mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Had subsidi TH bantu percepat jemaah naik haji

Unik dan hanya satu-satunya di dunia. Kata-kata ini menyambut semua pengunjung laman web Tabung Haji (TH) yang kini berusia 52 tahun sejak ditubuhkan pada tahun 1963.





Sehingga kini, saiz dana TH mencecah RM60 bilion membolehkannya merangka rancangan untuk memperkasakan ekonomi umat Islam di Malaysia terutama dalam perkhidmatan haji.

TH turut mengukuhkan kedudukannya sama ada di pasaran dalam negara mahu pun arena antarabangsa dengan melakukan pelaburan di sektor perladangan, pembangunan hartanah dan pembinaan, kewangan Islam, teknologi maklumat, minyak dan gas dan hospitaliti.

Keuntungan bersih yang diperolehi membenarkan TH memberi pulangan yang kompetitif kepada pemegang kepentingannya setiap tahun. Kemajuan dan pencapaian TH turut mendapat perhatian negara luar termasuk jiran terdekat.





Mereka menyatakan minat untuk mencontohinya tetapi belum ada lagi yang berjaya membangunkan model operasi sama seperti TH.

Apapun, sejajar dengan keperluan semasa, mungkin sudah sampai masanya bagi TH untuk menilai semula objektif penubuhannya bagi memastikan organisasi itu tidak menyimpang daripada matlamat asal, kata Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tan Sri Ismee Ismail.

Matlamat asal ialah membantu memudahkan masyarakat Islam di negara ini menunaikan ibadat haji.

Semakan semula perlu dilakukan kerana TH juga terbabit dalam aktiviti pelaburan hingga ada pendeposit didapati lebih cenderung melabur daripada menunaikan Rukun Islam kelima itu dan sejauh mana membantu lebih tujuh juta pendeposit yang belum cukup simpanan untuk ke Tanah Suci.

Kita menyokong langkah TH membuat kajian semula hala tuju atau fokus operasi terutama berhubung penyimpan yang menunaikan haji.

Bilangan pendeposit meningkat daripada lima juta pada tahun 2005, kini mencapai 8.6 juta. Lebih utama lagi ialah tempoh menunggu terkini untuk menunaikan ibadah haji adalah 77 tahun.

Jelas, majoriti pendeposit TH, seramai 7.5 juta, memerlukan bantuan untuk menunaikan haji kerana simpanan mereka kurang daripada RM10,000, tanpa mengambil kira 1.9 juta lagi yang sudah mendaftar tetapi masih menunggu giliran naik haji.

Perlu diakui bahawa peningkatan kos menunaikan haji menjadi antara faktor utama apabila dalam tempoh enam tahun, ia meningkat daripada RM14,340 setiap jemaah kepada RM18,890, pada masa ini.

Dari segi ini, TH menunjukkan kemampuan menyelesaikan sebahagian permasalahan dengan memberi subsidi yang turut meningkat bagi setiap jemaah daripada RM4,360 pada 2011 hingga RM8,910, anggaran kos tahun depan.

Satu lagi instrumen penyelesaian diperkenal TH ialah menambah dua peratus dividen kepada pendeposit bertujuan mencukupkan simpanan untuk menunaikan haji.

Pemberian subsidi yang meningkat sejak beberapa tahun lalu dan dividen juga adalah bukti kejayaan pelaburan TH.

Pun begitu, TH mungkin perlu menetapkan had subsidi jemaah mengikut kes bagi mengawal kadar bantuan dalam jangka panjang dengan mengambil kira bilangan pendeposit dan kadar menunggu giliran menunaikan haji yang semakin ramai.
Tags: tabung haji
Subscribe

Posts from This Journal “tabung haji” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments