “istiqamah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments