mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

IWM tolak pemikiran, provokasi yang merosakkan imej Islam, G25 disifatkan golongan yang keliru agama

G25 disifatkan golongan yang keliru agama

Kumpulan bekas penjawat awam, G25 disifatkan sebagai golongan yang keliru mengenai agama Islam serta kedudukannya yang terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

Wakil Pahang, Datuk Shafik Fauzan Sharif (gambar) berkata, agama Islam merangkumi cara hidup masyarakat secara menyeluruh bukannya melibatkan upacara atau pengisian acara dalam majlis-majlis tertentu.

Katanya, perjuangan UMNO telah memastikan agama Islam dapat terus dimartabatkan sehingga pelbagai kejayaan dapat dicapai termasuk dalam menegakkan undang-undang syariah dan menjadikan Malaysia antara hab kewangan Islam tersohor.

“Negara sudah merdeka 58 tahun, malangnya, masih ramai yang tidak tahu kedaulatan Islam, lebih mendukacitakan, ramai yang se­nada dengan kumpulan G25 serta Comango (Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia).

“Mereka menganggap negara ini mengamalkan demokrasi sekular sedangkan tiada langsung sepatah pun istilah sekular dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika membahaskan usul agama dan pendidikan dalam Perhimpunan Agung UMNO hari ini.

Sementara itu, seluruh ahli UMNO digesa menghayati pantun lama Melayu yang berbunyi ‘Pucuk pauh delima batu, anak sembilang di tapak tangan, walaupun jauh beribu batu, hilang di mata, di hati jangan’ dalam meneruskan keta­atan kepada pemimpin sekaligus memartabatkan perjuangan parti dan negara.


TELAH banyak pihak sama ada atas kapasiti individu atau institusi telah mengkritik kumpulan bekas penjawat awam yang menggelar diri mereka G25 kerana membuat pendirian dan pandangan terbuka yang bertentangan dengan ajaran Islam, antaranya mahu hukuman kesalahan khalwat dimansuhkan jika dibuat di kediaman persendirian. Antara yang telah bersuara adalah mufti-mufti.

Terbaru, Penasihat Agama kepada Perdana Menteri Tan Sri Dr. Abdullah Md. Zin tampil menyeru G25, yang rata-rata orang Melayu Islam, supaya menghentikan penyebaran fahaman ekstrem liberal mereka mengenai agama suci itu atau berdepan tindakan oleh Majlis Agama Islam negeri-negeri.

Bagi Awang, antara yang jelas diperjuangkan oleh kumpulan ini adalah hak asasi manusia dan kebebasan bersuara mutlak ala-Barat. Setahu Awang, hak asasi manusia termasuk hak privasi pada kaca mata Islam adalah tidak mutlak. Ia tertakluk kepada hukum-hakam yang secara mudahnya lebih mengutamakan kepentingan ramai.

Jika kita renung, kesaksamaan hak dalam Islam telah pun terserlah. Sebagai contoh Islam telah memadamkan amalan jahiliah yang membezakan anak lelaki dan wanita. Namun apa juga kebebasan dalam apa rupa sekalipun, ada had dan batas tertentu. Janganlah pula kita yang mengaku umat Islam cuba bertindak meruntuhkan kesempurnaan itu. - Awang Selamat Utusan Malaysia Rencana 12 Disember 2015 6:00 PM


Hentikan provokasi yang boleh rosakkan imej Islam

Cadangan kumpulan bekas penjawat awam (G25) untuk meminda atau memansuhkan hukuman kesalahan khalwat hanya akan mencalarkan imej Islam dan haruslah diselesaikan di meja rundingan secara tertutup.

Dr. Mohd .Yusof Noor

Setiausaha Agung Kehormat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor berkata, provokasi yang dilakukan G25 haruslah dihentikan supaya tidak berlaku kekeliruan sehingga menyebabkan implikasi buruk.

“Saya melihat perkara ini boleh diselesaikan dengan mengadakan rundingan secara tertutup dalam kalangan profesional kerana perbincangan terbuka hanya akan menimbulkan banyak lagi isu.

“Sekiranya mana-mana kumpulan melakukan provokasi sehingga menyentuh sensitiviti agama, ia secara tidak langsung turut mempertikaikan institusi diraja di negara ini kerana hel ehwal agama di bawah bidang kuasa Raja-raja Melayu,” katanya dalam sidang akhbar Seminar Serantau Muslim Pelbagai Kaum di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Penolong Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Datuk Hasbullah L. Isa; Pengarah Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan Perkim, Mamat Che Chik dan Timbalannya, Datuk Abdul Hanif Harun.

Beliau mengulas kenyataan jurucakap G25, Datuk Noor Farida Ariffin bahawa dengan berpandukan pada prinsip Perlembagaan, sebarang hukuman ter­hadap perbuatan khalwat jika dilakukan di rumah persendirian adalah hak dan privasi setiap individu.

Kumpulan berkenaan sebelum ini pernah mencadangkan pemansuhan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Dalam pada itu, Mohd. Yusof berkata, Seminar Serantau Muslim Pelbagai Kaum yang bertemakan ‘Al-mukminun ikhwah’ itu akan membincangkan kepentingan pergerakan dakwah pada abad ke-21 dalam mengukuhkan persaudaraan dan perpaduan dalam kalangan umat Islam.

Katanya, seminar itu memberi penekanan kepada masyarakat untuk meningkat dan memperkukuhkan perpaduan umat Islam terutama di peringkat wilayah dan global secara keseluruhannya serta mampu memberi penjelasan terperinci mengenai isu keganasan yang seringkali dikaitkan dengan Islam.

“Islam di dunia ini menerima pelbagai cabaran dan sasaran tohmahan, misalnya keganasan yang berlaku di Paris telah disalah tafsir oleh media Barat dengan menyalahkan Islam serta melabel Islam sebagai pengganas.

“Jadi melalui seminar ini, pandangan daripada pelbagai penceramah berlainan latar belakang mampu memberi penjelasan terhadap Islam yang sebenar daripada perspektif berbeza kerana Islam adalah agama manusia,” katanya.

Seminar tersebut juga bakal menampilkan beberapa tokoh agama membuat pembentangan mengenai Islam iaitu penceramah dari Universiti Cambridge, Ahmed Paul Keeler dan wakil Persatuan Islam Tionghua Indonesia (PITI), H. Anton Medan yang akan berlangsung selama dua hari bermula 18 Disember ini di Hotel Everly, Putrajaya.


IWM tolak pemikiran G25

Dr Abdullah Md Zin
Kenyataan kumpulan itu mengelirukan

Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM) menolak sekeras-keras­n­ya pemikiran kumpulan bekas penjawat awam, G25 yang menyimpang jauh daripada maksud sebenar wasatiyyah dan maqasid syariah.

Pengerusi IWM, Tan Sri Dr. Abdullah Md. Zin berkata, kenyataan-kenyataan G25 yang kononnya mendukung pendekatan wasatiyyah telah mengelirukan masyarakat kerana kumpulan berkenaan secara nyata mempromosikan amalan li­beralisme yang ekstrem.

Beliau yang juga Penasihat Agama kepada Perdana Menteri menambah, tindakan G25 jelas bertentangan dengan wasatiyyah dan maqasid syariah apabila mempertikaikan kesalahan khalwat dan minum arak, mempersoalkan kedudukan institusi-institusi agama Islam, menyokong kegiatan les­bian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan menolak hukum hudud.

“Fahaman mereka adalah bertentangan dengan ajaran agama Islam sebenar dan saya juga tidak yakin mereka benar-benar memahami pengertian sebenar wasatiyyah dan maqasid syariah.

“Sehubungan itu, G25 tidak wajar cuba berselindung dengan menyalah tafsir wasatiyyah kerana apa yang dipromosikan oleh mereka bukannya kesederhanaan tetapi liberalisme yang ekstrem sehingga memesongkan agama Islam sebenar,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Dagang­an Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Beliau mengulas mengenai kontroversi-kontroversi yang seringkali ditimbulkan oleh G25 terma­suk mencadangkan pemansuhan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta menggesa penubuhan sebuah jawatankuasa perunding bagi membincangkan untuk meminda atau memansuhkan beberapa undang-undang syariah.

Menurut Abdullah, tafsiran wasatiyyah tidak memadai dengan kesederhanaan sahaja kerana maksudnya dalam bahasa Arab turut merangkumi keseimbangan, keadilan dan kecemerlangan.

Katanya lagi, agenda G25 juga tidak menepati maqasid syariah yang memberi penegasan kepada masyarakat Islam menjaga agama, akal, keturunan, harta dan nyawa.

Beliau memberitahu, sekiranya G25 masih berterusan mengelirukan pemikiran masyarakat Islam, beliau menyeru mufti-mufti di seluruh negara untuk mengeluarkan fatwa bagi menyekat pemikiran berkenaan.

“Sekiranya masalah kekeliruan ini telah sampai ke peringkat menggugat kedudukan pihak berkuasa agama Islam, saya berpendapat pihak yang berwajib perlu menyekat mereka,” katanya. Abdullah Md Zin Utusan Malaysia Rencana 12 Disember 2015 12:54 AM

Tags: syariah, wasatiyyah
Subscribe

Posts from This Journal “syariah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments