mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Tugas kurangkan peminta sedekah

Sekarang waktu operasi kerja peminta sedekah sudah ke tahap lewat malam. Waktu siang kita boleh lihat ope­rasi meminta sedekah ataupun derma dilakukan di kaki lima ke­dai, restoran dan di hadapan bank. Malam pula operasi go­longan kurang upaya (OKU) di restoran mamak dan gerai makan.

Jauh di sudut hati ini tiada niat untuk menghina golongan yang menjadikan minta sedekah sebagai pekerjaan me­re­ka. Ini kerana operasi mereka dan kegiatan mereka mem­bu­atkan saya sendiri kadang-kadang berfikir dua tiga kali sama ada hendak bersedekah atau tidak.

Kalau bersedekah atau menderma, takut-takut kita ditipu dengan perwatakan peminta sedekah yang buat ‘muka ka­sihan.’

Pada bulan November lalu ketika keluarga saya menjamu sele­ra nasi Arab di Shah Alam, kami didatangi seorang wani­ta tua berketurunan India tersengih-sengih merapatkan diri dengan kami sambil menghulur tangan minta sedekah.

Melihat dirinya yang tak terurus memang kasihan, tapi be­be­rapa kisah penipuan dan sindiket peminta sedekah me­nyebabkan saya tak jadi menderma. Bukan tak ada duit kecil atau kedekut, tapi tak mahu mengayakan orang yang saya tak kenal.

Saya tak mahu layan permintaannya, tapi isteri saya pula bermurah hati. Sebungkus nasi Arab berlauk ayam diminta pak Arab berikan kepada wanita India itu. Harap kenyanglah dia.

Cerita yang selalu saya baca, banyak peminta sedekah tak mahu diberi makanan sebaliknya mahu wang. Jangan di­la­yan golongan ini.

Sebab, kebiasaannya golongan peminta sedekah baik ka­­nak-kanak atau orang dewasa – mereka selalu akan ba­wa beg. Begitu juga dengan golongan OKU yang berjalan beriringan dengan wanita dari satu meja ke satu meja di restoran mamak pada dini hari. Mereka pun ada beg galas.

Kalau satu pusingan, satu pelanggan yang baik hati men­derma satu atau dua ringgit, jika sepuluh meja yang dikunjunginya menderma sudah dapat RM10 hingga RM20. Perhatilah ba­hawa dalam setengah jam, mereka akan buat satu lagi pu­singan dengan mengharapkan ada pelanggan baharu. Dengan kerja mudah dan sanggup tidak tidur ma­lam, mereka mampu mengutip derma ratusan ringgit da­lam satu malam.

Sebab itu jika kita perhatikan golongan OKU yang menjadi 'peminta sedekah' pada waktu malam di restoran semakin bertambah. Dalam satu kawasan tempat menjamu selera waktu malam yang popular, boleh jumpa bukan satu tetapi beberapa pasangan OKU yang minta derma.

Begitu juga dengan operasi dan kegiatan meminta sede­kah dengan menyediakan tabung yang ditulis ‘sedekah amal jariah’. Dengan sifat yang sempurna tanpa kecacatan, du­duk­lah lelaki berkupiah tan­pa malu dan segan di depan tabung mereka.

Semua ini tanpa kita sedar memalukan umat Islam. Ka­dang-kadang saya tertanya-tanya apakah pihak pusat zakat, baitulmal atau majlis aga­ma Islam tidak membantu golongan asnaf ini?

Bukankah saban tahun pihak pusat zakat menerima be­gi­tu banyak wang zakat ser­ta wang derma. Mana per­un­tu­kan untuk golongan pe­minta sedekah ini? Atau mereka tidak layak sebab tidak berdaftar?

Bukan niat saya minta orang ramai jangan lagi ber­se­dekah kepa­da golongan yang memerlukan bantuan ini. Kerana da­lam Islam, kita amat ditun­tut membantu golongan yang me­merlukan bantuan. Tetapi betulkah golongan itu benar-benar layak mendapat manfaat daripada sedekah kita itu?

Sebab itu adalah lebih baik kita memberi sedekah berupa bara­ngan makanan dan minu­man daripada sedekah wang. Sekurang-kurangnya mereka tidak kelaparan. Jangan biarkan mereka terus jadi malas. Senang sangat mahu wang orang ramai.

Apa yang saya khuatir, sikap pemurah kita itu boleh mem­biakkan penyakit sosial yang memalukan umat Islam ini. Tanpa sedar kita meng­galakkan tumbuh lebih banyak go­longan peminta sedekah.

Sebab itu sekarang semakin banyak peminta sedekah rak­yat negara lain datang ke Malaysia semata-mata untuk min­ta sedekah. Baru-baru ini di Selangor sahaja, pihak polis menahan 36 peminta sedekah warga asing dari Myanmar, Pakistan, China, Kemboja, Filipina dan Bangladesh dan 14 rakyat tempatan dalam operasi yang dijalankan selama dua minggu di negeri ini. Kawasan tumpuan mereka meminta sedekah ialah pusat beli-belah, kedai makan serta hentian bas dan teksi.

Kadangkala kita berasa serba salah untuk membantu golo­ngan yang meminta sedekah dan derma ini. Kita tidak mahu timbul isu kontroversi seperti golongan ini akhirnya menerima bantuan daripada pihak gereja dan bukan Islam pula.

Tetapi jika pihak kerajaan benar-benar berusaha men­jalankan tanggungjawab untuk menyampaikan bantuan sama­ ada dalam bentuk kewangan ataupun kemudahan harian, saya yakin masalah ini boleh diselesaikan melalui wang zakat.

Zakat adalah hak untuk asnafnya. Peminta sedekah juga salah satu golongan asnaf. Hulurkanlah bantuan kepada golo­ngan ini. Tidak akan luak kantung pusat zakat jika mengeluarkan bantuan kepada mereka.

Sebab menjadi tanggungjawab semua umat Islam yang mampu untuk mengeluarkan zakat. Begitu juga dengan sektor korporat berlandaskan syariah Islam. Mereka akan keluarkan zakat dan derma.

Kita memahami banyak peranan dan sumbangan yang diberikan oleh pihak jabatan agama Islam negeri dalam membantu dan membangunkan ekonomi umat Islam. Pada saya menjadi tugas pemimpin di jabatan agama Islam dan pusat zakat untuk mengurangkan golongan peminta sedekah di negara ini. Malulah umat Islam di negara maju seperti Malaysia minta sedekah.

- Azman Anuar Utusan Malaysia Rencana 27 Disember 2015 6:18 PM
Tags: sedekah
Subscribe

Posts from This Journal “sedekah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments