mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Menangani kesesatan akidah secara integriti

MUTAKHIR ini penularan ajaran sesat seakan-akan semakin sukar untuk dibendung. Kini hampir setiap negeri di Malaysia terdapat ajaran sesat yang diindokrinasikan secara senyap-senyap dan ada kalanya mendapat sokongan daripada tokoh-tokoh kecil agama tempatan.

Ini diburukkan lagi dengan perkembangan pemikiran moden semasa seperti fahaman sekularisme, liberalisme, pluralisme dan wahabiah sehinggakan masyarakat terutamanya golongan muda menjadi semakin keliru.

Sekularisme adalah aliran sesat yang bertujuan memisahkan agama daripada negara, mengutamakan dunia dan menyibukkan diri dengan kenikmatan dan kelazatan dunia serta menjadikannya sebagai satu-satunya tujuan dalam hidup.

Liberalisme pula adalah satu aliran pemikiran yang bertujuan meningkatkan kebebasan yang diberi kepada individu. Kebebasan yang diperjuangkan adalah kebebasan tanpa sekatan dalam aspek politik, ekonomi, sosial termasuk kebebasan moral serta agama.

Fahaman yang kian hebat pengaruhnya adalah pluralisme yang mempertahankan konsep `aslama’ atau pasrah kepada Tuhan dengan anggapan bahawa setiap agama adalah sama. Mereka berhujah berdasarkan Firman Allah: “Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik,kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka;dan katakanlah (kepada mereka): “Kami beriman kepada (al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada ( Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami juga Tuhan kamu, adalah Satu; dan kepada-Nyalah, kami patuh dengan berserah diri”. (Surah Al Ankabut 21:46).

Golongan pluralisme menafikan kedatangan Islam telah menghapuskan syariat yang terdahulu. Sementara itu, golongan Wahabiah, juga disebut Salafi adalah fahaman yang diasaskan oleh Muhammad Abdul Wahab yang lahir pada 1703 di Uyayna, Najd, Arab Saudi.

Beliau ialah salah seorang tokoh Islam yang menjadi kontroversi sepanjang zaman. Ada segolongan yang menentang ajarannya serta mengaitkannya sebagai ajaran yang menyeleweng daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah manakala ada segolongan lain yang menganggap ajarannya tidak lari daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Antara tokoh-tokoh yang menentang ajaran Wahabi termasuklah Al-Sayyid Ahmad Zaini Dahlan, bekas Mufti Mekah dan Sheikh Ali Alwi Al Haddad, ahli sufi terkenal yang berasal Hadhramaut, Yemen. Pengikut ajaran Wahabi mendakwa bahawa mereka mengikut pemikiran Imam Ahmad Hanbal (781-855 M) dan juga berpegang kepada tafsiran Ibn Taymiyyah (1263-1328 M), ahli sufi terkenal berbangsa Turki itu dalam hukum fiqh .

Antara perkara yang pernah dilakukan oleh golongan Wahabi adalah meruntuhkan bangunan di atas kubur Sayidatina Khadijah di Mualla, makam Saidina Hamzah di Uhud dan makam sahabat-sahabat lain di Baqi’ kerana menurut fahaman mereka membuat binaan di atas perkuburan adalah dilarang oleh Nabi SAW.

Mereka jua menentang perayaan hari Maulidur Rasul dan Hari Israk Mikraj yang dianggap sebagai bidaah serta melarang al-Quran daripada dilagukan.

Di Malaysia, kita tentu masih ingat akan beberapa peristiwa dan tragedi yang menggugat ketenteraman awam yang berpunca daripada ajaran sesat. Antara peristiwa yang ingin dikongsi penulis termasuklah:-

- 19 Oktober 1974: Seorang daripada kumpulan ajaran sesat empat sahabat di Kampung Kerdap, Rantau Panjang, Kelantan telah mati ditembak dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan;

- 7 Julai 1979: Tajul Ariffin yang mengaku dirinya Imam Mahdi telah mencederakan Imam Masjid Rapat Setia, Ipoh, Perak iaitu Damanhuri Abdul Wahab;

- 10 Ogos 1979: Pengikut ajaran sesat telah mati terbunuh apabila mereka melakukan pemecahan kuil hindu di Kerling, Selangor;

- 16 Oktober 1980: Lapan orang daripada kumpulan ajaran sesat yang dipimpin oleh Ahmad Nasir Ismail yang berbangsa Kemboja telah terbunuh apabila mereka menyerang Balai Polis Batu Pahat dan mencederakan ramai anggota polis ,kakitangan balai dan orang awam;

- 1 Februari 1996: Dua orang lelaki warga Indonesia yang menyebarkan ajaran sesat cedera ditembak selepas mengamuk dan cuba mencederakan orang ramai di Kompleks Sinsuran, Kota Kinabalu, Sabah ; dan

- 18 Mac 1996: Pengikut ajaran Tabarani telah memukul Sidek Mohamad iaitu Ketua Kampung, Kampung Pandan Satu, Kuantan, Pahang kerana mendakwa mangsa menghalang kegiatan mereka.

Apa yang dicatatkan di atas hanyalah segelintir daripada banyak lagi kisah penularan ajaran sesat termasuk yang mendapat liputan meluas seperti dalam kes Ayah Pin, Tuhan Harun dan Mila Ibrahim. Ajaran Qadiani pula adalah satu ajaran yang diasaskan oleh Mirza Ghulam Ahmad pada 1889 dan dibawa masuk ke Malaysia oleh Maulana Sadik bin Barakatullah pada 1949.

Golongan Qadiani beriktikad bahawa Mirza Ghulam Ahmad sebagai Nabi dan juga jelmaan Tuhan. Sementara itu, ajaran Bahai pula diasaskan oleh Husin Ali Al-Mazandarani pada 1847.

Kumpulan ini disebut Bahai sempena nama pengasasnya iaitu Bahaullah. Ajaran ini dibawa ke Malaysia pada 1953 oleh Yan Kee Leong dan antara ciri-ciri kesesatan Bahai ialah beriktikad bahawa pengasasnya adalah jelmaan Allah, semua agama adalah sama dan digabungkan dalam agama Bahai, beriktikad bahawa Nabi Isa mati disalib dan memansuhkan agama Islam.

Akhirnya, kita singkap pula tentang Ajaran Taslim yang diasaskan oleh Muhammad Syafie pada 1970 di Kampung Seronok , Bayan Lepas, Pulau Pinang. Beliau yang juga dikenali sebagai Muhammad Matahari menganggap dirinya sebagai maksum, telah menolak hari kiamat, syurga dan neraka serta mengharuskan perzinaan melalui nikah batin. Mereka juga menunaikan solat secara niat sahaja tanpa rukun qauli (perkataan) dan rukun fi’li (perbuatan).

Antara faktor-faktor yang dikenal pasti sebagai punca penularan ajaran sesat ialah kerana pengaruh tasawuf falsafah atau teosofi,ajaran bathiniah, ajaran syiah,khurafat, dan usaha terancang menjatuhkan umat Islam dari landasan al-Quran dan al-Sunnah. Penulis ingin mengakhiri bicara ini dengan merujuk kepada sepotong hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Dawood seperti berikut: “ Beringatlah! Sesungguhnya orang-orang sebelum kamu dari kalangan Ahli Kitab telah berpecah kepada 72 golongan dan sesungguhnya umat ini akan berpecah kepada 73 golongan: 72 golongan akan masuk ke dalam neraka dan satu golongan akan masuk ke dalam syurga iaitu Al-Jamaah”.

Kini adalah menjadi tanggungjawab dan cabaran bagi pihak berkuasa untuk membendung dari merebaknya ajaran sesat dan seterusnya merobek integriti institusi keagamaan di negara kita. Penguatkuasaan yang drastik dan program pemulihan akidah secara inklusif dan berterusan amat perlu dalam menangan soal pemesongan akidah.

Dalam konteks ini, Institut Integriti Malaysia melalui Unit Program Agamanya telah menjalankan pelbagai program bagi melahirkan masyarakat yang baik akhlaknya, kukuh ciri-ciri moralnya dan kuat pegangan agamanya dan tumpuan sentiasa diberikan kepada golongan muda yang adalah pewaris kepada kepimpinan negara ini.

- Anuar Ahmad Utusan Malaysia Rencana Agama 18 Disember 2015 6:25 PM
Tags: akidah, integriti
Subscribe

Posts from This Journal “akidah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments